in ,

Wanita Zaman Sekarang Juga Handal!

Gambar : FB Raiha Bahaudin

Seorang lelaki pernah bertanya saya.

“Mengapa perempuan suka membaca majalah yang ditulis juga oleh perempuan dengan garis panduan untuk memahami lelaki?”

Pertanyaan ini wajar kerana tidak adil untuk kita menghakimi pemikiran, jiwa lelaki daripada perspektif perempuan sahaja.

Begitu juga sebaliknya.

Jadi apabila saya membaca sebuah artikel yang bertajuk ‘Everything Wrong with Malay Drama That’s Deterioring Our Society’ yang ditulis Nur M Nazri, saya merasakan masalah ini harus dilihat daripada sisi berbeza. Tulisan Nur M Nazri bagus dalam mengupas sosio budaya produksi tempatan yang menghalalkan penderaan fizikal-emosi, malah sifat ala sado masochis dan rogol dalam rumah tangga.

Tetapi apabila kita mengecam terus-menerus tentang industri produksi yang ditempa dengan acuan dasar yang salah, ini tidak akan membawa perubahan melainkan kita sendiri mengubah acuan tersebut.

Aneh juga ramai yang tidak sedar bahawa masalah kisah-kisah fiksi perempuan yang dipotretkan dengan sindrom Cinderella, cetek, dilihat sebagai objek dan eye candy ini bukan sahaja berlaku di dalam industri tempatan. Malah dalam konteks antarabangsa.

Beberapa orang feminis dengan latar belakang filem di Hollywood seperti Stacy Smith dan Naomi McDougall Jones pernah membentangkan data dan rekod perfileman di US yang menggerunkan dan datang pula daripada negara yang menjerit-jerit tentang ‘gender equality’. Smith malah menamakan kajian ini sebagai ‘The Epidemic of Invisibility’.

Dalam jumlah 800 filem besar Hollywood daripada tahun 2007 hingga 2015 dengan jumlah 35,205 watak yang mempunyai dialog, kurang 1/3 daripadanya adalah perempuan. Tiada perubahan besar kepada statistik ini dalam tempoh setengah abad. Daripada 100 filem besar pada tahun 2015, cuma 32 daripadanya mempunyai hero (protagonis) atau co lead yang tersiri daripada wanita. Watak wanita mempunyai 3 kali ganda kemungkinan dimanipulasi secara seksual. 3 kali ganda kemungkinan diminta berpakaian terdedah, separuh bogel dan memberi imej ‘kurus’ mendekati aneroxia.

Apabila dilihat latar belakang produksi, semenjak 1940an, cuma 5% daripada filem besar diarahkan oleh wanita.

Beberapa bulan lepas saya pernah menuliskan tentang kesan jangka masa panjang fiksi kepada kemanusiaan. Kita harus melihat filem, siri tv, novel sebagai bentuk alat propaganda yang baik kerana fiksi meninggalkan impak jauh besar daripada penyampaian non fiksi.

Apabila siri CSI memberi watak ahli forensik kepada wanita, pusat pengajian tinggi di US mencatatkan permintaan mendadak remaja perempuan dalam bidang forensik. Pada tahun filem Hunger Games dan Brave ditayangkan, penyertaan wanita kepada sukan memanah meningkat 105%.

Statistik ini semua membuktikan, tontonan kita bukan saja memberi kesan kepada hobi, pilihan kerjaya, identiti malah kesihatan mental. Fiksi mempunyai nilai. Ia mekanisme yang diproses daripada pengalaman kehidupan. Masalahnya apabila kita meletakkan medium ini hampir seluruhnya daripada perspektif lelaki. Ini tidak bermakna buruk secara total. Tetapi kita berhak mendengar perspektif daripada ke dua gender.

Anehnya, dalam permasalahan ini, ada beberapa fakta yang begitu kontradik. Kajian Washington Post menunjukkan filem tentang wanita memulangkan keuntungan 23% lebih banyak daripada filem tentang lelaki. Malah daripada seluruh tiket yang dijual di US, 51% daripadanya dibeli oleh wanita. Antara sebabnya kerana apabila penerbit major filem di US membuat keputusan untuk mempotretkan wanita, tema yang mengelilinginya bersifat sejagat.

Saya mungkin membosankan anda dengan statistik. Tetapi statistik tidak boleh menipu realiti. Juga realiti wanita yang dipotretkan di media daripada satu sisi yang ditambah dengan bumbu komersil lebih menakutkan.

Cadangan yang diberi oleh Stacy dan Naomi untuk filem-filem wanita diarahkan oleh wanita sendiri mungkin terlalu ideal untuk diikuti di dalam dunia Asia. Walaupun di Malaysia sendiri kita mempunyai ramai pengarah wanita yang bagus seperti Tunku Mona Riza, Wan Hasliza, Melissa Saila, Suhaimi Baba dan Erma Fatima. Tetapi kita boleh bermula dengan sesuatu yang lebih asas.
Penulisan skrip.

Penulis-penulis wanita kita harus keluar daripada zon selesa. Berikan perspektif yang anda mahu lihat dipotretkan. Menulislah watak-watak yang besar. Berikan teraju wanita anda ‘suara’. Malah lapisan-lapisan karakter yang hidup dan lebih penting, berkembang dan mendobrak dugaan hidup.

Di zaman semua wanita punya hak menerima pendidikan, boleh mengundi, sama-sama mencari rezeki seperti lelaki dan melahirkan anak-anak pelapis akan datang; kita perlu melawan kehendak stesen tv. Saya percaya kita penulis wanita mampu melukiskan watak melawan, dalam masa yang sama menghiburkan.

Sounds like superhero to me.

Nota: Kredit komik kepada Rebecca Cohen.

Raiha Bahaudin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Bongkarkan Rahsia Terus Sustain Dalam Dunia Bisnes Internet

Sudahlah Miskin Harta, Sikap Pun Miskin Sama