in ,

Workshop Termahal Pernah Aku Hadir

Gambar : Twitter m ann mansyur

Dalam jam 8.00 pagi aku turun dari bilik hotel ke tingkat 2 untuk sarapan. Ambil mee soto ayam, kemudian ambil segelas jus sawi. Duduk-duduk, makan dan terus turun ke lobi untuk mengambil teksi.

“Kota Tua bisa pak?”

“Ya bisa.”

Aku pun buka pintu teksi biru muda tersebut dan duduk di belakang. Nyaman dengan pendingin hawa dan lagu-lagu Indonesia. Dari sampai malam sebelumnya itu aku belum dengar lagi lagu ceria, semuanya kisah tangis dan tragedi putus cinta. Sadis juga dibuatnya. Sampai di Kota Tua sekitar jam 8.40 pagi. Bayaran teksi sebanyak 20,000 rupiah.

Aku pun berjalan kaki menyeberangi jalan raya yang sesak yang amat. Kemudian menyusuri lorong di bahagian tepi kantin kemudian bertemu di Café Batavia di hujungnya. Ya Tuhan ramainya anak-anak.

Aku pun pusinglah mencari beberapa spot untuk aku daftar workshop dan forum. Ya berjumpa, bayar dan terus minta izin nak pusing-pusing lagi kerana waktu workshop pertama bersama M. Aan Mansyur pada jam 10.00 pagi.

Dapat beli air, dan melihat orang duduk di tepi kaki lima di barisan Bangi Kopitiam (sebaris Muzium Wayang) aku berdiri sekejap melihat buku-buku yang tersusun. Oh ada perpustakaan kecil yang dibuat sempena Asean Literary Festival barangkali.

Elok membelek buku-buku, ada 5-6 orang anak muda (dalam umur belasan tahun) memakai pakaian biasa sama sahaja mengerumuni buku-buku.

Aku jadi berdebar pula. Iya, risau juga ada pencopet.

“Dari mana pak?” Tanya salah seorangnya.

“Kuala Lumpur,” Jawab aku perlahan.

“Wah, bagusnya!” Kami terus bersalaman.

Yang bertanya itu nampak beriya sungguh nak bersembang. Aku letakkan buku dan mula berborak kencang. Dari Siti Nurhaliza sampailah ke Upin dan Ipin mereka tahu semuanya.

Power juga Malaysia mempunyai jenama-jenama besar ini. Mereka membawa kebaikan yang sangat banyak kepada manusia lain yang hidup di negara yang berbeza. Beri contoh dan membawa mesej-mesej perpaduan.

Aku suka pengalaman mereka.

Rupanya, mereka ini keluar berjalan-jalan dari sebelum subuh. Sebelum azan berkumandang, mereka sudah pun siap-siap mandi dan kemudian terus tunaikan solat di mana-mana musolla dan terus tidak pulang ke rumah.

Ada sahaja yang dikerjakan beramai-ramai. Jika tidak, melepaklah di mana-mana. Kemudian pulang ke rumah, tidur dan jika hari sekolah, akan ke sekolah paginya sampailah ke senja baru pulang. Ini kerana rumah mereka teramat kecil, panas dan selalu tidak punya makanan.

Beberapa kali aku ternganga. Susah betul mereka ini. Namun dari mata kasar, tak berapa nak nampak. Yang aku lihat ialah keseronokan dunia remaja yang pernah aku tinggalkan suatu masa lalu.

Yang berada dalam perbualan kami ini umurnya dalam 15-17 tahun. Kata mereka, jika waktu itu sudah bertemu jodoh, ibu dan ayah mereka akan nikahkan sahaja supaya mereka ini dapat keluar daripada rumah sesegera yang mungkin.

Jadi mereka hanya berbekalkan kerahan tubuh badan sahaja untuk hidup.

Salah seorang daripada mereka ini punya 8 ibu dan 12 orang ayah. Hebat boleh kenal seorang demi seorang. Katanya, yang kandung ada seorang sahaja. Namun ayah baru dan emak baru itu banyak sekali.

Penceraian dan perkahwinan baru selepas bercerai itu biasa. Ia kerana factor kesusahan dan badai yang sentiasa mereka harungi menyebabkan mereka terpaksa meletakkan perkahwinan sebagai bukan perkara besar. Sekiranya ada jodoh baru, terima. Kalau boleh, tidak mengandung. Namun jika ada rezeki, boleh jadi rezeki itu sebuah beban yang amat besar.

Gila ternganga.

Aku tanya, apa yang mereka buat jika merayau dan berjalan sepanjang hari?

Jawapan mereka sama sahaja. Berbuat baik dan nanti ada orang beri makanan. Tidak sama sekali untuk mencuri atau mengambil hak orang. Lagi bimbang jika tertangkap dan dipukul sampai mati. Kadang-kadang apabila kerap membantu sana-sini, mereka pula akan dipanggil dan dirindui oleh orang-orang tersebut.

Fuh lega. Dari awal berbual aku fikir yang aku akan kena rompak. Kahkah. Manalah tahu kan? Jahat hati aku. Huhu berdosa rasa.

Banyak benda kita boleh belajar dari mereka ini. Pertama, tak ada masuk mana-mana stesen tv atas kesusahan yang mereka alami. Nak makan, kena cari. Tak cari, memang lapar.

Kedua, haram tak menyalahkan ibu bapa atas kesusahan yang mereka alami. Mereka masih hidup ceria. Pakai baju elok sahaja walau lusuh yang amat.

Dan yang ketiga, aku suka bab mereka kata bangun sebelum subuh. Tunaikan solat dan keluar dari rumah kerana rumah mereka kecil, panas dan tidak ada makanan.

Mereka tak susahkan sesiapa pun dalam hal ini. Malah, walau dilandai kesukaran yang amat sangat, masih lagi pegang kepada pegangan Tuhan. langsung tak menyalahkan Tuhan.

Hebatnyalah kehidupan mereka. Jika kau tengok betapa padatnya Kota Jakarta ini, kau akan geleng kepala. Memang ramai sangat-sangat manusia. Atas jalan, dalam shopping complex, atas dataran, dalam musolla. Ya Tuhan, penuh!

Betullah kawan, orang susah ini selalu sedar diri mereka itu siapa. Mereka hidup untuk betul-betul hidup. Ini kerana mereka sudah dikejutkan dari awal tentang bagaimana untuk memenuhkan perut sendiri. Itu yang buat aku kagum.

Kita ini, bangun pagi-pagi hari sabtu, tengok tak ada sarapan, bukan main muncung lagi bibir kita. Ada pula jika anak-anak yang tak habis-habis suruh emak siapkan milo bagai. Kalau emak terlupa bukan main kau herdik emak kau sendiri. Abang-kakak kau tegur kau kasar, kau marah, terus left group dan lari pergi duduk pulau.

Begitulah.

Hari ini, kita mungkin rasa kita kaya. Namun kekayaan kita itu hanya nampak dengan harta. Walau mereka ini hidup nampak seperti tiada tujuan, namun kau pandang perkara ke-tiga yang aku sebutkan. Mereka suka lakukan kebaikan. Itu hebat. Dahlah susah, nak pergi beri tenaga pula free-free. Itu yang aku respek habis.

Kata mereka,

“Bapak, kadang-kadang tolak mobil sahaja orang beri duit beli minuman, kadang-kadang tolong angkat beras yang berat-berat, orang tak beri apa-apa. Kita reda sahaja pak.Rezeki itu mutlak hak Tuhan, jika mahu beri kepada mulut kita, akan ada untuk kita, jika tak ada, tak adalah pak, bikin marah pun hati tak senang pak. Yang penting usaha pak. Perut jika lapar, bikin penasaran! Bisa rajin buat baik selalu pak! Tuhan akan sayang!

Tuhan selalu bagus sama Jakarta pak, seperti pagi-pagi diberi matahari untuk kami bangun dari rumah kecil, kemudian bercanda di bawah awan-awan ini. Lihat pak, mana mungkin orang kaya faham inilah besarnya teduhan kami, terus sahaja Tuhan nampak tangan kami menadah doa, mendengar kami bercakap-cakap dalam doa, langsung nampak pak! Transparent.

Bukan dalam rumah orang kaya yang silingnya tebal-tebal, dindingnya besar-besar, tiangnya tinggi-tinggi pak. Yang kami ini mereka langsung tidak nampak, masakan mereka mahu nampak Tuhan? Nggak ada kan? Kami beda. Ada Tuhan yang sering lihat kami terus. Dari atas itu, Tuhan selalu ada untuk kami.

Ya, Dia dengar kita sedang bercakap ini pak! Lihat pak!” Sambil dia menunjukkan awan. Dan aku duk bergenang pula air mata. Kacau betul.

Pagi itu, aku masuk ke dalam workshop M.Aan Mansyur merasakan, perbualan bersama 5-6 orang anak-anak tadi adalah workshop termahal pernah aku hadir dalam hidup aku.

Khairul Hakimin Muhammad
Tuhan selalu ada untuk kita semua.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Bagaimana Nak Semak CCRIS Dari Rumah?

6 Pesanan Pemandu Grab Ini Membuatkan Saya Terkedu