Super Supermoon: Fenomena Rare Yang Tak Patut Kau Lepaskan

Pada hari Isnin, 14 Nov 2016, jam 7.24 petang waktu Malaysia (GMT+8), Bulan akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi. Ia dipanggil sebagai Perigee. Fenomena Perigee ini berlaku sekali setiap bulan, pada tarikh-tarikh yang berlainan dan asbab kejadian ini ialah kerana orbit Bulan ini tidak sempurna bulat. Ia berbentuk elips. Ketika ini Bulan berada pada jarak 356511 km daripada Bumi.

Istimewanya kali ini ialah, 2 jam 30 minit kemudian, iaitu pada jam 9.52 malam, Bulan akan berada dalam fasa Bulan Penuh pula!

Maknanya, Bulan Penuh kali ini hampir sama waktu dengan saat ketika Bulan berada dalam posisi Perigee.

screen-shot-2016-11-07-at-9-56-29-am-768x513

Kesannya?

Bulan Penuh kali ini akan kelihatan sedikit besar dan terang berbanding bulan penuh yang lain untuk sepanjang tahun 2016 ini. Berapa kali besar? Berdasarkan kiraan falak, ia akan kelihatan 14% lebih besar dan 30% lebih terang.

Setiap kali Bulan Penuh sedang terbit, kita akan melihatnya seolah-olah lebih besar daripada biasa. Efek ini dipanggil sebagai Moon Illusion. Sebenarnya, saiz Bulan itu tetap sama sama ada ketika ia sedang terbit, mahupun berada tegak di atas kepala.

Saya jangkakan pada 14 Nov nanti, ramai yang akan bersungguh-sungguh mengatakan “Memang betullah Bulan lebih besar daripada biasa,” bila melihat ia terbit selepas Maghrib.

Hakikatnya, perbezaan 14% lebih besar itu tidak dapat dibezakan dengan mata kasar. Hanya menerusi perbandingan gambar-gambar yang dirakam sebelum ini sahaja yang dapat digunakan sebagai bukti ‘saintifik’ yang menunjukkan Bulan Penuh kali ini lebih besar daripada biasa.

Cuma perbezaan kecerahan sebanyak 30% itu mungkin akan lebih senang kita perasan.

Bilakah waktu boleh melihatnya?

Ketika Bulan terbit, iaitu selepas Maghrib.

 

Mengapa kali ini ‘super’ supermoon?

Walaupun jika dilihat dari segi fenomena, kejadian Bulan Penuh Perigee ini tidaklah mempunyai apa-apa ‘kesan istimewa’, namun ada satu perkara menarik mengapa supermoon kali ini lebih unik berbanding yang lain.

Berdasarkan kiraan falak lagi, supermoon kali ini adalah yang paling besar dan terang sejak tahun 1948! Maknanya, dari 1948 hinggalah tahun 2016, dalam banyak-banyak supermoon, kejadian kali ini adalah yang paling top!

Kita perlu menunggu 25 November 2034, untuk sekali lagi mengalami supermoon yang lebih super berbanding biasa!

 

Air pasang besar

Setiap kali Bulan Penuh Perigee, kita akan mengalami air pasang besar. Pada bulan lepas (Oktober) penduduk di pantai barat khasnya terpaksa mengharungi air laut yang melimpah naik ke darat. Ketika itu, perbezaan waktu antara antara Bulan Penuh dan Bulan Perigee ialah 19 jam.

Pada bulan 14 November ini, perbezaannya ialah +2 jam.

Pada bulan Disember 2016 nanti, perbezaannya ialah 24 jam.

 

screen-shot-2016-11-07-at-9-16-48-am-768x468

Jadi, berdasarkan ilmu laut yang sedikit ini, saya cadangkan adalah lebih baik rakan-rakan yang mengalami banjir akibat air pasang besar bulan Oktober lepas, untuk buat persediaan awal kali ini. Saya syorkan, hubungi pihak Jabatan Meteorologi Malaysia untuk dapatkan maklumat terkini. Lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang sedang menduduki SPM sekarang ni!

Laporan dari Astro Awani ini pun ada menyatakan kenyataan daripada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Zaitun Ab Samad supaya persediaan awal perlu dilakukan.

 

Rumusan

  1. Fenomena Bulan Penuh Perigee ialah kejadian di mana Bulan Penuh berada pada kedudukan Perigee (paling hampir dengan Bumi)
  2. Bulan Penuh kali ini akan kelihatan 14% lebih besar dan 30% lebih cerah berbanding bulan penuh biasa.
  3. Air Pasang Besar dijangka berlaku sekali lagi.

Wallahua’lam.

 

Rujukan

  1. 22 minit kemudian, Bulan pun berada di fasa Bulan Purnama, Maka, apa kes dengan Supermoon?
  2. Bulan Penuh Perigee (atau Supermoon) sekali lagi, awal pagi 11 Ogos 2014
  3. Apa kaitan New Moon, Solstis Musim Sejuk, Spring Tide dengan banjir?
  4. Gelombang kedua air pasang besar diramal bulan depan – Nadma
  5. 14 Nov 2016 supermoon: the largest full Moon in more than 80 years
  6. 2016 ends wtith Three Supermoons

 

www.falakonline.net

Leave a Reply