, ,

Tuhan Hantarkan Dia Untuk Aku

Ada satu kisah yang mahu saya tulis dan kongsikan hari ini. Pagi tadi kan saya ke hospital, ada appoinment ambil darah. Biasalah prosedurnya kena puasa dari semalam dan lepas ambil darah baru boleh makan. Selesai urusan ambil darah, saya ke kafeteria hospital untuk makan. Kafe penuh, walau hari Sabtu dengan pesakit-pesakit yang makan minum selepas ambil darah. Agaknya sebab Sabtu, ramai anak-anak bawa emak/ayah ke hospital bawa sekali cucu-cucu, kafeteria agak meriah.

Ketika saya baru hendak menyuap makanan, datang seorang lelaki India sekitar umur 30an+, memimpin seorang lelaki Cina lingkungan umur 65-70tahun. Agak uzur, jalan bertongkat yang jenis tongkat frame tu. Agak menggigil dan terketar-ketar. Lelaki India senyum, dan tanya saya “can we seat here madam?” Saya pun angguk dan ramah menjemput lelaki Cina tua itu duduk, setelah memastikan lelaki Cina tua itu duduk dengan selamat, lelaki India itu beredar mengambil makanan.

Saya berbual dengan Uncle Cina ni. “Uncle ambil darah juga?” “Iya..iya, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, kaki pun sakit, sudah tua,” kata dia. Saya senyum, “haiya Uncle, saya umur 42, pun sakit juga, biasalah nowdays semua orang stress cepat dapat penyakit,”

Lelaki India yang pergi ambil makanan tadi tiba dengan semangkuk bubur nasi, kuih muih dan minuman. Dengan tertib dia suapkan Uncle ni makan bubur, beri air minum, sisa-sisa bubur yang meleleh-lelah dilap dengan tisu, sesekali Uncle ni tersedak, diurut-urut dan disuap air minuman dengan tenang ke mulut Uncle ini.

Kemudiannya lelaki India tadi dikeluarkan satu bekas ubat dari beg sandang yang dibawa. Dengan cekap juga dia aturkan, ubat warna putih dua biji, ubat warna oren 2 biji, ubat warna kuning dipatahkan separuh sahaja, dan ada beberapa jenis ubat lagi. Disusun di atas penutup bekas berisi ubat tadi. Ada lebih kurang 7-8 biji semuanya.

Dalam hati saya, “cekapnya pembantu uncle ni?” Teratur dia uruskan uncle ni.

“Bapa saya ni kakak, degil, kadang-kadang saya bagi ubat, bila saya pergi dia buang itu ubat, tak makan”

Saya terkejut. “Sorry, I tak tau ni ayah you,”

Uncle tu senyum “God send him to me,”

Dan saya pun tahu kisah mereka. Uncle tu bela anak India tu dari umurnya 2 tahun, katanya dulu emaknya kerja dengan keluarga Uncle tu, selepas ayahnya mati, emaknya nak balik kampung, ada 5 anak lagi, jadi uncle ni dan isteri dia minta nak bela lelaki India itu. Masa tu diaorang pun takde anak, beberapa tahun selepas itu, depa dapat dua anak, tetapi tetap bela anak India ni.

Sekarang isteri Uncle ini dah meninggal, dua anaknya kerja di luar negara, seorang pilot dengan syarikat penerbangan luar negara dan seorang lagi baru habis belajar di luar negara dan kerja di sana sambil tunggu nak sambung belajar lagi. sesekali anak-anaknya balik Malaysia. Lelaki India inilah yang menjaga Uncle ini. Dia masih belum berkahwin sebab katanya susah nak cari perempuan yang boleh terima dia jaga orang tua.

“God send him to me” terngiang-ngiang kata-kata ini di telinga saya. Kasih sayang tanpa sempadan, pada pandangan kita, kekok melihat lelaki India berkulit hitam, bermata bulat galak, membelai dan menjaga seorang lelaki Cina berkulit putih dan mata sepet. Kasih sayang yang tulen!

Arrghhh!! Apa ada pada perbezaan warna kulit, kalau ditoreh, darah yang mengalir tetap sama merah juga warnanya bukan?

Pnut Syafinaz

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kisah Steve Callahan Melihat Syurga Dari Tempat Duduk Di Neraka

Dah kenal Grab Car?