in ,

Selamat Jalan Atuk Weigang

Minggu ini ialah minggu yang sukar buat bola sepak negeri Perak apabila dua tokoh utama pergi meninggalkan kita semua. Pada 9 Jun lalu Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan hari ini, 13 Jun 2017, Karl Heinz Weigang pula dijemput tuhan.

Hal paling menarik apabila membicarakan soal kedua-dua tokoh ini ialah mereka ialah gabungan terbaik ketika kemuncak bola sepak Perak. Raja Ahmad ialah pengurus sewaktu Perak muncul juara Piala FA pada tahun 1990. Pada perlawanan berkenaan Perak menewaskan Selangor dengan jaringan 4-2.

Lebih menarik perlawanan itu menyaksikan Perak bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menyudahkan perlawanan dengan penuh bergaya. Jika Liverpool berbangga dengan Istanbul 2005, Sejarah Piala FA 1990 ialah kebanggaan Perak.

Karl Heinz Weigang bukan orang asing dalam bola sepak Malaysia. Siapa mampu menghalang pencapaian terbaik beliau membawa Malaysia ke pentas Olimpik 1980 di Moscow. Namun, akibat percaturan politik antarabangsa, Malaysia memboikot sukan berkenaan dan harapan skuad bola sepak kebangsaan untuk menyinar di sana tidak kesampaian.

Raja Ahmad membawa masuk Karl Heinz Weigang ke Perak pada tahun 1997 dan hasilnya pada tahun 1998, Perak muncul juara Piala Malaysia menumpaskan Terengganu 5-3 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Di waktu ini Weigang memperkenalkan muka-muka baru yang kemudian menjadi di antara pemain utama negara seperti Khalid Jamlus, V.Saravanan, Indera Putra Mahyudin dan Liew Kit Kong.

Satu sentuhan ajaib yang pernah dilakukan Weigang ialah membawa masuk penyerang handalan dari Hungary, Laszlo Repasi untuk bersama-sama Perak. Pemilihan teliti oleh Weigang ini jelas berbaloi apabila Repasi muncul penjaring terbanyak Liga-M waktu itu dengan 19 gol dalam 14 perlawanan. Repasi hanya menyertai Perak pada pertengahan musim.

Sentuhan ajaib Weigang sekali lagi menyinar apabila menghadiahkan Piala Malaysia seterusnya buat Perak pada tahun 2000 selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan menerusi jaringan V.Saravanan dan Khalid Jamlus.

Weigang pernah membantu Perak mengekalkan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah tersingkir di Divisyen Dua dan rekod berkenaan sehingga kini dipertahankan. Pada tahun 2014, Perak berada di ambang penyingkiran dan sentuhan magis Weigang ditagih, beliau bersetuju dan kemudian segala-galanya adalah sejarah apabila di saat-saat akhir saingan prestasi Perak kembali memuncak dan berjaya mengelak daripada tergelincir.

Musim 2017, Weigang muncul kembali di Perak dan antara kejayaan terpenting beliau dalam tempoh singkat mengemudi pasukan ini ialah berjaya menamatkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah JDT. Perak menewaskan pasukan berkenaan 2-1 di Ipoh.

Karl Heinz Weigang, seorang jurulatih berwibawa yang dihormati kawan dan lawan, Perak seperti menjadi negeri keduanya dan sentiasa bersedia membantu pasukan bola sepak ini apabila diperlukan.

Selamat jalan Atuk, semoga kita berjumpa lagi.

Daniyal Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 50.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 50.000000%

Leave a Reply

Apa Perlu Buat Dengan Lambakan Harum Manis?

Ramadhan Bukan Hanya Milik Orang Kaya Dan Berkelapangan Sahaja