Ujian Hebat Untuk Orang Yang Hebat

Abah mempunyai gangguan dyslexia. Dia mula pandai membaca ketika dia darjah lima. Kini, Abah merupakan peguam jenayah, sivil dan syariah. Graduan dari Universiti Oxford.

Memiliki firma guaman sendiri dan membina Madrasah Baitul Bayan: Tahfiz dan Alim di Batu Pahat, Johor. Setakat ini, hanya enam puluh lebih sahaja pelajar yang mendaftarkan diri di sana.

Jangan terlalu kagum dengan pencapaiaan Abah kerana dia selalu berkata, semua itu bukan dia yang punya. Allah Maha Hebat yang kurniakan.

Umi pula guru sains di sekolah menengah dan selalu ada untuk dengar cerita saya. Dari kiri :

  •  Huzaifah@Ridhwan, 18 tahun, telah menghafal 30 Juz.
  •  Muhammad, 20 tahun, telah menghafal 20 Juz.
  •  Muaz, 17 tahun, telah menghafal 30 Juz.

Percaya atau tidak, mereka ini juga mempunyai gangguan dyslexia. Dari segi akademik, mereka kurang menyerlah. Namun dari segi kematangan dan kemahiran, mereka bagus.

Saya?

Berumur 23 tahun dan masih berusaha gigih gila bak hang nak hafal walaupun satu Juz Amma’. Jika berbicara perihal bisnes, laju aja. Sedang berusaha untuk perbaiki diri ke arah yang lebih baik. Lagipun, Allah pandang usahakan?

Bagaimana boleh ada begitu banyak perbezaan di antara saya dan mereka? Maksud saya mereka huffaz, saya tak.

Ini semua bermula ketika Imam Muda Huzai mahu belajar tentang agama setelah Abah dan Umi pulang dari menunaikan Haji enam tahun yang lepas. Dia adalah ahli keluarga yang pertama meminta izin untuk menjadi Hafiz.

Pada masa itu saya baru sahaja tamat belajar di peringkat SPM dan sedang menunggu keputusan UPU. Saya juga satu-satunya yang mengikuti proses sistem pendidikan di Malaysia (UPSR – PMR – SPM – ASASI – DEGREE).

Jauh dari sudut hati, melihat Imam Muda Huzai yang telah menerima hidayah lebih awal ketika dia berusia 12 tahun telah membuatkan hati saya terbuka untuk belajar lebih mendalam lagi tentang Islam. Jika dia yang lebih muda dari saya boleh melakukannya, takkan saya tak boleh?

Hidayah Allah bukan harus ditunggu, namun dicari dan paksakan diri untuk mencarinya. Samalah juga peluang dalam berbisnes.

Dua perkara yang Abah dan Umi saya ajar:

1. Belajar hidup susah.

Umi sanggup menghantar kami empat beradik ke Kambodia selama seminggu. Semua ini semata-mata untuk mengajar kami bagaimana rasa hidup dalam kesusahan supaya kami tak bergantung harap pada Abah dan Umi.

Tujuannya adalah apabila sudah terbiasa dengan cara hidup susah, sekurang-kurangnya bila ada ujian yang sukar mendatang, diri ini boleh tanganinya dengan sabar dan mudah.

2. Usaha sendiri untuk dapat apa yang kau mahu.

Saya mula berbisnes ketika saya berumur 18 tahun. Hingga ke harini, saya tak pernah menggunakan duit Abah dan Umi sebagai modal. Mereka hanya memberikan ilmu dan modal berbentuk sokongan. Apa sahaja yang saya mahukan, Abah selalu suruh saya berdoa pada Allah terlebih dahulu.

Walaupun nak masuk kelas bisnes, Abah akan cakap, “dah istikharah belum?”

Abah meletakkan harapan yang tinggi pada saya, hinggakan saya mendapat markah di zon selesa pun tak boleh kerana ada banyak lagi sifat diri yang perlu dibaiki.

Apabila orang melihat saya dan keluarga saya, perkataan yang sering keluar dari mulut mereka adalah, “beruntungnya kau. Bestnya jadi macam kau. Bertuahnya.”

Ingat, “ujian yang hebat untuk orang yang hebat.”

Imam-imam muda juga ada cabaran yang mereka lalui ketika dalam perjalanan mereka untuk menjadi Hafiz. Antara gangguan yang diterima oleh mereka adalah, orang pandang sinis tentang apa pekerjaan mereka jika tidak mempunyai sijil dan pelbagai lagi. Perkara yang sama juga terjadi kepada Abah dan Umi. Juga pada diri saya.

Ketahuilah bahawa:
Hebat itu bukan datang saja-saja.
Hebat itu bukan dari goyang kaki semata.
Hebat itu bukan milik orang yang usahanya biasa-biasa.

Malah, proses untuk menjadi hebat itu perlukan tawakal, usaha dan masa.

Hajar Abdullah

Leave a Reply