in ,

War And Peace: Adaptasi Sastera Russia Yang Wajar Ditonton

Sastera Russia adalah antara jenis sastera yang paling sukar untuk saya hadam. Antaranya karya-karya besar Leo Tolstoy. Pengarang Henry James sendiri pernah menyifatkan buku War And Peace sebagai ,’large, loose, baggy monster’. Ini adalah kerana Tolstoy menganggap novel adalah satu bentuk penulisan daripada dunia Eropah dan sebagai penulis Russia, dia harus menulis dalam bentuk berlainan. Mengapa? Kerana sudah tentu refleksi kehidupan di Russia sama sekali berbeza.

Kemudian Tolstoy menyebut di dalam War And Peace;

“We can know only that we know nothing. And that is the highest degree of human wisdom.”

War and Peace adalah lambang ‘pencarian’ Tolstoy. Ia sukar dipanggil novel. Jauh daripada menjadi puisi epik. Bukan juga memoir bersulam rentetan sejarah. Maka apabila Tolstoy mengakhiri War and Peace, beliau membawa semua wataknya kepada tahun 1820, 36 tahun lebih awal daripada yang diharapkan. Ini semua berpunca kerana Tolstoy cuba memahami ruang masanya. Dan tidak menyedari, dia akhirnya tenggelam di dalam masa lampau.

“The strongest of all warriors are these two – Time and Patience.”
– Tolstoy, War and Peace.

Dalam tempoh lima tahun, Tolstoy menulis lebih 1200 muka surat tulisan yang terkandung di dalamnya kisah cinta tragik, kekalutan medan perang, bankrap di kalangan aristokrat, juang skuad menembak, visi keagamaan dan peristiwa kebakaran di Moscow.

Sebagai seorang yang lahir daripada keluarga aristokrat terkenal pada 1828, Tolstoy menulis daripada perspektif yang dikenalinya dengan akrab. Bangsawan yang tidak lepas daripada kebobrokan dunia. War and Peace dibuka ketika Russia berada di ambang perang di antara Perancis dan Russia. Kemudian perlahan-lahan menyelusuri kehidupan yang menjadi perkara utama di dalam kehidupan aristokrat. Wang, seks dan kematian.

Ini selari dengan kepercayaan Tolstoy bahawa sebuah karya bukan untuk menjadi sumber hiburan, tetapi alat untuk membentuk pendidikan psikologi. Memahami manusia yang pada luarannya penuh kecelaan, dan kemudian menyebarkan kemanusiaan dan kefahaman sesama mereka.

Dalam selang fikiran rumit watak-wataknya, Tolstoy membawa kita mengembara ke kapsul masa seputar sejarah penting Russia pada 1825 apabila berlaku pemberontakan kepada Tsar Nicholas I. Juga peristiwa 1812 apabila Napoleon menakluk Russia. Dan kembara masa semakin kebelakang apabila Tolstoy menyelusuri tahun 1805 apabila Russia mengetahui ancaman Napoleon selepas kekalahan di perang Austerlitz.

Ruang litup lima keluarga, begitu ramai watak yang diceritakan Tolstoy dengan latar sejarah epik menjadikannya begitu sukar untuk diadaptasi ke medium visual. Walaupun naskah War and Peace telah diadaptasi berkali-kali kepada filem, kita tidak dapat terjun ke dalam fikiran (thought) pemerannya. Mustahil untuk kita menyumbat buku dengan falsafah kemanusiaan dan perdebatan berjumlah lebih 1200 muka surat ke dalam filem 2-3 jam. Kemudian, kata Tolstoy;

“It’s all God’s will: you can die in your sleep, and God can spare you in battle.”

Baru-baru ini saya menonton mini siri enam episod adaptasi War and Peace yang diterbitkan oleh BBC pada 2016. Memang tidak akan ada adaptasi sempurna untuk naskah ini. Tetapi di tangan Paul Dano yang membawakan watak Pierre Bezukhov, Lily James sebagai Natasha Rostova dan James Norton sebagai Prince Andrei Bolkonsky; kita mengerti pergelutan, peperangan fizikal dan emosi di dalam kelas yang sering dilihat indah.

Warisan harta melimpah yang tidak pernah diminta Pierre, idealis yang juga seorang anak luar nikah menjadikannya bertahun-tahun canggung. Natasya, perempuan yang hidup sepenuhnya, carefree dan boleh jatuh cinta dengan semua lelaki di atas lantai dansa Waltz; menjadi perempuan yang akhirnya menjauhi semua majlis. Dan dari sorot mata sedih Prince Andrei yang sejak awalnya bosan dengan kehidupan dansa, majlis besar aristokrat; mengisi hidup dengan menyahut semua seruan perang.

Di dalam warna sejarah, watak dan konflik, Tolstoy mengajarkan kita empati ke atas watak-watak dunia yang jauh daripada kesempurnaan. Dan lebih penting, kebaikan.

“How can one be well…when one suffers morally?”
– Leo Tolstoy, War and Peace

Raiha Bahaudin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Fundamental Bitcoin Yang Tak Semua Orang Faham

24 Jam Malam Di Svalbard, Tanda Kiamat Sudah Dekat?