Tun M: Pelentur Masa

Ramai tidak tahu, Tun Mahathir mempunyai kuasa melenturkan masa.

Tun Mahathir, ketika menerajui kepimpinan kerajaan Malaysia, beliau banyak melakukan perubahan yang menongkah arus perdana. Salah satu perubahan kontroversi yang beliau pernah lakukan adalah mempercepatkan masa.

Ya! Mempercepatkan masa.

Pada 31 Disember 1981, 11:30 malam. Jutaan rakyat Malaysia menyaksikan jam di menara Bangunan Sultan Abdul Samad dipercepatkan 30 minit menjadi jam 12 tengah malam. Semua jam di semenanjung Malaysia juga di arah berbuat demikian.

Kenapa di semenanjung sahaja?

Sebelum tarikh keramat itu, zon masa di Malaysia Barat(MB) dan Malaysia Timur(MT) tidak selaras. MB menggunakan GMT+7.30, manakala MT menggunakan GMT+8. Bagi memudahkan urusan rasmi dan pentadiran ekonomi negara, Tun Mahathir mahu waktu di seluruh Malaysia diselaraskan.

Beliau telah memilih GMT+8 untuk dijadikan Waktu Piawai Malaysia(WPM). Memandangkan MT sudah menggunakan GMT+8, hanya jam di MB sahaja terlibat ketika penyelarasan waktu tersebut.

Namun begitu, ramai yang mempertikaikan pemilihan GMT+8 sebagai WPM. Bukankah pusat ekonomi Malaysia pada ketika itu adalah di Kuala Lumpur? Mengapa tidak diselaraskan kepada GMT+7.30?

Pilihan Tun Mahathir itu mengambil kira pengaruh ekonomi yang lebih meluas. Kuasa ekonomi besar di rantau ASEAN seperti Hong Kong, China dan Taiwan menggunakan zon masa GMT+8. Dengan berada pada zon masa yang sama dengan kuasa-kuasa ini dikira akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

Anjakan 30 minit kehadapan ini telah menjadikan waktu MB sedikit pelik berbanding waktu di bandar-bandar lain yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa.

Pelik bagaimana?

Di khatulistiwa, secara ideal, pertukaran siang dan malam berlaku sekitar jam 6 pagi dan 6 petang. Ini menjadikan siang dan malam sama panjang sela masanya, iaitu masing-masing 12 jam.

Siang berlangsung dari 6 pagi hingga 6 petang, maka pertengahan waktu siang adalah jam 12. Oleh itu, jam 12 digelar “tengah hari”.

Malam berlangsung dari 6 petang hingga 6 pagi, maka pertengahan waktu malam adalah jam 12. Kerana itulah jam 12 digelar “tengah malam”.

Di bandar-bandar yang terletak berhampiran khatulistiwa — Somalia, Jakarta, Makassar, Bandar Seri Begawan, malah di Kota Kinabalu dan Labuan — matahari terbit sekitar jam 6 pagi dan terbenam sekitar jam 6 petang. Ini hampir ideal.

Di Kuala Lumpur dan bandar-bandar MB pula, matahari terbit sekitar jam 7 pagi dan terbenam 7 petang. Pelik bukan?

Oh ya! Tun Mahathir bukan orang pertama yang menukarkan waktu di Malaysia. Semasa zaman penjajahan, beberapa kali zon waktu di rantau ini telah diubah. British pernah mengarahkan untuk menggunakan zon waktu GMT+7. Pada zaman penjajahan Jepun, kita menggunakan GMT+9, selaras dengan zon masa Tokyo.

Penyelarasan zon masa bukanlah sesuatu yang hanya berlaku di Malaysia. Demi kepentingan ekonomi dan pentadbiran, Singapura juga terpaksa ikut berganjak 30 minit kehadapan pada penghujung tahun 1981 itu.

Bayangkan jika Singapura kekal menggunakan GMT+7.30. Niaya orang Johor yang bekerja di seberang tambak. Setiap hari, selepas melalui kaunter imigresen perlu laraskan semula jam tangan. Ataupun pakai jam di kedua-dua belah tangan. Kanan waktu Malaysia, kiri waktu Singapura. Hahaha

Selain itu, pada tahun 2001, Thailand juga pernah bercadang menukar zon waktunya daripada GMT+7 kepada GMT+8, namun tidak terlaksana. Malah usul tentang penyeragaman zon waktu negara-negara ASEAN pernah diketengahkan dan zon waktu pilihan dalam usul itu adalah GMT+8.

Patutlah orang semenanjung selalu lewat datang temujanji. Lupa nak cepatkan jam 30 minit ketika tahun 1981 mungkin. Kahkahkah.

Gambar: Kunasegaran Velliah, 59, pekerja di Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) memusingkan waktu di bangunan menara jam Sultan Abdul Samad setiap dua hari, semenjak 1975.

Adakah beliau yang bertanggungjawab memusingkan jam tersebut pada jam 11.30 malam, 31 Disember 1981?

Kamarul Ariffin Nor Sadan

Leave a Reply