in ,

Wayang Di Musim Pilihan Raya

Manifesto agung. Muntahan battle cry. Emosi sempena pesta bendera parti dan sambutan hari raya lima tahun sekali, mungkin lebih baik ditenangkan dengan memahami gerak kerja kempen yang berlaku di seluruh negara. Bagaimana? Seperti kata bung Andrea Hirata; fiksi adalah cara terbaik menceritakan fakta.

Ada begitu banyak filem yang berlatarkan pilihanraya. Walau pun sukar untuk kita memetik contoh daripada senarai filem tempatan, ada beratus filem di dalam senarai antarabangsa. Primary Colors (1998), The Ides Of March (2011), filem dokumentari The War Room (1993), filem politikal thriller terkenal, The Manchurian Candidate (1962 dan 2004) dan banyak lagi. Malah jenama besar siri TV dengan latar perebutan kerusi dalam sistem demokrasi, antaranya House of Cards yang begitu provokatif.

Menolak sisi komersil bertih jagung di dalam filem supaya dapat dihadam khalayak, kita tidak dapat menafikan ada garis kebenaran di dalam fiksi. Ini dapat kita saksikan di dalam beberapa filem yang penting untuk disebut.

Antaranya filem komedi gelap Wag The Dog (1997) tentang seorang spin doctor (satu istilah penting dalam dunia media dan politik) dan penerbit filem Hollywood yang mewujudkan berita ‘perang’ untuk mengalihkan perhatian bakal pengundi daripada kisah skandal sex presiden Amerika. Filem lakonan Dustin Hoffman dan Robert De Niro ini ditayangkan satu bulan sebelum kebocoran berita skandal Monica Lewinsky dan turutan berita pengeboman kilang farmasi Al-Shifa di Sudan. Bayangkan betapa tipisnya garisan di antara fiksi dan realiti.

Sebuah lagi yang wajar disebut ialah filem Game Change yang diterbitkan oleh HBO pada 2012 yang diambil daripada kisah sebenar, Sarah Palin. Sarah Palin, gabenor Alaska yang bertanding sebagai calon naib presiden United States pada pilihanraya 2008 dipilih kerana pakejnya yang karismatik, lantang dianggap sesuai mewakili Republican.

Filem lakonan Julianne Moore dan Woody Harrelson yang dibikin daripada perspektif kempen strategis Republican, Steve Schmidt memberi gambaran sehebat mana pun persediaan strategi pilihanraya, tetap akan kecundang kerana sifat tidak peduli politikus. Ketidaksediaan calon dalam menghadapi debat dan menjawab isu-isu yang akrab dengan rakyat, tidak berempati dan lebih parah tidak mahu bekerjasama dengan kumpulan strategis cuma menunggu kekalahan yang pedih.

Bagaimana pun, lebih menarik untuk dikupas sebuah filem lama, The Candidate (1972). The candidate adalah sebuah satira drama politik lakonan Robert Redford. Generasi Y yang tidak mengenali Robert Redford, boleh saja samakan reputasinya dengan Brad Pitt. Populariti Robert Redford yang bermula dekad 1960-an adalah heartthrob berbakat yang digilai gadis.

Juga kerana itu bertitik tolak premis filem The Candidate. Kisah seorang pakar penamaan calon pilihanraya yang mencari sosok sesuai mewakili Democratic untuk bertanding di California. Nama peguam mentah Bill Mckay (Redford) dipetik kerana fizikalnya yang terlalu kacak, terlalu muda dan pandangannya yang terlalu liberal dan terlalu idealistik.

The Candidate yang sarat dengan humor ‘kering’ meletakkan Bill McKay harus melawan Senator Crocker Jarmon, calon Republican yang konservatif, pragmatik dan begitu popular di California. Menariknya, pihak Democratic tidak menginginkan kemenangan. Mereka cuma mahu kekalahan terhormat. Dan kerana itu, mereka mengikuti semua kehendak Bill McKay yang mahukan kebebasan dalam menyatakan pandangan, ide-ide utopia dan strateginya.

Tetapi sebagai sebuah satira dengan lantasan realiti, semua itu diduga tidak berlanjutan. Pihak Democrat mengubah permainan apabila poll awal Bill McKay menjunam teruk berbanding Crocker sedangkan matlamat mereka adalah kekalahan yang membanggakan. Maka bermulalah siri permainan media yang mengawal segala ucapan-ucapan, manifesto dan haluan asal Mckay.

The Candidate yang memenangi Academy Award untuk lakon layar terbaik adalah sindiran yang begitu tepat bagaimana sebuah pilihanraya mengubah segala-gala. Dialog-dialog pemerannya yang tajam, lucu dan penuh wit. Bill McKay yang muda-naif akhirnya mengerti menguasai media adalah jalan kemenangan. Juga kita melihat ini daripada sudut tekanan politikus yang terpaksa menggunakan jentera daripada segala aspek. Termasuk menunggang emosi pengundi.

Kerana itu tidak menghairankan apabila Bill McKay memenangi California, yang kita lihat bukannya teriak kegembiraan tetapi wajah kebingungan politikus sambil bertanya,

“what we do now?”

Raiha Bahaudin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Jenis Makanan Yang Sudah ‘Expired’ Tetapi Masih Boleh Dimakan

19 Barang Di Rumah Yang Mungkin Kau Tak Sedar Ada Tarikh Luput