in ,

Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Tujuh

Gambar : FB Alynn Sharuddin

Hari 10

Bangun pagi dan bas telah tiba di Tabriz. Bagi penginapan disini, aku gunakan Couchsurfing. Dapat beberapa respon dari trip yang aku letakkan tiga hari sebelum, setelah meneliti, aku terima tawaran hosting dari seorang pelajar yang tinggal bersama keluarganya. Tabriz adalah bahagian utara Iran, bersempadan dengan Turki dan Azerbaijan. Majoriti penduduk disini adalah orang Azeri dan orang Turks. Keluarga hos kami juga bercakap dalam bahasa Turki sesama mereka.

Mahdi nama hos kami, pick up di stesen bas dan terus menuju ke rumah. Sesampainya kami jumpa tiga orang lagi pengembara yang turut dihoskan Mahdi, dua orang dari Belgium dan seorang lagi dari Perancis. Mama, ibu Mahdi siapkan sarapan ringkas, roti dan teh. Ibunya tidak pandai berbahasa Inggeris, komunikasinya bahasa badan dan senyum manis.

Kami mulakan perjalanan ke Urmia Lake dan Kandovan Village. Mahdi memandu ditemani Greg, kami bertiga bernafas sambil memejam mata dibelakang – mengantuk. Sesekali dapat menangkap Mahdi berlatih cakap French. Perjalanan dari Bandar Tabriz ke Urmia Lake agak jauh, mengambil masa hampir satu jam setengah.

Urmia Lake.

Sebaik saja kami sampai, cuma ada tinggalan Urmia Lake yang legendaris. Tasik makin mengering dek pembinaan jambatan yang menghubungkan wilayah timur dan barat Azerbaijan. Pembinaan jambatan yang mengambil masa hampir 30 tahun itu mengubah ekosistem tasik. Tasik ini adalah tasik garam terbesar di Timur Tengah satu masa dahulu. Mahdi juga kata demonstrasi sering dilakukan di jambatan merentas tasik ini tapi butir kemarahan itu tak jelas mengapa.

Urmia Lake yang makin mengering.
Kata Mahdi, ketumpatan garam di tasik boleh ditentukan melalui warnanya.
Mahdi dan Greg.
Garam disini selelas melalui proses purification, ia dijual sebagai garam makan.

Kami teruskan perjalanan, berpatah balik ke pekan kecil Osku, singgah makan falafel sebelum kereta mendaki perlahan-lahan ke kampung tradisional Kandovan. Kandovan bermaksud tempat yang digali, dari gambar saja aku sudah menyimpan takjub, apatah lagi saat papan tandanya telah kelihatan. Kampung Kandovan adalah perkampungan yang diukir dari batu. Terletak di kaki gunung Sahand, dikhabarkan batu-batu yang dibuat rumah tersebut dari sisa letupan gunung berapi. Umurnya hampir 700 tahun, asalnya sebagai perlindungan dari tentera Mongol dan kekal hingga kini. Tiada caj masuk dikenakan.

Kandovan Village.
You guys so chill. Parking kereta pun dalam sungai.

Walaupun hari lewat petang, dapat kami saksikan hal-hal keseharian orang-orang di Kandovan. Keldai berlalu bawa barangan, kedai-kedai menjual produk buatan sendiri, pengembala kambing dan ayam diletakkan dalam kotak kayu dan diberi makan epal, ya epal. Mahdi ajak kami masuk ke satu rumah gua tersebut, harus menaiki tangga tak rata, tak sama tinggi. Ajaibnya, angin yang bertiup begitu kuat diluar, tidak terasa didalam. Rumah yang juga bersambung kedainya, penuh dengan karpet buatan tangan gaya Azeri, madu lebah dengan sarang yang dikatakan antara yang terbaik di Iran, keju susu kambing dan mentega susu lembu buatan sendiri.

Warung.
Keldai. Khidmat keldai masih digunakan.
Takjub melihat rumah diukir dengan batu ini.
Bukan herba, digunakan seperti kemenyan.
Juga bukan herba, kegunaan seperti kemenyan.
Banyak struktur asal ditambah untuk ruang tambahan.
Penduduk tempatan yang bikin manisan, mentega, keju dan menjual madu.
Produknya disusun rapi.
Karpet buatan tangan signature orang Azeri.

Kami dijamu teh, Mahdi rancak berbual dengan tuan rumah dan Greg belek madu yang kemudiannya dibeli buat buah tangan ibu Mahdi. Hari menjelang malam, angin di Kandovan bertiup sejuk semahunya. Pastilah musim dingin lebih ekstrim suhunya. Makan malam kami roti dan sup tomato beserta pelbagai kekacang. Rasanya hampir menyerupai tomyam. Rakan sekerja ayah Mahdi turut serta malam itu, selepas berfoto bersama, kami minta diri melelapkan mata. Bilik Mahdi tiada pemanas dan terletak diluar, Tuhan sajalah tahu dahsyatnya kami menggeletar menahan sejuk.

Pengembala kambing.
Kandovan Village.

Hari 11

Seperti biasa, bangun pagi bersihkan diri dan kemas beg. Kami akan bertolak semula ke Tehran pada malam ini. Sarapan bersama-sama, madu dan mentega yang Greg beli untuk ibu Mahdi diletak bersama roti, walaupun aku dah mula tak mampu mengunyah karbohidrat nan satu itu – siapa yang tahan dengan kelazatan dua item dari kampung di lereng gunung itu.

Seronoknya Couchsurfing adalah kita rasa dengan lebih real hidup mereka disini – mencicipi hasil masakan ibu-ibu serta bagaimana keseharian hidup mereka. Kami bertuah juga yang Mahdi turut hoskan pelancong lain dari pelbagai negara, jadi dapat kami berbual dan bertukar-tukar cerita antaranegara.

Hari ke 11, kami tak ke banyak tempat. Cuma mengunjungi bangunan-bangunan bersejarah seperti Amer Nezam House, Blue Mosque dan bangunan majlis perbandaran. Buat sesiapa yang mengenali Rumi, pasti tahu Tabriz adalah kampung guru Rumi, Shams Tabrizi. Makamnya kami cuma lihat dari kejauhan. Unik binaannya. Tabriz adalah bandar maju yang agak sesak, ditambah lagi kami keluar sewaktu solat Jumaat, ada jalan-jalan utama berhampiran masjid yang ditutup khas waktu ini.

Blue Mosque.
Amer Nizam House dengan taman bunga nan indah.

Setelah berkeliling, Mahdi tinggalkan kami di bazar. Tabriz Historical Bazaar tak kurang jaguhnya dengan yang ada di Tehran. Dari kawasan sayur-sayuran, buah-buahan, manisan, keju, gula-gula, coklat, barang kegunaan domestik sehinggalah kawasan khas buat pakaian, kraftangan dan hiasan rumah. Anthony Bourdain dan Hishamuddin Rais misalnya antara pengembara yang aku tahu akan menghabisi hari di pasar, melihat apa yang dimakan orang tempatan, apa yang dijual dan mendapatkan cerita-cerita. Cuma pada hujung-hujung kembara kami mula beli ole-ole buat keluarga. Menjaga bajet dan menjaga beban yang perlu dipikul.

Gula-gula. Depa jual ikut gram.
Kekacang.
Gula.

Kami pulang ke rumah menaiki teksi, ibu dan ayah Mahdi tiada, kebetulan salah seorang saudaranya meninggal dunia. Makanan telah disiapkan, kentang lenyek dengan daging dimakan bersama roti. Bas kami akan berlepas jam 11 malam, sebelum bergerak ke stesen bas, ibu ayah dan makciknya pulang. Kami ambil foto bersama dan bersalaman. Tabriz yang sejuk selalu hangat dengan hospitaliti keluarga mereka. Penginapan kami di rumah Mahdi percuma, yang perlu kami bayar cuma kos tour iaitu 40 USD.

Hari 12

Perjalanan pulang ke Tehran makan masa 9 jam ditambah kesesakan sedia ada. Rupanya kami tak turun di stesen bas sama. Ada tiga stesen bas di Tehran, maka perlu pastikan awal destinasinya kemana. Naik teksi ke Jonoob Bus Terminal, sebaik saja turun kami disapa bertanyakan nak kemana, destinasi kami berikutnya adalah Qom. Bas dihadapan kami akan ke Qom, maka urusannya sekali lagi lancar terus naik bas dan tak buang masa menunggu.

Qom terletak tak jauh dari Tehran. Cuma satu jam lebih mengikut keadaan trafik semasa. Kami pergi ke Qom dengan tujuan spesifik menukar duit dengan bantuan kenalan di media sosial dan mencari kitab yang dikirim kawan dari Malaysia. Ada pelajar dari Malaysia yang akan menunggu kami disana.

Haram Fatima Masoumeh.

Kami tiba di stesen bas dan terus ambil teksi ke Haram Masoumeh. Oleh kerana kami tak buat rancangan untuk pusing bandar suci ini, maka ada sedikit kerisauan dengan kesesuaian pakaian kami dan macam-macam lagi. Ternyata ia cuma andaian tak berasas, meskipun semua wanita yang kami jumpai disini memakai cadur, tiada masalah. Kata Ustaz Firuz, berkunjunglah ke haram dan berdoa. Sisi ignoranku sampai ke kemuncaknya, apa maksud haram, masjid atau? Ia terjawab selepas berjumpa Syed dan simpan beg, menunggu memakai cadur di pintu masuk dan seorang lelaki bawa kami pusing-pusing didalamnya. Kami pun tak tahu siapa lelaki tersebut, mungkin staff disini, selepas bercakap dengan Syed, dia bawakan cadur dan kami mula berkeliling.

Staff Haram yang baik terangkan pada kami sepadatnya.

Haram Fatima Masoumeh adalah makam cicit Rasulullah S.A.W, adik kepada imam Ali Ridha. Aku tak pernah tahu, dan momen seperti inilah perjalanan mengajar kita. Sekian banyaknya hal yang tak pernah diambil tahu, yang menegur kelekaan kita juga. Serba sedikit lelaki yang baik hati menceritakan tentang seorang wanita yang tak putus diziarahi, arsitektur, tempat pertama Imam Khomeinei mengatakan Shah adalah Yazid yang baru, kecintaan mereka kepada ahlulbayt yang kerap disalah tafsirkan dan asas konsep tawasul. Aku kira empat puluh minit itu terlalu padat dan banyak info yang perlu diserap. Kami masuk ke kawasan makam, dan keluar semula. Kami juga tak punya banyak masa. Dia berpesan supaya berdoa dan datang berkunjung lagi bersama suami satu hari nanti.

Arsitektur Haram yang memukau.
Arsitektur Haram yang memukau.
Kebetulan ada kematian.

Kami tak punya banyak masa, terus berjalan kaki ke kedai kitab malangnya kami sendiri lupa yang waktu kedai-kedai akan menutup waktu operasinya dari jam 2 hingga 4. Syed ajak kami ke Bukit Nabi Khidir, dan mengapa tidak. Cuma beberapa minit perjalanan, kami sampai di kaki bukit. Bukit tersebut dipercayai merupakan salah satu tempat Nabi Khidir bermunajat dan ada surau dibina diatas. Kami tak naik ke atas, tak cukup tenaga. Kami cuma berbual sambil menyaksikan pemandangan hampir keseluruhan Qom dari kaki bukit. Cuacanya amat baik dan soalan-soalan kami kepada Syed bertubi-tubi.

Bukit Nabi Khidir.
Bandar Qom dari Bukit Nabi Khidir.

Ada persepsi-persepsi yang perlu jelas setelah lama terbuku kerana momokan beza sekte dan kami juga sambung tanyakan perihal Hari Arbaen. Seterusya kami ke Jamkaran Mosque, tetapi tak masuk dek malasnya memakai cadur. Jadi kami cuma tinjau-tinjau di pintu masuk. Dari luar pun ia begitu gah.

Ambil teksi dan berpatah balik ke Haram, teksi berhentikan kami di bahagian belakang. Oleh sebab kami tak dapat memintas masjid dengan pakaian ini, maka kami pusing berkeliling. Ada bazar kecil, lorong-lorong rumah, kedai-kedai buku, wanita bercadur dan mullah. Ambil beg di tempat simpanan dan kami ucapkan terima kasih pada Syed. Berpatah balik ke Tehran, hotel dan teksi kami disini juga sudah diuruskan Masoud. Hotelnya amat dekat dengan Grand Bazaar dengan harga 160,000 toman.

Kepadatan hari ini kami akhiri dengan lena yang panjang.

Hari 13

Masa begitu pantas berlalu dan inilah hari menamatkan kembara di bumi Iran. Hari terakhir ini bebas rancangan, cuma mahu berkeliling bazar sepenuhnya. Setelah risau-risau terlebih guna wang dan berjimat makan dua set makanan dikongsi bertiga, inilah hari penghabisan.

Selepas makan berjaga-jaga dengan bajet, kami all out hari terakhir.

Segalanya boleh kau jumpai di bazaar, dari kekacang ke fabrik seterusnya barang perhiasan. Material tudung mereka amatlah baik dan boleh didapati serendah RM 15. Ada banyak peluang perniagaan boleh diusahakan, dengan syarat kau kuasailah bahasa Parsi.

Dari tengahari hingga maghrib berkeliaran, kami pulang ke hotel ambil beg dan menunggu tibanya pemandu teksi. Waktu berlepas kami tengah malam waktu Iran, satu hal lagi perlu dicermati adalah trafik Tehran yang amat-amat sesak memerlukan kita berpergian lebih awal kecuali pemandu teksi kau dapat mengalahkan pelesit seperti pemandu teksi kami maka tak punya masalah. Walaupun trafik sedang menggila, kami sampai tepat 40 minit.

Kami masuk ke perut kapal dengan segala perasaan yang baik-baik. Bumi Iran pasti kami akan kami kunjungi lagi. Adalah catatan ini juga bertujuan merobohkan dinding prasangka yang ditanam media berkepentingan dan pihak yang konsisten menyimbah petrol kedalam perbezaan mazhab. Berjalanlah sekalian manusia, hanya dengan menyaksikan dan merasakan, timbulnya cinta.

Alynn Sharuddin

#MaklinJalanJalan tamat disini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Ini Sebab Kenapa Nama Proton Ditukar

Fattah Amin dan Fazura Untuk Noob