in ,

“Tiada Sekolah Terawal Di Dunia, Melainkan Dari Rumah Sendiri.”

Ini gambar anak aku yang baru masuk hari ke-7 menghadap kelas mengaji yang aku sendiri gurui. Hujung Januari ni insyaAllah dia baru umur 5 tahun.

Kau tengoklah dia punya perangai.

Belum seminggu, dia punya ‘akal’ macam mana. Dah pandai balut-balut kaki, mengadu sakit kononnya. Bila aku bukak tengok, helok je. Kahkah!

Sekolah terawal dalam sejarah : Rumah Sendiri

Bagi aku, sebelum kita serah bulat-bulat anak kita ke sekolah untuk dirotan, kita kena rasai dulu apa yang sama dialami oleh cikgu anak kita.

Macam mana tu?

Caranya, kita kenalah mula-mula jadi ‘cikgu’ di rumah. Iaitu mulai ajar ABC atau Alif Ba Ta dengan jadual yang konsisten.

Percaya tak, bila kita mulai mengajar anak sendiri, jauh dari lubuk hati, kita akan rasa macam tak sabar-sabar nak rotan anak sendiri.

Tapi… Hati kena kental beb. Sabar. Kecik lagi budak tu nak dirotan.

Walau geram macam mana pun, ketap gigi, senyum, sambil istighfar banyak-banyak.

Lepas aku berguru dengan Cik Puan Sharifah Sharina Syed Aswad dari Projek Iqra’ tempohari, pandangan aku mengenai sekolah memang bertukar 180 darjah.

Katanya, “Kita kena ingat, sekolah ni adalah tempat perlindungan terbaik untuk anak-anak ini sewaktu mak ayahnya pergi kerja.”

Sejak itu, baru aku faham, rumah adalah sebaik-baik ‘sekolah’ anak kita yang terawal, dan sekolah hanyalah tempat perlindungan, bermain dan berkawan-kawan saja.

Sebab itu aku ambil keputusan nak jadi cikgu terawal kepada anak aku sendiri di rumah.

Tak banyak pun, 3 halaman kitab Iqra’ je sehari. (Sekarang dah upgrade 4-5 halaman).

Dengan mindset begini, percayalah, bila mak ayah mula jadi ‘cikgu’ di rumah, barulah akhirnya kita akan kenal ‘perangai sebenar’ anak-anak sendiri.

Antara yang dapat aku pelajari;

1) LAMBAT BACA VS LOYAR BURUK

Sesekali tu, anak aku ada tersilap di tempat-tempat yang hmm… bagi aku tak patut dia silap.

Contoh, masa tu anak aku dah sampai level SA (Sin baris atas) dan level SYA (Syin baris atas). Di hujung halaman tu, tetiba anak aku tersilap baca huruf Alif baris atas dan Ta baris atas.

Menyirap pulak aku rasa. Takkanlah sesenang tu boleh cuai? Jadi aku malas nak ambik port. Aku teruskan saja.

Bila aku abaikan cuai dia tu, dia pun menyanyi, “Head, shoulder, knee and toes, knee and toes…” tu lagu yang dia suka. Geramnya, Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu. Dah berkali-kali macam tu.

Bila dah mula jadi ‘ustaz’ ni, aku teringatlah pesan dari seorang tokoh pendidik ni dalam sebuah ceramahnya.

Katanya, “Peringkat awal nak didik anak, kita kena detect anak kita. Adakah dia ada salah satu daripada dua LB ni?”

LB1 = Lambat Baca

LB2 = Loyar Buruk.

“Kalau LB pertama, jawabnya LATIH TUBI. Kalau LB kedua tu, jawabnya ROTAN TEPI.”

Inilah tips termahal bagi aku.

Setiap kali anak aku loyar buruk, aku sebat gerobok kat sebelah aku ni dengan hanger besi. ZASSSS!!

Tergamam terus anak aku. Automatik tangan dia terus merayap ke huruf-huruf di kertas. Ternyata, ini ubat dia rupa-rupanya.

Sebab tu bila ada video budak salah eja yang viral haritu (budak tu mengeja L.A.J.U= Lagu/Baju) aku tak berapa puas hati.

Tu bukan Lambat Baca yang awak gelakkan tu. Tu Loyar Buruk. Takkan tak boleh beza kot?

TIPS: Semasa sesi belajar, jika anak kita ‘menjual’ loyar buruk, kita jangan ‘beli’. Tapi di luar sesi, kita boleh pertimbangkan.

p/s: Mak ayah, awak tahu tak, mungkin anak awak tu suka loyar buruk tak bertempat depan kawan-kawan masa di kelas? Tak kesian ke murid-murid lain yang serius nak belajar masa tu? Kalau awak jadi cikgu, baru awak faham betapa bergunanya rotan pada masa itu.

2) CEPAT TANGKAP VS CEPAT BOSAN

Anak aku bila masuk hari ke-3, dia dah mula bosan. Mulalah duduk terkangkang. Kejap-kejap dia baring. Sesekali tak mahu mengunjuk (tunjuk huruf dengan batang pen).

Mula-mula tu, mak ayah mana yang tak geram. Rasa macam nak cubitkan saja sebab susah sangat nak suruh fokus kan.

Selesai sesi, isteriku yang sedarkan aku, “Dia cepat belajarlah bang. Perasan tak?” Barulah aku tersedar, dia dapat habiskan 2 halaman tanpa silap tadi.

Rupanya kita jangan tengok sangat berapa cepat dia ‘distracted’. Tapi, cuba tengok berapa cepat dia faham.

TIPS: Jika anak kita jenis cepat tangkap/faham, janganlah kita sumbat lagi dan lagi. Asalkan dah capai target halaman sehari, dah cukup baik. Esok-esok baru kita tingkat/tambah ‘cabaran’ baru.

p/s: Mak ayah, awak terfikir tak? Apa cikgu di sekolah nak buat kalau anak awak jenis cepat faham? Dia nak jaga murid lain yang lambat faham pulak dalam kelas tu macam mana? Serentak beb. Tak kesian ke?

3) PROSES VS PROTES

Ada sesekali tu, aku serba salah nak amalkan benda ni. Tapi aku memang tak puas hati bila anak aku cuai di tempat yang tak sepatutnya.

Contohnya, di hujung halaman tu, anak aku tersilap baca satu huruf, misalnya A (alif baris atas) dia terbaca bunyi HA (ha baris atas).

Maka, aku paksa anak aku ulang dari awal halaman.

Dia punya marah, sampai bergolek-golek. Aku tetap paksa dia ulang. Selagi dia tak ulang baca dari awal, aku tak berganjak.

Teringat masa di Jepun dulu, bila aku tersilap jawab di atas kertas peperiksaan, aku didenda menyalin bulat-bulat skema jawapan berhelai-helai kertas A4.

Aku pun tak sangka negara Jepun yang maju macam ni pun masih buat ‘soft punishment’ kuno macam ni.

Kata Sensei aku, “Kecuaian lebih berat daripada kebodohan. Bodoh boleh diajar. Cuai harus dihukum.”

Ya, anak kita akan protes, tak puas hati, dan meragam. Cekalkan hati. Sabar. Anggap protes itu sebagai proses.

Hasilnya, anak aku esok-esoknya dia cukup berhati-hati. Lepas berhari-hari, dia semakin lancar dan yakin diri. Bila dia tersilap atau cuai, automatik dia akan baca dari awal dengan sukarela.

Jika anda rasa anak kita akan kurang yakin diri kerana takut buat silap, NO!

Dia tak takut buat silap pun, sebab hukuman dia bukan dera fizikal/mental pun. Dia cuma akan rasa leceh saja.

Malah, dia akan faham dan bersiap sedia untuk mengulang dengan sukahati.

TIPS: Kalau anak silap, jangan takut-takut nak amalkan ‘soft punishment’ seperti mengulang. Silap sikit, ulang dari awal. Salah lagi, ulang lagi awal.

p/s: Dulu aku sempat lalui zaman Sekolah Agama di Johor, kalau tak lulus periksa, kena mengulang darjah. Zaman sekarang ni, kalau anak awak tak lulus, agak-agak dia nak duduk kelas mana? Penuh weh.

4) GANJARAN + HUKUMAN

Mula-mula memang aku tak suka sangat dengan pendekatan kekerasan. Tapi, dari sehari ke sehari, macam-macam perangai anak aku ni.

Masuk hari ke-5, entah macam mana aku dapat idea ini; Sepanjang sesi mengaji, aku letak hanger besi sebelah kiri. Aku letak mainan dia sebelah kanan.

Aku teringat, dalam Al-Quran Allah sering beri khabar-khabar indah. Allah juga berikan amaran-amaran keras. Seimbang. Ada ganjaran. Ada hukuman.

Maka, nak ajar anak kalam Allah kan, jadi aku pun sediakan dua benda ni:

GANJARAN = Mainan/coklat dan lain-lain.
HUKUMAN = Hanger Besi

Hanger Besi, aku akan ZASS  dekat tepi gerobok atau atas karpet kalau dia mula nak bermalas-malas atau bermain. Mainan akan aku bagi jika dia habiskan target halaman.

Apa yang bestnya, bila dah lama amalkan benda ni, kau tak payah nak garang-garang pun.

Bila dia mula nak Loyar Buruk, kau pegang je hanger dia terus bertukar serius. Bila dia mula cepat bosan, kau bagi dia pegang mainan kemudian tarik balik, dia terus kembali cergas.

InsyaAllah, dua benda ni ubat mujarab. Cubalah.

TIPS: Setiap kali awak fikir nak denda sesuatu, kena offer juga ganjaran/hadiah dalam masa serupa. Baru anak nampak logik dari dua pilihan ni.

p/s: Mak ayah, selain cerita cikgu merotan, kita ambil tahu tak, ada juga jenis cikgu yang berhabis duit semata-mata beli ‘ganjaran’ supaya anak-anak awak serius belajar di kelas? ‘Kopak’ beb, bukan boleh claim pun. Tak tahu ke? Biasalah Unsung Heroes.

Sekian, itu sajalah setakat ni Nota Diari saya untuk Mak Ayah yang berminat nak bina “Pesantren Rumah.”

Zaman ni, pensyarah IPT dah pandai salahkan SMK kerana siswa yang bebal Inggeris. SMK dah pandai salahkan SK kerana asas belajar murid kelaut. SK dah pandai salahkan Tadika kerana anak-anak buta huruf.

Ibu bapa? Takkan nak salahkan semua di atas? Sudahnya, anak juga yang jadi raja (TUAN).

Sebab tu, aku berpendapat mindset mak ayah ni kita kena reset balik:

“Tiada sekolah terawal di dunia, melainkan dari rumah sendiri.”

Al Irfan Jani

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Ini Sebab Kenapa Kau Masuk Penjara Lepas Bunuh Perompak

10 Fakta Sedih Mengenai PIBG