in ,

Sistem Yang Mampu Membendung Masalah Penyewa Puaka Di Malaysia

Gambar : https://twitter.com/zulfathiee

Bagi yang pernah menyewakan rumah pada penyewa, pasti pernah mengalami masalah Penyewa Puaka. Penyewa Puaka yang dimaksudkan bukanlah penyewa yang mengamalkan ilmu hitam atau mengerat mayat ahli politik kepada 18 bahagian. Penyewa Puaka di sini merujuk kepada makhluk-makhluk tidak berbudi bahasa dan tiada adab dalam menjaga harta orang lain yang diamanahkan padanya.

Masa kami mula-mula mencari rumah sewa di Melbourne tahun lepas, kami belajar tentang prosedur sewaan rumah di sini. Amat berbeza dengan cara kita menyewa rumah di Malaysia, malah amat teratur dan bersistem.

Semua rumah yang hendak disewakan akan diiklan di beberapa laman web ejen hartanah, beserta butiran mengenai rumah tersebut, sewa mingguan, gambar rumah dan jadual pemeriksaan rumah.

Berlarilah kami hendak mengejar slot pemeriksaan rumah yang hanya dibuka 15 minit setiap satu sesi. Kami susun beberapa rumah berpotensi dalam kawasan kejiranan yang sama dalam satu hari untuk memaksimakan liputan. Biasanya rumah yang popular (kawasan kejiranan ‘upmarket’, rumah cantik dan sewa berpatutan) akan menerima sehingga 20 atau lebih pelawat dalam setiap satu sesi.

Proses permohonan dilakukan di atas talian. Dokumen sokongan pelbagai kategori disertakan bagi memenuhi sistem mata ganjaran. Jika dokumen tidak mencukupi atau tidak meyakinkan, jangan harap untuk berjaya. Macam proses memohon pinjaman bank. Proses ini berlangsung dalam masa yang amat singkat. Sekiranya rumah yang kita periksa itu popular, hantarlah permohonan paling lewat hari seterusnya. Kalau lambat jawabnya bye bye. Proses seliaan ejen dan tuan rumah biasanya mengambil masa beberapa hari sahaja. Jika majikan kita dapat panggilan dari ejen, selalunya kita sudah boleh senyum lebar.

Ejen hartanah biasanya akan hubungi kita melalui emel atau telefon untuk memberitahu sekiranya status permohonan kita berjaya. Kontrak sewa selalunya untuk jangka masa setahun.

Langkah seterusnya ini merupakan kunci dalam menjaga hak tuan rumah dan penyewa. Kebanyakan negara maju mempunyai satu badan kerajaan yang menjaga kebajikan konsumer khusus dalam hal sewaan hartanah. Di Australia, badan ini dinamakan Residency Tenancies Bond Authority (RTBA). Kita perlu sediakan satu cek di atas nama RTBA mengikut jumlah yang ditetapkan (biasanya lebih kurang sebulan sewa). Menjadi satu kesalahan di sini sekiranya ejen atau tuan rumah menerima sebarang wang pendahuluan sewa.Apabila kita sudah menerima kunci, satu borang dinamakan ‘Condition Report’ hendaklah diisi dan dipulangkan kepada ejen dalam masa beberapa hari. Borang ini disimpan sebagai rekod kondisi rumah, dari hasil pemerhatian penyewa dan juga ejen.

Apabila tamat tempoh sewa, rumah perlu dibersihkan dan dipulangkan sepertimana keadaan rumah pada hari pertama kita ambil kunci. Ejen kemudian akan memeriksa kondisi rumah. Sekiranya berpuas hati, ‘bond’ kita akan dipulangkan dengan nilai penuh. Sekiranya ejen tidak berpuas hati, sendiri mau ingat lah..

Segala proses ini dilakukan menerusi ejen tanpa kita perlu berjumpa dengan tuan rumah.

Sistem sebegini, jika dilaksanakan di Malaysia, rasanya mampu mengurangkan kes sakit kepala, darah tinggi dan serangan jantung tuan rumah yang menanggung kos baik pulih dinding berconteng dan berpaku, ganti pintu yang dibuka dengan penerajang, tandas tersumbat dengan entah apa sampah dan segala macam perangai setan, setelah Penyewa Puaka lari tanpa berita. Juga dapat menyelamatkan penyewa dari Tuan Tanah Celaka yang gemar mencari alasan hendak ‘burn’ wang pendahuluan penyewa.

Masyarakat kita secara amnya masih kurang rasa tanggungjawab dalam menjaga hak orang lain seperti rumah sewa, ‘common area’ kondo, serta hak bersama seperti pengangkutan awam dan kemudahan awam.

Fadzli Fauzi

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Betul Ke Syarikat Sdn Bhd Tak Perlu Audit ?

Apa Itu Sukan Chinlone?