in ,

Selamat Hari Raya, Rockers Sekalian!

Semasa rock menguasai Malaysia dulu, M. Nasir pernah ditanya oleh wartawan apa itu rock? Jawab M. Nasir, rock adalah menjadi diri sendiri, buat hal sendiri dan tak kisah apa orang lain nak cakap.

Kemudian zaman rock mula suram. Orang ramai pula beralih kepada balada, pop, nasyid, k-pop, dan Sayangku Kapten Mukriz.

Adakah rock sudah mati?

Tidak. Rock tidak mati. Rock masih wujud dan masih meneruskan prinsip rock yang dikatakan oleh M. Nasir lama dulu. Malah, rock hari ini sudah bercabang ke pelbagai aliran. Bukan sedikit aliran yang wujud. Di Malaysia sendiri kita ada indie alternative rock (Hujan), progresive rock (Meet Uncle Hussain), post rock (Damn Dirty Apes), psychdelic rock (Pitahati), Brit rock (Bittersweet), punk rock (Dum Dum Tak), hardcore punk (Carburator Dung), pop punk (Bunkface), post punk (Akajita), Ska punk (Plague of Happiness), grunge (Butterfinger), post grunge (Monoloque), Reggae (Pure Vibration), hardcore (Second Combat), metal core (Cassandra), Borneo Melodic Mainstream Thrash metal (Khalifah), Nu metal (Koffin Kanser) dan macam macam lagi rock termasuk rock Faizal Tahir (Akim dan Majistreet) serta rock rempit (Projector Band).

Mereka ini walaupun berlainan cabang, masing-masing mengaku mereka rock. Bukan sikit bezanya. Kalau grunge main dengan simple chord, muzik metal lebih kompleks. Belum cerita lagi macam mana peliknya muzik psychdelic rock. Penampilan pun bukan main beza. Kalau ska tampak smart pakai baju kemeja kacing butang sampai atas, grunge pulak dressing macam hendak pergi basuh simen. Belum lagi cerita metalhead dengan rambut hantunya.

Begitulah ketaranya perbezaan antara cabang rock yang ada. Malah pengikutnya masing-masing merasakan rock yang mereka anutilah rock yang paling rock antara cabang-cabang rock yang wujud.

Walaupun ketaranya perbezaan antara pemahaman dan aliran rock yang terbit dalam Malaysia ini, tak ada pun peminat-peminat mereka berbalah rock siapa paling mengikut landasan yang betul. Tidak ada pula pengikut metal menuduh reggae itu sesat. Tak ada juga pengikut alternative rock kata punk sudah terkeluar dari landasan rock. Malah ada antara mereka boleh berkongsi pentas untuk menyampaikan dakwah rock yang mereka anuti. Lebih power lagi, ada orang macam Aru yang mewakili kumpulan metal (Koffin Kanser) dan pada masa yang sama menyanyi untuk kumpulan Reggae (Republik of Brickfield) juga.

Begitulah harmoninya masyarakat rock di tanah air kita yang saling memahami dan merendah diri antara satu sama lain. Kerana mereka faham, kepelbagaian yang ada bukan untuk dimusuhi tapi untuk diraikan. Barulah hidup sejahtera.

Namun begitu, sejak dari temu ramah M. Nasir dulu sampai sekarang, rock tetap dipandang serong oleh masyarakat kita. kadang-kadang mak ayah risau takut takut anak kalau masuk rock nanti besar tak boleh jadi doktor atau jurutera.

Berbeza pula dengan orang yang mengaji agama, masyarakat kita akan tetap memandang tinggi. Dressing jubah atau paling koman pun baju Raihan, pasti menyejukkan hati yang melihat. Kecuali jenis yang pakai baju Raihan kedut seribu, deodoran pula tak pakai.

Tidak macam rock, Islam dalam Malaysia kita ni cuma ada berapa kerat aliran sahaja. Perbezaan pun tidaklah begitu ketara, cuma sikit-sikit saja yang lain. Contohnya seperti nak terawih dua puluh atau lapan? Atau masa terawih tu nak selawat ke tidak? Tapi sejak awal muharam dulu sampailah habis Ramadhan, hari-hari masing-masing duduk berbalah antara satu lain. Siapa lagi bagus, siapa lagi wahabi, siapa lagi bidaah, siapa sesat dan siapa ada PhD. Padahal dressing dah sama jubah, tapi tak sangka hati lain lain.

Saya berharap, sempena Aidilfitri ini, eloklah kita semua mengikuti semangat rock dan saling bermaafan antara satu sama lain. Anggaplah perbezaan yang ada ini sebagai satu rahmat. Jika kita semua sedih dengan perginya Ramadhan, perpecahan antara kita lebih menyedihkan.

Sekian selamat hari raya dan maaf zahir batin.

Sang Harima Abd Rahman

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Magis Tapai Malam Raya Di Iraq

S. Kumar – Daripada Pembaca Meter Ke Pentas Dunia