Tentang Tanggungjawab

Sisi buruk dalam kehidupan seharian, jarang sekali kita ceritakan di dalam facebook. Jika bermanfaat untuk diceritakan pada anak-anak kita, kongsikanlah pada mereka di pagi Jumaat yang mulia ini.

“Where are we going, ayah? I want to have lunch now, i am hungry.” Luah Hafiy selesai solat Jumaat. ‘Scottish accent’ nya masih pekat macam biasa.

“Jom kita pergi makan. Lepas itu Hafiy ikut ayah pergi ke bengkel.” Jawab aku.

“Why don’t you let me stay with adik at Mak Lang’s house? Then I can have lunch and play with Adam while you’re away.” Hafiy kecewa selepas melihat kedai makan yang dijanjikan sebentar tadi tutup.

“Sabar, Hafiy ikut ayah okay. First, I get you a snack, then we eat in the car.” Ceria dia bila mendengar perkataan ‘snack’.

Seperti dijanjikan, aku ekori kereta Viva yang kemek agak teruk akibat dari kesan pelanggaran pagi tadi ke sebuah bengkel di Serdang. Pagi itu aku rasakan amat panjang. Tak senang duduk memikirkan kos baik pulihnya. Ada banyak bengkel lain di sekitar Puncak Jalil ini, namun aku ikutkan kehendak bapa mertua wanita tersebut.

Selesai menghantar kereta ke bengkel, aku bawa wanita itu pulang ke rumahnya.

“Cik tak hantar kereta sama ke?” Soal wanita itu sejurus duduk di belakang.

“Tak apa, kereta saya kena sikit saja. Bila-bila nanti saya hantar ke bengkel.” Dalam hati aku belum mampu sebenarnya, wang simpanan sudah menipis sejak pulang dari luar negara. Bermacam-macam bayaran di luar jangkaan. Namun aku bersyukur, tiada lagi hutang kereta.

Sepanjang setengah jam pulang itu, Hafiy mendengar setiap butir perbualan kami. Wanita itu menjelaskan betapa fobianya dia dengan insiden yang menimpanya berturut-turut. Kereta Viva yang dipandunya itu milik iparnya dan baru sahaja berlaku insiden dia dilanggar beberapa bulan lepas. Dia dijanjikan untuk dibayar kos baik pulih. Namun, orang yang melanggarnya itu tidak menunaikan janji. Hinggalah ke tahap campur tangan polis di mana orang yang melanggarnya itu diburu hingga ke tempat kerja. Namun, tiada sesen pun bayaran ganti rugi yang diterimanya, hanya saman sahaja yang polis boleh keluarkan kepada pelaku tersebut. Kes-kes kecil sebegini polis selalu nasihatkan untuk selesai di luar, katanya. Cuma dia tidak bernasib baik pada waktu itu kerana terkena dengan orang yang tiada hati perut.

“Bila kena pagi tadi, saya menggigil. Encik ‘reverse’ masa saya lalu.” Tambahnya.

“Entah kenapa saya tak nampak kelibat awak waktu tu. Sangat pantas. Ikut undang-undang, saya yang salah. Takpa, esok siap, saya bayar kos baik pulih okay. Don’t worry, saya tak lari.” Aku tenangkan hatinya yang dihantui peristiwa lalu. Takut ditipu lagi.

Setelah menghantarnya pulang, aku bertanya pada Hafiy, apakah pengajaran yang dia peroleh tadi.

“Yeah, now I know why you want me to be with you. I learnt about being responsible.” Jawab Hafiy.

“Ya Hafiy, bukan itu sahaja. Kita tak tahu masalah orang. Dia fobia kena marah, kena tipu, nak memandu pun takut-takut. Allah tahu setiap perkara yang kita buat. Kalau kita lari dari tanggungjawab, tidak mustahil satu hari kita pula terima musibah yang lebih besar. Doa orang teraniaya sangat makbul tahu.” Tambah aku.

“What is musibah?” Sambung Hafiy. Haih, Susah juga banyak bahasa melayu yang dia tak tahu.

“Dah, jom kita makan nasik kukus bawah pokok tu.” Kasihan aku tengok Hafiy tunggu lama lapar nasi.

Lewat petang keesokan harinya, aku jumpa wanita itu bersama suami dan anaknya. Rasa bersalah aku lihat mereka datang dengan motorsikal ke tempat yang dijanjikan untuk penyerahan wang.

“Maaf, saya tak dapat hantar awak ke bengkel, saya ada tetamu. Ini duit baik pulih RM450 dan bubur lambuk isteri saya sedekah.”

“Eh takpa bang, kami ok. Terima kasih. Susah-susah saja bagi kami ini.” Jawab suaminya tersenyum.

“Isteri kata awak jual jagung di Kajang?” Aku tanyakan kepastian.

“Ya bang, sambilan je. Saya kerja kontrak sekarang ni. Buat wiring rumah.” Tersipu-sipu dia jawab.

“Eloklah tu, banyak soket rumah saya dah rosak, nanti bila sedia, saya panggil awak ok.”

“Terima kasih bang.” Sambil angkat tangan ke motorsikalnya.

Setengah jam kemudian, aku terima mesej dari wanita itu.

“Alhamdulillah, kereta dah ok cik, terima kasih.” Lega hati ini melepasi satu ujian.

“Lah, patutlah keluar tadi bawak bubur lebih. Baguslah.” Kata isteri. Dua hari aku sembunyikan rahsia, hanya diceritakan selepas mesej yang melegakan itu.

Iman Hasbullah

Leave a Reply