Tips Mencapai Azam Untuk Kau Yang Jenis Hangat-Hangat Tahi Ayam

Ini adalah sebuah artikel untuk mereka yang mahu capai azam tahunan mereka dengan jaya tanpa jadi hangat-hangat tahi ayam di hujung tahun.

1. Azam adalah sebuah objektif. Mengikut definisi DBP, azam adalah tujuan yang mahu dicapai. Sebelum kita pergi ke jenis-jenis azam, kita perlu pastikan yang kita mesti tahu apa sebenarnya azam ini.

2. Seperti disebut tadi, azam boleh digelar ‘objektif’ dan ‘tujuan’. Ia juga boleh digelar sebagai ‘titik’, ‘goal’, ‘keinginan’ atau ‘kemahuan’. Kita perlu tahu definisi azam kerana bila kita tahu definisi sesuatu barulah kita tak tersasar daripada jalan menuju objektif tersebut. Azam juga boleh dikategori sebagai sebuah komitmen yang panjang. Sebelum dicapai azam tersebut, ada beberapa perkara kita perlu ambil kira.

3. Azam selalunya gagal dilaksanakan bukan kerana kita malas, bodoh, bangang mahupun seorang gagalis. Bukan. Azam biasanya gagal kerana kita tidak rancang sebaiknya bagaimana mahu capai azam tersebut. Kita main sebut je nak buat. Tapi tak rancang.

4. Apabila disebut objektif ni, kita sendiri selalu kejar pelbagai objektif dalam tugasan harian. Bukan tahunan je. Harian pun ada. Tanpa sedar, kita sebut “Hari ni teringin jus tembikai laici la” dalam hati kemudian kita cari tembikai laici tersebut.

5. Mana nak cari jus tembikai laici? Mestilah kat restoran yang ada jual air buah. Takkan pergi restoran jual air jamu. Yedak? Dah jumpa kedai, kita duduk, order, dapat jus tembikai laici, minum, lega. Itulah maksudnya objektif tercapai.

6. Komitmen yang aku maksudkan dalam mengejar azam tahunan adalah seperti komitmen kita nak jugak jus tembikai laici tu. By hook or crook, mesti dapat! Rancangan kita untuk dapatkan jus tembikai tersebut adalah rancangan di mana kita perlu cari kedai mana, order bagaimana, sebut apa. Hal ni kita tak perasan ia sebenarnya objektif harian sebab kita dah biasa buat tiap hari dan mudah pula dibuat sebab tu rileks je berjaya.

7. Begitu juga dengan azam tahunan. Contohnya 2017 nanti, seorang Y mahu berazam untuk kuruskan badan. Jadi, macamana nak capai dengan jaya tu?

8. Satu, kena tahu objektif. Nak kurus macamana? Ada target tak? Berapa berat badan nak capai? BMI normal atau tidak? Perincikan objektif tu. Lebih perinci objektif tu, lagi jelas titik yang kita perlu kejar dan lebih mudah kita rancang nak dapatkannya. Sebab dah ada target jelas.

9. Y rancang mahu kurus daripada berat 70kg ke 54kg dalam masa tiga bulan, kemudian nak badan macam model G lalu diletak gambar jadi wallpaper. Kenapa Y pilih letak gambar model G jadi wallpaper? Supaya ia jadi motivasi kepada objektif tadi. Tiap hari tengok beb. Mana tak jeles.

10. Motivasi ini termasuk dalam catalyst yang diperlu untuk kejar azam tu. Nanti aku masuk bab catalyst. Sekarang aku cerita pasal rancangan.

Objektif Y adalah:

10a. Kurus ke 54kg.
10b. Perlu 3 bulan.
10c. Mahu badan seperti model G.

11. Jadi bagi mencapai objektif tersebut, bagaimana Y perlu rancang untuk dapatkan azam ini? Y perlulah tahu bagaimana caranya nak kuruskan badan dengan efektif capai target tersebut, dengan melihat teknik yang bersesuaian dengannya. Adakah Y perlu guna teknik Atkin’s Diet, atau kawal makanan dan nutrisi, atau bersukan semata-mata untuk capai target tersebut?

12. Y fikir dia perlu guna teknik kawal makanan dan nutrisi termasuk bersukan kerana dia merasakan teknik tersebut bersesuaian dengan dirinya. Jadi Y rangka pula rancangan tersebut dengan lebih teliti dengan memecahkan strategi bagaimana mahu kawal makanan/nutrisi dan bersukan.

13. Y cari kawan-kawan bersukan, kawan-kawan yang jaga makanan/nutrisi dan minta khidmat nasihat mereka. Bila dah dapat khidmat nasihat, Y kembali kepada strategi tadi kemudian ubah dan tambah mana yang patut supaya lebih sesuai dan teratur.

14. Y bikin jadual harian. Sebab dia seorang pekerja kolar putih, jadi dia pilih bersukan pada waktu malam sebab dia suka suasana malam. Y pecahkan lagi jadual kepada beberapa bahagian. Pada minggu pertama dia hanya guna 15 minit masa bersukan. Kemudian lajak ke 30 minit.

15. Y tahu, kalau terus paksa buat dia takkan berjaya tamatkan objektif seperti sebelum ini kerana Y bukanlah seorang yang suka dipaksa-paksa. Jadi Y pilih untuk buat secara beransur-ansur (gradually) sebab dia tahu dengan begitu akan buat dia perlahan-lahan biasakan diri nanti.

16. Untuk penjagaan makanan pula, Y pilih untuk bikin jadual pengambilan nutrisi harian di dinding dapurnya. Tiap nutrisi diambil, dicatat. Mana yang belum diambil, ditambah nanti. Seminggu apa yang diperlu? Minggu depan apa pula nutrisi yang diperlu? Apa pula nutrisi yang tak diperlu langsung? Apa pula nutrisi yang tak diperlu lagi? Semua ini Y catat tanpa ditinggalkan walau satu hari.

17. Selesai bab rancangan, kita masuk pula bab motivasi/catalyst tadi.

18. Motivasi diperlukan tiap hari bagi mencapai target rancangan Y yang telah dibahagikan daripada 3 bulan kepada mingguan kepada harian. Inilah catalyst yang disebut tadi. Sesuatu yang boleh buat kita makin bersemangat. Motivasi ni trickynya pada psikologi adalah:

Semakin lama kita makin perlukan motivasi yang makin hebat berbanding yang sebelum ini. Sebab minda manusia cepat bosan pada perkara sama.

19. Contohnya Y tadi, pada mulanya dia hanya letak satu wallpaper model G. Hari ketiga, dah ada quote kata-kata nasihat model G pula. Hari kelima pula, Y semakin memerlukan motivasi yang lebih hebat. Maka dia tambah pula gambar lain model G bersama pasangannya.

20. Kini tiap hari Y akan lihat gambar asal model G, quote model G dan gambar model G bersama pasangan.

21. Semakin ditambah motivasi tersebut, semakin Y bersemangat untuk lakukan apa yang dirancangnya itu.

22. Semakin hari Y semakin nampak perubahan pada tubuhnya. Ini juga boleh dimasukkan dalam kategori catalyst/motivasi. Hari ini, setelah Y nampak perubahan pada badannya, Y mahu hadiahkan diri sebuah cermin panjang boleh refleks seluruh tubuhnya. Hadiahkan diri sebuah cermin panjang itu juga termasuk dalam kategori catalyst. What boosts Y to do what should be doing.

23. Dah faham maksud catalyst/motivasi? Kita masuk pula bab seterusnya yang diperlukan dalam mengejar azam, iaitu distractions. Distractions ni ada di mana-mana. Memang kadang-kadang tanpa henti. Sebab tu kita perlu faham betul-betul apa target yang mahu dicapai.

24. Kita perlu faham target yang mahu dicapai sebetulnya kerana ia yang boleh membezakan mana satu distraction dan mana satu bukan. Mudahnya, apa saja yang mengganggu apa yang kita perlu buat pada hari itu untuk capai azam adalah distractions.

25. Contohnya hari Rabu, Y perlu joging selama 20 minit, work out 10 minit pada jam 10pm. Tiba-tiba kawan ajak tengok wayang. Y perlu tahu, adakah penting tonton filem tersebut? Adakah esok tak boleh tengok lagi dah? Putus kawan ke kalau tak ikut diorang tu?

26. Kalau jawapan kepada setiap persoalan tersebut tidak membantutkan hubungan persahabatan dengan kawan, teruskan saja exercise tu. Jangan lupa cakap baik-baik, tolak dengan sopan ajakan kawan tu. Nanti kecik hati, padah pula nak memujuk yedak? Kakaka

27. Jika Y berjaya lakukan tugasan harian di dalam jadual tersebut, itu bermakna Y berjaya menghalang dirinya daripada gangguan distraction. Bagaimana pula jika tak berjaya halang distraction tersebut? Apa perlu dibuat? Ahh, susah betullah kejar azam ni! Pundek! Malas ah buat!

28. Rileks. Apa-apa kita nak buat kena rileks. Emosi-emosi nak ke mana? Bukannya hilang pun penat tu kalau marah-marah. Betul tak? So kalau Y tadi gagal halang diri dari distraction, Y perlu ganti / bayar hutang apa yang dia tak buat pada hari tersebut.

29. Sekali tinggal, double it on the next day. Dua kali tinggal, triple it on the day that Y should be doing. Kenapa double? Sebab hari 1 dah tinggal, ganti pada hari 2, maka Y perlu lakukan dua rutin sekaligus. Sama juga jika tertinggal dua hari.

30. Dah tinggal tugasan hari 1 dan 2, maka pada hari ke-3, Y perlu lakukan tiga rutin bagi mengganti tugasan 1 dan 2 yang tertinggal. Inilah maksudnya ganti balik apa yang tertinggal jika tak dapat halang diri daripada distraction. Tapi elakkan dari tinggal lama sangat. Sebab tu kena ada jadual secara terperinci dalam bentuk tulisan/visual. Supaya nampak jelas.

31. Kalau Y jenis ada eidetic memory takpa la jugak. Ingat sentiasa apa dia nak buat tiap hari. Ini masalahnya boleh lupa sebab dia sibuk kerja. Justeru Y pun tulis betul-betul jadual tugasan hariannya termasuklah rutin yang perlu dilakukan tiap hari bagi tak lupa nanti di hari sibuk.

32. Tiap hari yang dah dibuat tugasannya, tanda ‘Done’. Atau cross dengan pen merah ke. Pen biru kalau I love you la. Tiap hari yang gagal dilakukan kerana ada distraction, tanda bulat dan letak di mana hari yang patut diganti tugasan tersebut.

33. Apa distraction yang membantut tugasan itu juga perlu ditulis nota kaki. Kenapa perlu tulis? Nanti aku sebut. Dah tahu pasal distraction? Bagus. Kita masuk pula bab capaian. Apa yang kita dah capai sepanjang hari, sepanjang minggu, sepanjang bulan.

34. Y semak jadual hariannya, jadual nutrisinya. Tiap yang dah berjaya dilakukan, mana yang gagal dilakukan. Minggu ni dah berapa berat? Rekod. Y rekod segala capaiannya dan tak pula buang rekod mana yang telah dicapainya tu. Kenapa Y tak buang? Nanti aku cerita.

35. Jadi segala capaian tersebut Y telah semak tiap hujung minggu dan bawa ke bulan bawa ke target tiga bulan tersebut. Berjaya tak Y capai target turun berat kepada 54kg dalam masa 3 bulan? Jika berjaya, bagus. Jika tak, Y perlu semak berapa jauh bezanya.

36. Semakan semula berapa jauh beza antara apa yang perlu dicapai dan apa yang tak dapat dicapai berada dalam bab post-mortem kejar azam ni. Tak kiralah berapa lama komitmen mengejar azam tu, sama ada 3 bulan, 6 atau 12, post-mortem perlu dijalankan tiap kali tamat masa.

37. Ingat lagi aku sebut pasal buat nota kaki kat jadual tu? Ha, Y perlu buat nota kaki untuk semakan semula dalam membuat post-mortem ini. Nota kaki pada distraction tadi adalah semakan Y untuk melihat apa yang biasanya buat dia gagal lakukan tugasan. Adakah keletihan? Atau bosan? Atau kurang motivasi? Atau kawan tadi? Apa saja yang jadi distraction tersebut, Y perlu cari solution untuk tak lagi distracted.

38. Waktu kejar target, tak perlu cari solution lagi. Rilek je dulu. Buat apa yang perlu dibuat. Masa post-mortem ini yang perlu cari solution. Selain nota kaki distraction, apa lagi yang aku sebut? Ya, rekod. Capaian yang tak dibuang tu. Simpan rekod tersebut supaya boleh semak ketika post-mortem inilah. Kalau kau rajin nak buat statistik, buat. Kalau rajin nak buat graf, buat. Kalau rajin nak buat bar, buat.

39. Jadi, apabila dah siap analisa segala rekod dalam sesi post-mortem ni, tamatlah capaian satu objektif. Letak tiga bulan dulu, supaya nanti boleh kejar mana yang terabur tu. Boleh perbaiki mana yang tak elok dan boleh ganti mana yang tertinggal.

40. Lalu apa sebenarnya point-point penting mengejar azam ni? Pointnya adalah:

40a. Definisi azam tersebut
– Perincikan apa yang mahu dikejar

40b. Rancangan
– Rancang segala yang boleh dilakukan bagi mengejar azam itu

40c. Motivasi/Catalyst
– Cari segala catalyst/motivasi yang boleh

40d. Distraction
– Kena tahu mana satu distraction, mana satu bukan

40e. Capaian
– Semak capaian. Apa yang dah tercapai?

40f. Post-mortem
– Buat post-mortem, analisa segala rekod, capaian, dan kalau rajin, buat statistik sebagai rekod untuk next azam

41. Selesai segala point penting. Situasi yang aku bagi tu adalah situasi contoh di mana Y mahu kuruskan badan.

42. Azam boleh jadi apa saja. Nak belajar bahasa baru? Nak berniaga? Nak buka galeri? Nak buka workshop?

43. Jenis-jenis azam ni, ada azam jangkamasanya perlu setahun diselesai, ada azam yang jangkamasanya perlu bertahun diselesai. Kita perlu tahu secara perinci bagaimana kejar azam tersebut supaya kita boleh rancang berapa lama masa perlu kejar azam tersebut.

44. Apa saja azam yang nak dikejar, ganti saja contoh/variable tersebut dengan apa yang diperlu bagi mengejar azam tu. Sekian, terima kasih. Bergembiralah sebab artikel ini dah habis!

P/s: Semoga berjaya kejar azam tu.

M. Faiz Syahmi

Leave a Reply