in ,

Terima Kasih Jagakan Siti Untuk Kami, Kak Rozi!

Tanggal 5hb Mei 2017 pastinya menjadi sejarah buat Dato Siti Nurhaliza (DCT) kerana selepas dua tahun, beliau kembali memeriahkan industry muzik tanah air dengan buah tangan terbarunya, SimetriSiti. Album ke-17 ini memuatkan 10 lagu yang mana Dato Siti banyak bekerjasama dengan ramai kenalan juga rakan seperjuangan beliau di dalam arena seni suara.

Jujurnya, saya sendiri masih berlari-lari di Pesta Buku, namun jemputan dari Puan Sang Dewi (SD) kali ini saya tidak boleh untuk menolak. Ini sebuah peluang keemasan untuk sesiapa sahaja.

Saya sampai sedikit awal dan dapat melihat kelibat SD berlegar di sana sini, saya biarkan sahaja beliau bekerja. Sambil-sambil dapat juga membaca naskhah Boneka Rusia Guido dari Wan Nur Azriq.

Selepas beberapa minit, saya tutup buku tersebut. Kelibat SD ini jadikan saya suka untuk melihat kembali perjuangan manusia yang berada paling rapat dengan DCT ini. Walaupun kita semua tahu, sudah pasti Dato suaminya yang sentiasa bertakhta di hati, namun apabila figura ini keluar dari rumah, ada seorang insan yang sentiasa menjaga rapat tubuh kesayangan ramai ini.

Berbekalkan sebuah walkie talkie, beg tangan yang tak pernah lekang dari bahu, sebatang pen dan entah berapa helai kertas di tangan kanannya, beliau ligat sahaja keluar masuk dewan Taming Sari, Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Melihat semua para jemputan sudah beratur di meja pendaftaran, saya ikut serta. SD sedang menulis di meja tersebut lalu saya menyapa. Beliau terus bangun dan memberi tunjuk di mana letaknya meja yang akan saya duduk. Saya pilih untuk menyorok di belakang walau beliau kelihatan tidak selesa dengan keputusan saya.

Selang beberapa minit, beliau berdiri di hadapan kami semua, bercakap melalui walkie talkie dan kemudiannya bergegas keluar kembali. Terus sahaja lip lap lampu flash kamera di sana sini. Oh DCT sudah sampai. Saya melihat DCT, suami dan para pengikutnya masuk ke dalam dewan dengan penuh berseri-seri. Manakala SD mengikut dari belakang dan masih tak jemu bercinta dengan walkie talkienya.

Matanya melilau, kakinya laju ya amat dan suara kecilnya itu berbisik-bisik dengan kotak hitam di tangannya. Entah apa, ada sahaja yang beliau pastikan.

Program bermula. Pengerusi majlis manis sekali. Suara dan kepekaan terhadap audien cukup bagus. Saya puji. Debaran menanti DCT bukan calang-calang. Jika ikon yang ini memandang tepat ke wajah kalian, kalian akan rasa bagaimana panahan tersebut. Kahkahkah. Ia sebuah melodi yang dilantunkan kepada hati. Sukar nak kata, kerana kita semua berhubung melalui lagu.

Mata saya masih melihat kelibat SD. Melilau-lilau. Hinggalah sebelum DCT naik ke pentas, barulah saya fokus kepada apa yang mereka semua sampaikan. Mereka tontonkan dua video klip dari lagu terbaru dalam album SimetriSiti. Dua lagu ini pastinya akan menjadi kegemaran seantero negara, Segala Perasaan dan Bersandar Cinta.

DCT mengatakan, album ini sememangnya beliau hadiahkan kepada peminat. Yang selama 21 tahun langsung tak pernah jemu mendengar suaranya. Menyokong pembabitannya serta sentiasa mendorong beliau untuk menjadi artis seni suara yang masih relevan sehingga hari ini.

Malah, lebih dari itu, kita dihidangkan dengan sebuah lagu yang diciptanya sendiri kali ini, Penghiburku. Memang ya, jika kalian dengar, sudah pasti ia memberi memori dan sorotan semasa beliau mengadakan konsert dan persembahan.

Usai program, berperanglah media menghurung DCT. Maka saya yang penyegan yang amat ini, mencari-cari SD. Oh akhirnya saya berjumpa beliau sedang mahu menjamah makanan.

“Maaf Cik Khairul, saya tak makan dari pagi, saya makan dulu ya, sikit ja,” Katanya.

Saya terdiam dan senyum sahaja. Terasa seperti mengganggu pun ada. Detik-detik berjumpa makanan saat kesibukan yang amat sangat, memang terasa seperti mendapat hadiah dari Tuhan. ia semacam sebuah penghargaan kepada diri untuk menambah tenaga yang semakin lama semakin berkurang.

Kami bersembang tentang album, tentang buku saya, Tuhan, Jaga Dia Untukku, juga sekejap-sekejap mengusik Siti Fairuz yang juga pembantu DCT sedang bercakap seorang diri kerana sibuk dengan live Intagram.

Selepas berjaya bergambar dengan DCT, saya pulang ke PWTC menjaga booth Viral-Lah! Memang kebetulan tidak ramai pula pada waktu usai maghrib. Saya duduk di satu kerusi dan melihat kembali perjuangan SD dari bermulanya sebuah hashtag #albumdct2017 pada tahun lepas.

Satu demi satu saya sorot. Dan saya akui perjalanan membikin album ini bukan senang.

Entahlah. Tiba-tiba ada sebuah perasaan yang bermain-main dalam kepala.

Lagu pertama yang dijual secara digital berjudul Segala Perasaan pada 28hb april lepas, dan ia menghantui para pendengar. Sekali dengar sahaja sudah terpikat. Apabila saya lihat liriknya itu, ia seperti menggambarkan sesuatu yang sukar untuk kita semua fikirkan dengan kasar.

Setiap detik yang berlalu itu, merupakan sebuah pengorbanan besar dari beliau. Yang mana pagi petang siang malam, beliau ini menyesuaikan diri, segala kerahan tenaga dicurahkan untuk memastikan ikon jagaannya itu sentiasa di dalam keadaan sangat baik. Ya, perkataan sangat itu penting untuk ayat kali ini.

Ia seperti sebuah kesesuaian.

“Ketika cinta, telah bersarang, taklukan dua manusia, untuk hanyut dalam rasa,

Dan rindu datang, setiap saat, seolah tak mengizinkan sedetik untuk berpisah,”

Selepas berpuluh tahun insan ini bersama melekat dengan DCT, saya fikir untuk kali ini DCT bukan sahaja menghadiahkan suaranya buat peminat. Namun, saya juga rasa DCT menghadiahkan setiap satu lagu yang dipilih bersama itu merupakan hadiah besar buat SD.

Walau hanya dua kali saya melihat secara langsung bagaimana SD menguruskan program dan majlis yang melibatkan artisnya ini, saya nampak dengan jelas sebuah kesungguhan yang cukup jitu dari pada hati beliau yang paling dalam.

Bayangkanlah, sedang makan-makan, beliau sebut dengan nada kecewa yang beberapa orang telah memuat naik gambar di media sosial yang ada jurugambar terpaksa duduk di lantai kerana kekurangan kerusi semasa majlis.

Beliau terus merendahkan diri sendiri, mana-mana program yang melibatkan artis kesayangan ramai ini pasti aka nada lebihan manusia. Walau beliau sudah sediakan ruangan lebihan itu, namun akan tetap melimpah ruah.

Dan itulah yang sentiasa beliau lalui dengan sehemah-hemahnya. Walau sudah dinyatakan RSVP, namun itulah ujian yang beliau hadap berkali-kali.

Beliau bangun, memberi layanan kepada setiap satu meja di dalam dewan. Ya kawan, setiap sebuah. Bertanya sama ada selesa, makanan ok atau tidak, dan berbagai soalan lagi.

Semua ini meruntun setiap jiwa. Beliau tahu yang beliau sedang membawa sebuah batu besar di atas kepala yang bernama imej. Ya imej Dato Siti Nurhaliza. Sedikit sahaja gelincir, batu itu akan menghancurkan dirinya juga Dato Siti sendiri.

Begitulah.

Manusia yang pastinya punya kelebihan, datang kepada kalian dan menjaga hati kalian dengan sesungguh-sungguhnya.

Malam tadi, termetrilah semuanya. Album tersebut sudah pun berada di iTunes dan dikatakan sudah pun berada di pasaran bermula hari ini di kedai-kedai.

Saya pun terus muat naik semua dan dengar satu demi satu.

Dari track pertama, Bersandar Cinta hinggalah yang akhir, Hiasi Duniaku, saya simpulkan, ini bukan sahaja hadiah DCT kepada peminatnya semua, namun ia berupa sebuah penghargaan besar buat peneman dirinya yang diberi Tuhan kepadanya, Rozi Abdul Razak, yang kita kenali sebagai Sang Dewi.

Yang menjaga setiap perjalanan kerjaya DCT, yang menyusun setiap langkah keluar masuk media, yang selalu ada setiap masalah luka dan duka, yang juga selalu senang bergembira dan mengusik jiwa, itulah dia, yang kita kenal sebagai Kak Zi.

Kau bacalah segala lirik, dan kau lihatlah dua wajah ini.

Mereka serasi dalam bentuk sebuah perasaan. Yang digabung menjadi sebuah cinta yang sukar nak dilafaz. Ia sememangnya berbentuk istimewa, yang meliputi sebuah kejayaan yang dirangkul bersama-sama.

Seorang ke depan, seorang lagi menyorok di belakang.

Namun kejayaan yang ada pada setiap lampu yang menyuluh itu, ada sebuah bayang yang sentiasa melekap pada diri.

Terima kasih Puan Rozi, kerana menjaga Siti untuk kami. Hingga beliau masih berdiri menghiburkan kami sehingga hari ini.

Terima kasih kerana memberi izin kepada diri sendiri untuk berkorban masa untuk kami. Terima kasih juga kerana mengorbankan diri untuk memberi sebuah hadiah besar untuk negara kami ini.

Hari ini, kita melihat sebuah gabungan si penyanyi dan seorang pembantu. Saya pasti, inilah contoh yang diimpian oleh setiap manusia yang punya cita-cita besar seperti ini.

Geraknya tidak boleh sendiri. Perlu ada sebuah lagi hati untuk melengkapkan diri. Dan DCT bertuah memiliki SD untuk sebuah perjalanan panjang ini.

Itulah keseimbangan sebuah Simetri. Yang ada kumpulan orchestra, juga ada sebuah akustik, juga seperti ada suara-suara yang membantu di belakang, yang menjadikan SimetriSiti ini sebuah kegemilangan besar industry seni suara tanah air.

Tahniah semua composer, penulis lirik, serta seluruh tenaga kerja album ini.

Juga tahniah Dato Siti, Tahniah Puan Rozi.

“Tinggallah kenangan luka, tergantikan cerita yang berkisarkan cinta, memberi harapan untuk kita berdua, saling menjaga dan setia, untuk selamanya”

Khairul Hakimin Muhammad,
Terus menyokong dari jauh.

#SimetriSiti
#RumahPerasaan
#SitiNurhaliza

Khairul Hakimin Muhammad

What do you think?

-2 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 25.000000%

Downvotes: 3

Downvotes percentage: 75.000000%

Leave a Reply

Selepas 16 Tahun Disekat, Megadeth Merajai Stadium Negara

Senangnya Nak Masak Sardin De Amor!