in

Solidariti Untuk Rumah Flat PPRT

Satu bulan telah berlalu dari sepuluh hari itu.

Atas urusan kerja, aku menumpang di rumahnya untuk satu tempoh waktu pendek. Menjalani rutin orang kota. Keluar pagi dan pulang hampir jam 12 tiap hari. Sama ada urusannya cuma keluar makan sesudah pulang kerja atau waktu kerja memang habis lewat. Pagi tadi selepas sahur, aku terlelap di bawah. Ia membawaku kepada kenangan sepuluh hari itu.

Pernahkah kau tinggal dan hidup di rumah flat Projek Perumahan Rakyat?

Selaku orang yang ringkas, aku tak kisah menumpang tidur di manapun. Tak pernah aku membanding dengan empuk tak terperi tilam di rumah. Sepuluh hari dengan tekun aku memerhati, mendengar dan membau segalanya dari rumah dan kawasan ini. Keluarga kawanku sederhana dan bahagia. Sewaktu semua pulang dari kerja dan sekolah, rumah riuh rendah dengan gelak tawa. Adik bongsunya paling lucu sekali. Pada pagi hari semua sibuk bersiap, adakalanya waktu itu bergeser juga. Semua merebut masa untuk mula bekerja. Ayahnya kadang pulang jam 2 pagi. Ada satu malam aku melangkah keluar dari bilik untuk cuci pakaian, jam 12 atau 1 pagi, ayahnya senyum di ruang tamu. Baru pulang dari kerja.

Lif dan dinding jadi tempat luahan perasaan, ada yang jadi tempat confession carutan dan cinta monyet keanak-anakan. Lif dan dinidng juga adalah papan iklan yang lebih efektif dari papan notis atau peti surat dibawah. Ada servis tong gas, jaga anak dan juga iklan jual makanan. Macam-macam aku tanyakan, macam mana kalau ada kematian? Kawanku segera tunjukkan keranda akan dibawa turun guna lif yang besar sedikit.

Ruang tempat aku menumpang tidur amat terhad. Ada rasa bersalah memutik. Mungkinkah aku terlalu mengambil ruang yang sedikit dipunyai mereka? Tetapi itu semua prasangka. Semuanya baik sahaja. Beg perlu diletak di posisi yang betul. Tidur juga perlu posisi yang betul. Tilam bujang itu cuma satu dan kami berdua tidur melintangnya. Separuh badan di atas tilam, separuh lagi di atas selimut.

Ada dua jeritan yang paling aku ingati; satu di kawasan parkir kereta dan satu lagi jerit pekik jiran di atas rumahnya. Kereta seorang perempuan dihadang. Double park. Tapi salahnya, dia tarik hand brake. Segala macam maki barua babi celaka jadi sarapanku jam 6 pagi itu. Aku tanyakan pada dia, kau tak dengar? Dia ketawa. Alyn belum biasa ni. Dua tiga hari kemudian, jam 6.30 pagi, sang ibu menjerit anaknya bodoh kerana tak bangun-bangun selepas dikejut. Ada peperiksaan menanti. Kata sang ibu, baik kau tak payah sekolah terus, bodoh! Selepas itu bunyi dentingan sudip dan kuali menggantikan. Emak kawanku goreng nasi. Aduh aroma ikan bilis dan bawang ditumis! Pagi itu kami jimat daripada sarapan diluar yang tentunya perlu dibayar RM 5 sorang.

If I were asked to name the chief benefit of the house, I should say: the house shelters day-dreaming, the house protects the dreamer, the house allows one to dream in peace kata Gaston Bachelard. Tetapi adakah ruang bagi keluarga di rumah flat PPR ini dapat memaknakan mimpi, damai dan ketenangan?

Siapa yang menentukan ruang sebesar ini layak dihuni keluarga?

Aku terlibat secara langsung semasa solidariti rumah Opah Wahidah di Kampung Chubadak Tambahan dan masih berhubung dengan Pak Daud, salah seorang penduduk Kampung Puah Seberang di Sentul. Politik ruang di Kuala Lumpur ini keji. Rumah di atas tanah, diraih penguasa dan pemaju demi projek lebuh raya, kondominium mewah, projek pembangunan negara dan digantikan dengan petak berapa kaki darab berapa kaki yang langsung tidak memikirkan aspek sosio budaya masyarakat sebelum itu.

Bagiku, rumah adalah pelindung fizikal dan spiritual. Rumah adalah tempat yang kau tuju selepas bergaduh dengan kawan, putus cinta atau selepas lemas ditenggelami komitmen kerja. Rumah adalah ubat yang mujarab.

Sekiranya rumah tidak lagi melindungi, ke mana anak-anak penghuninya akan melakangkahkan kaki? Filem Pekak cuba membawakan ruang ini kepada rakyat umumnya. Ia disanggah dengan dinding moral dan tuduhan lain lagi. Alternatif hidup gang sentiasa membuka ruangnya, eskapisme ke ruang-ruang lain senantiasa memujuk mereka. Politik ruang ini adalah politik yang keji. Kerja-kerja memaksimakan ruang dan minima kos tak sepatutnya terlintas hanya kerana ruang ini hanya diduduki rakyat biasa.

Ruang ini juga goyah, bila-bila masa kau boleh dipersilakan keluar dan calon lain ramai beratur menunggu kunci. Ruang ini menundukkan. Kedudukannya di tengah kota, kadang aku lihat cuma jadi bidak catur orang berkepentingan.

Ruang rumah flat PPR ini adalah politik yang tidak marhaen menangi. Sepuluh hari itu jadi sepuluh hari terpanjang. Dan ia masih memintaku mengingatinya sehingga hari ini. Arsitektur, fungsi dan segala macam falsafah pembinaan tidaklah mereka peduli. Cuma untung dan rugi mereka imani.

Dan di dalam ruang itu, beribu-ribu individu cuba menciptakan bahagia dengan cara tersendiri.

Alynn Sharuddin

What do you think?

6 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 6

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Proton Di Tangan China?

Tudung Kepala Tak Wajib?