in ,

Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Dua

Gambar : FB Alynn Sharuddin

Hari 2

Celik mata dan macam tak percaya kitorang dah ada dekat Tehran oih! Pagi hari dimulai mandi, kemas beg siap-siap dan sarapan dekat rooftop hostel (ada sarapan atau tidak, periksa di web atau sahkan semasa buat tempahan). Ini kali pertama aku keluar mengembara dari lingkungan Asia Tenggara. Terkejut juga dengan angin kesejukan negara empat musim ni.

Rooftop 7 Hostel.

Inilah hari pertama roti dan diri kitorang jadi kawan baik. Sarapan yang disediakan serba ringkas; roti, cheese susu kambing, dua jenis jem, tomato dan timun. Air bancuh sendiri, ada disediakan air panas, uncang teh & kopi 3 in 1.

Bahagia makan roti hari pertama, berbeza pada minggu seterusnya.

Kami mulakan perjalanan ke Golestan Palace berjalan kaki. Oh ya, ada satu lagi kawan baik di Iran, iaitu tiket masuk. Harga tiket masuk untuk pelancong asing mahal. Golestan Palace misalnya ada 5 entrance fee. Kami pilih taman dan main hall sahaja. 300,000 IRR bersamaan RM 35 lebih kurang – urut dada. Kau kena pow parking dua ringgit dekat Sg. Congkak pun marah.

Golestan Palace ni besar gila, masa yang kami ada cuma sampai waktu checkout, jam 12 tengahari. Golestan Palace ni dibina semasa era Safavid dan dijadikan istana utama semasa pemerintahan Qajar sehinggalah pemerintahan Reza Shah Pahlevi. Reza Shah Pahlevi meruntuhkan sebahagian binaan tradisi dan gantikan dengan reka bentuk lebih moden. Ia dipelihara sampai la ni dan tak silap aku termasuk dalam Unesco World Heritage. Keliling Golestan Palace ni taman, mahkamah, lembaga hasil dan bazar.

Golestan Palace. Bertutup dengan kain ni, kaca yang dipahat kecil-kecil memenuhi segenap ruang. Kalau tak ada kain penutup ni, silau semua orang agaknya.

Patah balik ke hostel dengan teksi, 150,000 IRR padahal tak jauh. Beli simcard dengan harga 350,000 IRR dan bunuh masa dengan makan overprice sandwich, 300,000 IRR dan tumpang solat serta tidur dekat satu masjid kecil namanya Al Arg Mosque.

Al Arg Mosque. Kompleks masjid ni besar juga. Dekat tengah tu ada ruang untuk ceramah kot sebab ada pentas kecil. Bahagian depan tempat solat ni, kelas. Tingkat atas pun kelas.

Aku dah tahu soalan yang kau nak tanya tu, solat ikut sunni ke syiah? Solatlah ikut cara masing-masing. Biasalah orang berpandangan, tetap kami disapa mesra. Penjaga masjid tu pun dua tiga kali jenguk kami yang kelelahan tersandar.

Menjelang petang, kitorang ronda Grand Bazar sebab nak cari nasi. Jumpa juga di celah-celah laluan. Beli satu set kongsi bertiga sebab portion boleh tahan besar.

Di dalam Grand Bazaar yang padat. Bangunan ni bangunan utama, Grand Bazaar ni hampir 10km, segala benda ada.

Kami terus menghabisi waktu dekat dataran depan bazar, merenung sebahagian dari 8 juta penduduk Tehran lalu lalang berjalan pantas, jual beli dollar bingit dibelakang, anak-anak kecil menjaja gula-gula sehingga malam menjelang dan bazar perlahan-lahan sunyi. Orang sibuk mencuci kedai, menyiram air dan mengumpulkan sampah.

Seorang pemuda tiba-tiba berhenti dan menyapa kami. Namanya Aabbes, sedang mengikuti national service dan pandai berbahasa Inggeris. Soalnya bertalu-talu, kenapa datang ke Iran, bagaimana media di Malaysia menggambarkan Iran, beza mazhab sunni dan syiah yang dipolitikkan, sambutan Ashura yang digambarkan ganas. Dia lelaki tradisionalis yang tidak minum teh daun hampir 8 tahun. Baginya teh harus dari jintan – yang amat baik untuk diamalkan wanita menurut neneknya, dari bunga ros yang dikeringkan dan rempah campuran. Sempat juga dia menyelitkan tatacara pakaian wanita haruslah mengikut panduan al-Quran dan berakhir dengan soalan can we shake hands?

Aduhai lelaki. Merentas mazhab dan geografi tetap sikapnya lelaki. Terburai ketawa.

Kami menunggu pemandu yang akan bawa kami ke Shiraz. Berjalan lagi ke persimpangan yang dinyatakan dalam mesej, Galubandak Junction.

Satu hal lagi di Tehran adalah trafik yang jahanam, tak pernah reda. Berkali-kali fikir nak melintas macam mana, macam perkiraan mati syahid. Meyakini kalimah In The Name Of God yang tertera dimana-mana, we made it like locals. Trafik dekat KL tu jadi biasa-biasa je.

Didalam Golestan Palace. Main Hall. Dalam Main Hall ni tak boleh ambil gambar, dilarang sama sekali. Petugas pun ramai dekat dalam tu. Hasil gambar curi beginilah senget-benget.

Grand Bazaar. Bawah tanah.Aabbes kata depa tengah lelong dollar. Bising gila terjerit-jerit.

Bersambung.

Alynn Sharuddin

#MaklinJalanJalan
#Iran

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Satu

Apa Motif Perogol Merogol?