in ,

Sejarah Ringkas Spiderman Yang Kau Perlu Tahu

Gambar : hypebeast.com

Sepanjang filem Spiderman ditayangkan sejak tahun 2002, satu filem pun aku tak terlepas menontonnya.

Aku peminat Spiderman dari dahulu lagi. Sampaikan masa kecik-kecik umur 8-9 tahun, lepas solat, aku akan berdoa pada Tuhan agar Tuhan hantar seekor labah-labah radioaktif untuk gigit tangan aku dan menjadi Spiderman.

Hari ini merupakan hari pertama tayangan filem solo Spiderman iaitu Spiderman Homecoming. Bab-bab ulasan cerita, aku bagi lah minggu depan, lepas dah ramai orang tengok. Apa pun, cukuplah aku katakan, filem Homecoming merupakan filem solo Spiderman terbaik yang pernah dicipta.

Gambar : comicbookmovie.com

Mengenangkan aku kipas-susah-mati (die hard fan) Spiderman, izinkan aku kongsi sedikit sebanyak tentang sejarah filem Spiderman.

Menyingkap kelahiran Spiderman, Spiderman dicipta oleh 2 orang pekerja Marvel iaitu Stan Lee dan Steve Ditko. Penampilan sulung Manusia Labah-Labah ini pada Ogos 1962 di dalam komik Amazing Fantasy.

Jalan cerita awal Spiderman tidak pernah berubah. Seorang budak lelaki yang dijaga oleh mak cik dan pak ciknya, kemudian digigit oleh labah-labah radioaktif, setelah itu dia berkobar-kobar untok menjaga keamanan setelah kematian pak ciknya, ini semua tidak pernah berubah.

Ramai orang yang tak kenal Spiderman, mempertikaikan kenapa filem Spiderman yang terbaru ini menampilkan Peter Parker sebagai budak sekolah?

Iyalah, kalau kita tengok filem-filem Spiderman sebelum ini, Peter Parker dilakonkanlah oleh Tobey Maguire yang berumur 27 semasa filem Spiderman ditayangkan pada tahun 2002.

Kemudian di dalam filem The Amazing Spiderman pada tahun 2012, ketika itu ia dilakonkan oleh Andrew Garfield yang berumur 29 tahun. Kedua-dua mereka ini sudah matang dan dewasa.

Namun, dunia terkejut apabila Marvel memperkenalkan Spiderman di dalam filem Captain America: Civil War sebagai seorang budak sekolah yang dilakonkan oleh Tom Holland. Ketika Tom Holland berlakon menjadi Spiderman di dalam filem ini, umurnya baru 19 tahun. Ya, Spiderman yang ada pada hari ini lahir pada tahun 1996. Malah, fizikal Holland ini comel-comel je yang menjadikan dia kelihatan memang macam budak sekolah menengah.

Di dalam filem Homecoming, Peter Parker terus terang memberitahu penonton bahawa dia berumur 15 tahun (scene ketika dia bergaduh mulut dengan Tony Stark).

Jika dilihat di dalam filem-filem sebelum ini, watak Peter Parker muncul sebagai pelajar kolej, malah tahun 1977,filem bersiri Spiderman (dilakonkan oleh Nicholas Hammond) menggambarkan Spiderman seorang lelaki dewasa yang bekerja sebagai jurugambar. Yang filem 1977 ni tak ikut langsung background Spiderman dalam komik.

Gambar : Photobucket.com

Disebabkan itu, pemilihan Tom Holland sebagai Peter Parker mengundang kritikan bagi kebanyakan rakyat jelata yang hanya mengenali Spiderman melalui filem sahaja. Kata mereka, cukup janggal Spiderman ini dijelmakan sebagai seorang budak yang baru akil baligh.

Namun bagi yang tidak tahu, latar belakang asal Spiderman sememangnya seorang budak lelaki sekolah menengah. Setiap versi komik Spiderman memaparkan Peter Parker berumur 13-15 tahun ketika digigit labah-labah radioaktif.

Menurut penulis buku Comic Book Nation yang diterbitkan pada tahun 2001, iaitu Bradford W. Wright, ketika Stan Lee dan Ditko mencipta watak Spiderman, niat mereka adalah untuk menarik para remaja yang jenis loser, suka bersendirian dan tidak popular agar mereka rasa terinspirasi dengan watak Spiderman ini.

Di dalam komik sulung Spiderman secara solo iaitu Amazing Spider-Man (1963) juga memaparkan Peter Parker sebagai seorang budak lelaki sekolah menengah yang loser tetapi bijak dalam Sains.

Maka, filem Homecoming ini benar-benar mengikut cerita asal komik, berbanding filem-filem sebelum ini dari sudut umur. Cuma, jika dibincangkan secara plot, filem Spiderman (2002) lebih menjurus kepada komik Ultimate Spiderman (dari Earth 1610) manakala The Amazing Spiderman (2012) menjurus kepada komik The Amazing Spiderman (Dari Earth 616).

Filem-filem sebelum ini masih ikut umur Peter Parker ketika digigit labah-labah, namun secara plotnya, mereka lebih difokuskan kehidupan Parker selepas mereka habis sekolah. Maka nak disimpulkan kat sini, penampilan Spiderman sebagai budak sekolah menengah bukanlah suatu perkara yang perlu kita terkejut kerana sememangnya Spiderman itu asalnya disiarkan sebagai seorang budak sekolah.

Pening kan? Ya. Pening. Dunia komik superhero ini memang benar-benar memeningkan. Setiap dekad, jalan cerita komik superhero ini berubah-ubah. Itu juga sebab, suit Spiderman pun berubah-ubah, kerana mereka akan ikut based on komik apa yang diorang dah target nak ikut.

Watak-watak superhero lain pun begitu. Paling drastik, watak Captain America pada tahun 2016, ditukar menjadi salah seorang pengikut Hydra iaitu organisasi paling jahat pada zaman Captain America hidup sebelum beku di dalam ais.

Bagi yang tidak tahu, Spiderman pada awalnya dipunyai oleh Marvel Comic.

                         Gambar : Sunshine Scrapbooking

Namun, dek kerana penurunan populariti filem dan komik superhero pada tahun 1990-an, Marvel dihimpit masalah kewangan yang menyebabkan mereka ingin menjual beberapa watak superhero mereka kepada produser-produser filem. Kemuncaknya, Marvel hampir bangkrap ketika di penghujung tahun 1996.

Pada tahun 1997, Spiderman dijual kepada syarikat filem Cannon Film. Seterusnya, ia dijual kepada syarikat James Cameron iaitu Carloco. Tahun 1999, Spiderman dijual pula kepada Columbia Pictures.

Columbia Pictures merupakan salah satu anak syarikat Sony.

Ha… Inilah permulaan konflik antara Sony dengan Marvel. Untuk pengetahuan semua, filem-filem Spiderman tahun 2002,2004,2007,2012 dan 2014 bukanlah dikeluarkan oleh Marvel,

tetapi ia dikeluarkan oleh Columbia Pictures dan Sony. Keuntungan 5 filem ini sahaja mencecah 13 bilion US Dollar. Berputih mata lah Marvel sebab tengok orang lain dapat untung berbilion-bilion daripada anak sendiri.

Ketika filem The Avengers (2012) ditayangkan, Spiderman tak ada dalam Avengers, walaupun di dalam komik, Spiderman antara superhero paling aktif dalam pasukan ini.

Semuanya disebabkan Sony tak nak jual Spiderman kepada Marvel, maka Spiderman tak boleh beraksi dalam filem itu. Malah lagi sengal, Sony tak bagi pun Marvel pinjam Spiderman ni pada diorang.

Namun pada tahun 2015, Sony membuat perjanjian untok pinjamkan Spiderman kepada Marvel. Maka, tahun 2016, Spiderman muncul buat kali pertama di dalam filem Civil War di bawah keluaran Marvel. Tahun ini iaitu 2017, Marvel gunakan Spiderman lagi sekali untok filem Homecoming.

Ura-ura mengatakan akan ada dua lagi sekuel Spiderman di bawah Marvel. Lepas tu, Sony nak ambil balik.

Apabila Spiderman berada di bawah Marvel, Marvel ada hak untuk masukkan watak superhero diorang yang lain ke dalam filem Spiderman, contohnya mereka memasukkan Captain America dan Iron Man di dalam filem Homecoming.

Tapi kalau Spiderman berada di bawah naungan Sony saja, Spiderman duduklah dalam filem tu seorang-seorang. Kalau kita tonton kembali filem-filem Spiderman sebelum ni, tiada satu pun menyebut tentang superhero lain, tak seperti dalam filem-filem Marvel.

Ini disebabkan milikan hak cipta Spiderman hanya kepada Sony dan Colombia Pictures sahaja. Sony tiada hak untuk ambil watak superhero lain, dan Marvel pun tiada hak nak sesuka hati gunakan Spiderman di dalam filem-filem mereka. Kalau guna juga, habislah ditarik masuk ke dalam mahkamah.

Jadi itulah serba ringkas tentang perjalanan filem Spiderman.

Sebelum aku habiskan tulisan ni, aku harap sangat korang enjoy dengan filem Homecoming ni. Dan lepas enjoy, jangan jadi bangang dengan memberitahu spoiler kepada orang yang tak tengok lagi filem ni. Hormat sikit orang lain.

Bertanggungjawablah dengan perbuatan kau sepertimana pesanan arwah pakcik Peter Parker iaitu Uncle Ben,

‘Dengan kuasa yang hebatlah datangnya tanggungjawab yang hebat.’

Mufarwa Farid

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Pegawai Perubatan Tak Perlu Lulus Bahasa Melayu. Bagaimana Reaksi Rakyat?

Asal Usul Poster “KEEP CALM”