Sejarah Jurulatih Harimau Malaysia Di Kejohanan AFF Yang Perlu Kau Tahu

Esok Kejohanan AFF 2016 akan bersepak mula. Edisi kali ini adalah yang ke-11 dalam sejarah kejohanan bola sepak berprestij di Asia Tenggara ini. Tahun 2016 juga menandakan genapnya 20 tahun Kejohanan AFF diadakan sebagai pentas mendabik dada buat pasukan Asia Tenggara bergelar jaguh bola sepak kerana nak layak ke Piala Asia pun susah, ke Piala Dunia jauh sekali.

Malaysia seperti biasa selaku antara pasukan bola sepak yang boleh tahan sedap di rantau ini akan turun dalam edisi 2016 sama seperti edisi sebelumnya. Kejohanan AFF 2016 ini juga bakal memperlihatkan Ong Kim Swee turun selaku jurulatih skuad kebangsaan dalam tugasan paling realistik buat beliau (kelayakan Piala Dunia kita jangan kiralah, itu lebih pada pelengkap jadual je).

Mampukah OKS membawa Harimau Malaya (maaf, aku tak akan guna nama Harimau Malaysia) ke mercu kejayaan? Persoalan itu akan terjawab dalam beberapa hari yang akan datang. Sementara itu, kita soroti kembali pencapaian jurulatih-jurulatih kebangsaan yang lain dalam gelanggang Kejohananan AFF.

1996 – Wan Jamak Wan Hassan

Wan Jamak Wan Hassan memikul tugas berat melatih Harimau Malaya setelah mamat Perancis, Claude Le Roy yang digebang sebagai jurulatih terbaik pernah diambil FAM akhirnya naik fed-up dengan FAM dan menyedari bahawa bola sepak Malaysia memang tidak ada harapan.

Kenapa Wan Jamak? Itu persoalan yang menarik. Wan Jamak sebelum itu adalah jurulatih Johor FA dan rekod beliau tiada apa-apa. Tak ada sebarang pencapaian peringkat domestik yang boleh dimuat ke dalam resume. Namun FAM tetap memilih beliau di saat bola sepak kita sedang tunggang langgang kerana dicemari gejala rasuah dan Le Roy yang bertekak dengan Sultan Bola.

Pun begitu, Wan Jamak tenang memikul tugas ini dan meletakkan sandaran pada duo veteran seperti Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh, selainkan bakat muda seperti Azman Adnan dan K Sanbagamaran. Di gawang, Wan Jamak bersyukur mempunyai Khairul Azman Mohamed, kiper terbaik Asia Tenggara dan bergelar David Seaman Malaysia.

Elemen pengalaman dan tenaga muda ini satu ramuan menarik dan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura dan Thailand, dua musuh tradisi serta Brunei dan Filipina. Kemenangan besar ke atas Brunei dan Filipina serta keputusan seri dengan dua musuh tradisi bermakna anak buah Wan Jamak layak ke separuh akhir dengan rekod 18 gol dan hanya 2 bolos.

Perlawanan menentang Indonesia di separuh akhir aku kira merupakan persembahan terbaik anak buah Wan Jamak dalam AFF 1996. Corak menyerang yang diterapkan memberi kemenangan 3-1 dan Harimau Malaya mara ke akhir untuk sekali lagi bertemu Thailand yang telah menundukkan Vietnam.

Pertarungan akhir bagaimanapun memihak pada Thailand dengan gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Kiatisuk ‘Zico’ Senamuang, satu nama yang pada masa itu masih muda tuannya tetapi bakal menjadi satu lagenda di rantau kita.

Harimau Malaya hanya bergelar naib juara, tetapi itu sudah cukup bagus sebenarnya kerana Thailand pada zaman itu adalah hegemoni bola sepak Asia Tenggara. Zainal Abidin Hassan mendapat anugerah pemain terbaik, dan K Sanbagamaran muncul penjaring terbanyak negara sehingga diberi jolokan The Sanba-man. Wan Jamak yang sebelum itu dianggap jurulatih bidan terjun mula dikenali dan dihormati ramai.

Chelsea level: Carlo Ancelotti

1998 – Hatem Souissi

Pada tahun 1997, Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja. Ianya dimenangi oleh Argentina yang menewaskan Uruguay di perlawanan akhir. Skuad remaja Malaysia dalam kejohanan itu dipimpin oleh Hatem Souissi, seorang jurulatih asal Tunisia. Skuad kita bungkus awal di peringkat kumpulan tetapi Hatem Souissi masih berkeras bahawa anak buah beliau mempunyai masa depan cerah.

Dan FAM percayakan Hatem Souissi dan skuad remajanya, maka untuk Kejohanan AFF 1998 keputusan diambil untuk menghantar Hatem dan anak buahnya ke kejohanan di Vietnam. Skuad Harimau Malaya dalam AFF 1998 majoritinya berumur 21 tahun dan ke bawah.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Singapura dan Vietnam. Selepas kalah 0-2 di tangan Singapura, pasukan negara hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 menentang pasukan bawahan Laos. Bertemu tuan rumah dalam perlawanan akhir, jelaslah terbukti anak didik Hatem masih belum cukup ilmu di dada walaupun pernah bermain di Piala Dunia Remaja.

Kalah 0-1 bermakna Harimau Malaya pulang awal tanpa sebarang gol dijaringkan. Singapura muncul juara kejohanan, rakyat Malaysia yang setiap hari menyeberang tambak pergi kerja terpaksa pakai paper bag di kepala dan Hatem Souissi diceraikan talak tiga oleh FAM.

Chelsea level: Luiz Felipe Scolari

2000 – Abdul Rahman Ibrahim

Kegagalan 1998 membuatkan bijak pandai di FAM insaf sekejap dan menghalau Hatem Souissi dari kerusi panas jurulatih. Pencarian jurulatih bermula kembali dan akhirnya Abdul Rahman Ibrahim atau Man Dagu, dipilih sebagai jurulatih baru Harimau Malaya.

Anak kelahiran Terengganu ini pernah menjadi jurulatih negara pada tahun 1987 dan berjaya membawa pulang pingat perak bola sepak dalam Sukan SEA 1987. Tidak ada sebarang kejayaan domestik dalam resume beliau apabila kembali meneraju Malaysia buat kali kedua, melainkan pencapaian terbaik membawa Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia 1998.

Perubahan besar yang dibuat Man Dagu pastilah membuang majoriti anak buah Hatem Souissi dan membawa masuk kembali pemain dari edisi 1996 seperti Azman Adnan dan B Rajanikandh, selain membuka peluang kepada beberapa pemain yang disisihkan sebelumnya seperti Rosdi Talib dan Ahmad Shahrul Azhar. Man Dagu juga turut membawa masuk Rusdi ‘Superman’ Suparman yang merupakan gandingan mantap Azman Adnan di Selangor.

Diundi dalam Kumpulan B sekali lagi, Malaysia seri 0-0 dengan Vietnam dan menang besar 5-0 ke atas Laos. Kemenangan tipis 3-2 ke atas Kemboja membuatkan perlawanan akhir menentang musuh ketat, Singapura satu perlawanan hidup dan mati. Anak buah Man Dagu bagaimanapun berjaya dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan Azman Adnan.

Dalam separuh akhir, mereka ditemukan dengan Thailand dan di sinilah berakhirnya perjalanan Harimau Malaya. Kita tunduk 0-2 dan Thailand mara ke akhir untuk muncul juara, tetapi Man Dagu dan anak buahnya beroleh saguhati apabila menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 3-0.

Secara keseluruhan Man Dagu sebenarnya berjaya memperbaiki pencapaian negara di pentas AFF. Sejumlah 12 gol berjaya dihasilkan (berbanding sifar pada AFF 1998) dan gandingan Azman-Suparman sendiri mencetak 7 gol.

Chelsea level: Guus Hiddink

2002 – Allan Harris

Walaupun berjaya memperbaiki kedudukan Malaysia di pentas AFF, perlantikan Man Dagu oleh FAM sebenarnya bersifat sementara. Bagi FAM, untuk bola sepak negara maju jawatan jurulatih kebangsaan mesti diisi oleh orang luar.

Allan Harris, yang pernah menjadi pembantu Terry Venables di Barcelona dipilih FAM untuk membawa perubahan dalam Harimau Malaya. Mungkin pada hemat FAM, dengan adanya Allan Harris memang tunggu masa je Harimau Malaya akan bermain seperti kelab Catalan itu.

Kejayaan Allan Harris membantu negara memenangi pingat perak Sukan SEA 2001 merupakan satu petanda positif. Dan apabila persaingan AFF 2002 bermula, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B (lagi!) bermula garang membelasah Singapura 4-0 dan kemudian meratah Thailand 3-1. Perlawanan terakhir menentang Laos bagaimanapun berkesudahan 1-1, mungkin kerana Allan Harris memilih untuk merehatkan tenaga anak buahnya.

Malaysia muncul juara kumpulan dan dipertemukan dengan Indonesia di separuh akhir. Namun cuaca cerah yang dijangka berkekalan rupanya hilang ditelan jerebu Indonesia. Malaysia tunduk 0-1 di Gelora Bung Karno, dan Thailand sekali lagi muncul juara AFF selepas menewaskan Indonesia di perlawanan akhir.

Allan Harris kekal menjadi jurulatih untuk hampir 2 tahun lagi, tapi revolusi Barcelona yang diharapkan dari beliau bakal menjadi pelamin anganku musnah buat FAM.

Chelsea level: Andre-Villas Boas

2004 – Bertalan Bicskei

Jodoh FAM dengan Allan Harris tidak berpanjangan dan pada tahun 2004 kontrak Allan Harris ditamatkan selepas Harimau Malaya dilauk China 0-4. Pengganti Allan Harris adalah jurulatih asal Hungary, Bertalan Bicskei.

Tugas pertama Bertalan Bicskei adalah di gelanggang AFF 2004 dan ianya dikira sangat mencabar kerana Malaysia menjadi tuan rumah buat kali pertama bersama Vietnam. Sudah pastilah jangkaan yang ditetapkan ialah untuk menjuarai AFF buat kali pertama.

Bertalan Bicskei banyak mewarisi pemain dari era Allan Harris dan Man Dagu dan ianya dianggap ramai pihak ketika itu bukanlah sebuah skuad yang mantap untuk muncul juara AFF. Untuk kesekian kalinya diundi lagi dalam Kumpulan B, Harimau Malaya bermula dengan dua perlawanan mudah, menang 5-0 ke atas Timor Leste dan 4-1 ke atas Filipina.

Pertemuan dengan Myanmar bagaimanapun memberi kejutan apabila kita tewas 0-1. Sekaligus menjadikan perlawanan menentang Thailand penentu hidup dan mati perjalanan Malaysia. Nasib menyebelahi anak buah Bertalan Bicskei apabila menang 2-1, ketinggalan satu gol di separuh masa pertama tetapi diselamatkan oleh 2 gol Khalid Jamlus di separuh masa kedua.

Malaysia mara ke separuh akhir yang diadakan secara timbal balik, bertemu Indonesia. Kemenangan 2-1 di Gelora Bung Karno ibarat sudah meletak satu kaki di perlawanan akhir tetapi macam biasa, di Bukit Jalil Harimau Malaya menyerahkan telurnya kepada Garuda. Malaysia tewas 1-4, Indonesia mara ke akhir dengan agregat 5-3. Di pentas akhir, Garuda bagaimanapun tunduk kepada Singapura yang muncul juara.

Bertalan Bicskei kekal menjadi jurulatih, tetapi perselisihan dengan FAM pada tahun 2005 menamatkan jodoh mereka.

Chelsea level: Rafael Benitez

2007 – Norizan Bakar

Selepas kecewa dengan dua jurulatih import, FAM kembali beralih arah ke produk Malaysia dan mula meninjau calon tempatan yang sesuai.

Pencarian FAM membawa kepada jurulatih skuad Bawah-23, Norizan Bakar atau dipanggil Cikgu Jan. Cikgu Jan sebelumnya telah berjaya membawa pasukan Bawah-23 negara merangkul gangsa dalam Sukan SEA 2005, selain pernah membimbing Perlis muncul naib juara Piala FA 2003 dan juara Piala Malaysia 2004. Kiranya boleh tahan juga resume cikgu ni.

Kejohanan AFF yang sepatutnya berlangsung pada tahun 2006 ditunda ke tahun 2007 untuk memberikan peluang kepada Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam melakukan persediaan sebagai tuan rumah bersama Piala Asia 2007. Dan buat pertama kalinya dalam edisi ini, Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan A bersama Filipina, Myanmar dan Thailand.

Tugasan pertama Cikgu Jan berdepan Filipina berjaya diatasi dengan mudah melalui kemenangan 4-0. Namun kemenangan ini merupakan yang pertama dan terakhir buat Malaysia dalam AFF 2007. Malaysia seterusnya seri 0-0 dengan Myanmar, dan kalah tipis 0-1 kepada Thailand dalam perlawanan akhir. Harimau Malaya bernasib baik untuk mara ke separuh akhir sebagai naib juara hanya kerana Myanmar seri dalam semua 3 perlawanan kumpulan mereka.

Dalam separuh akhir, Harimau Malaya dipertemukan dengan singa di seberang tambak. Dua perlawanan timbal balik berkesudahan dengan agregat 2-2 dan penentuan sepakan penalti terpaksa diadakan. Kedua pasukan tenang menyempurnakan sepakan, hinggalah Khyril Muhymeen gagal dalam sepakan terakhir negara. Singapura mara ke akhir dan menewasan Thailand untuk menjulang trofi AFF ketiga mereka.

Kegagalan anak buah Cikgu Jan sepatutnya menjadi petanda awal bencana yang akan menimpa Harimau Malaya. Tetapi tidak banyak yang boleh dibuat oleh Cikgu Jan dan FAM apabila Piala Asia 2007 bermula. Malaysia dilauk oleh China, Uzbekistan dan Iran. Cikgu Jan serta-merta dipecat oleh FAM.

Chelsea level: Glenn Hoddle

2008 – B Sathianathan

Huru-hara tahun 2007 memaksa FAM untuk berpisah dengan Cikgu Jan dan kembali mencari calon untuk melatih skuad Harimau Malaya. Sekali lagi fokus FAM pada calon tempatan dan pilihan mereka adalah jurulatih Bawah-23, B Sathianathan yang sebelum itu telah berjaya menjuarai Pestabola Merdeka 2007 dan juga naib juara Pestabola Merdeka 2008.

Namun pemilihan Sathianathan sepatutnya menimbulkan tanda tanya kerana pada Sukan SEA 2007, skuad Bawah-23 bimbingannya pulang awal selepas tersingkir di peringkat kumpulan. Dan kisah yang sama sebenarnya bakal berulang apabila AFF 2008 berlangsung.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B kembali, memulakan langkah kanan apabila menang ke atas Laos 3-0. Tetapi langkah seterusnya semua masuk longkang. Kita tewas kepada Vietnam 2-3 dan kemudian 0-3 kepada Thailand. Buat kali kedua dalam sejarah AFF, Malaysia gagal ke separuh akhir.

Kejohanan AFF 2008 dimenangi Vietnam buat kali pertama. Untuk FAM pula, mereka terus memberi kepercayaan kepada Sathianathan untuk kekal sebagai jurulatih, hinggalah bila anak buahnya dibelasah 0-5 oleh UAE dalam kelayakan Piala Asia.

Chelsea level: Avram Grant

2010 & 2012 – K Rajagopal

Kegagalan Sathianathan mengubah nasib bola sepak negara membuatkan FAM mencari suri hati yang baru buat mereka. Pilihan FAM adalah seorang lagi jurulatih tempatan, K Rajagopal atau turut dikenali sebagai King Gopal.

King Gopal pastilah calon pilihan utama, kerana pada Sukan SEA 2009 skuad Bawah-23 bimbingannya berjaya menamatkan kemarau emas 20 tahun negara. Kemudian dalam Sukan Asia 2010, anak buah King Gopal sekali lagi membuktikan keupayaan apabila layak ke pusingan kedua, sesuatu yang hanya pernah berlaku 32 tahun dahulu ketika zaman Supermokh.

Namun permulaan AFF 2010 agak mencemaskan apabila Harimau Malaya dilauk 1-5 oleh tuan rumah Indonesia dalam saingan Kumpulan A. Keputusan seri 0-0 dengan Thailand merumitkan lagi keadaan. Harapan kini adalah untuk menang besar dalam perlawanan terakhir menentang Laos dan berdoa Indonesia yang sudah pun layak akan bermain dengan komited menentang Thailand.

Nasib menyebelahi King Gopal dan anak buahnya. Malaysia menang 5-1 ke atas Laos dan Indonesia pula menundukkan Thailand 2-1. Harimau Malaya melangkah ke perlawanan separuh akhir bertemu juara Kumpulan B, Vietnam yang berjaya diatasi dengan agregat 2-0.

Buat kali kedua dalam sejarah AFF, Malaysia mara ke perlawanan akhir dan ditemukan dengan Indonesia sekali lagi. Perlawanan pertama di Bukit Jalil memihak kepada Malaysia dengan keputusan 3-0. Pusingan kedua di Gelora Bung Karno bagaimanapun merupakan episod ‘cardiac arrest’ selama 90 minit. Indonesia menang 2-1, tetapi agregat berkesudahan 4-2 memihak Malaysia.

Sultan Bola dan rakyat Malaysia tersenyum bangga. Selepas Sukan SEA, kini kita bergelar juara AFF. Ramai yang beranggapan zaman emas bola sepak Malaysia sudah kembali. King Gopal pun dianugerahkan gelaran Datuk. Beliau juga kekal sebagai jurulatih kebangsaan dan menjadi individu pertama melatih Harimau Malaya dalam dua edisi Kejohanan AFF.

Kejohanan AFF 2012 menyaksikan Datuk Rajagopal mengekalkan majoriti anak didik beliau. Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan entah macam mana, sekali lagi Malaysia bermula cemas apabila tewas 0-3 di tangan musuh tradisi Singapura.

Keadaan cemas itu berjaya diubah apabila Malaysia mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Laos dan 2-0 ke atas Indonesia. Namun perbezaan jaringan menyaksikan Singapura muncul juara dan Harimau Malaya berdepan laluan sukar separuh akhir apabila terpaksa berhadapan dengan Thailand.

Keputusan seri 1-1 di Bukit Jalil terbukti bukan bekal yang cukup untuk ke Supachalasai, dan di sana Malaysia tunduk 0-2 kepada Thailand. Perlawanan akhir menyaksikan Singapura muncul juara mengatasi Thailand. Buat Datuk Rajagopal pula, kedudukan beliau selaku jurulatih masih selamat di sebalik episod kegagalan ini.

Chelsea level: Jose Mourinho

2014 – Dollah Salleh

Jodoh FAM dan Datuk Rajagopal berakhir apabila kontrak beliau tidak disambung. Datuk Rajagopal sendiri membuat pilihan tersebut kerana tertekan dengan Artikel 88 FAM yang melarang beliau memberikan komen mengenai pasukan sendiri. Gila ke apa jurulatih tak boleh komen tentang pasukan sendiri?

Ini memaksa FAM untuk sekali lagi mencari jurulatih baru buat Harimau Malaya dan fokus mereka tertumpu kepada bekas pemain lagenda, Dollah Salleh.

Kredibiliti Dollah Salleh selaku pemain memang sudah terbukti, dan karier beliau selaku jurulatih juga tidak kurang hebat. Piala Malaysia 2003 bersama Selangor MPPJ, treble ketika mengendalikan Selangor pada tahun 2005 dan Piala Malaysia 2013 bersama Pahang. Selepas perginya Datuk Rajagopal, memang tidak ada calon tempatan lain yang lebih sesuai mengisi kekosongan melainkan Dollah Salleh.

Pemilihan Dollah Salleh pada mulanya dilihat dengan skeptikal oleh kebanyakan pihak. Bukan mudah mengisi kekosongan seorang King yang bergelar Datuk. Apatah lagi beberapa siri perlawanan persahabatan di bawah Dollah Salleh berakhir dengan keputusan hambar buat pasukan kebangsaan.

Apabila AFF 2014 bermula, Malaysia berada dalam Kumpulan B macam biasa, cuma bezanya kali ini lebih dilihat sebagai kumpulan maut. Ada Myanmar, Singapura dan Thailand yang menjadikan persaingan kumpulan ini sangat rumit. Dan kerumitan itu dimulakan pula dengan keputusan 0-0 menentang Myanmar dalam perlawanan pertama. Dalam perlawanan kedua menentang Thailand pula, Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 2-3 sekaligus menjadikan laluan ke separuh akhir semakin beranjau.

Kini anak buah Dollah Salleh perlu menang ke atas Singapura, di kandang singa yang sinonim dengan jolokan ‘Kallang Roar’. Singapura hanya perlu seri dalam perlawanan ini untuk mara ke separuh akhir. Perlawanan penentuan itu berpihak pada Malaysia 3-1, dengan dua gol terakhir negara dijaringkan dalam masa tambahan. Ianya boleh diambil kira antara perlawanan paling dramatik antara dua seteru ini.

Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Vietnam. Kekalahan dalam perlawanan pertama di Shah Alam bagaimanapun berjaya ditebus di My Dinh untuk keputusan agregat 5-4. Menanti anak buah Dollah Salleh di akhir kini ialah Thailand.

Pertarungan perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand menghidupkan kembali nostalgia edisi pertama AFF pada tahun 1996. Apa yang lebih menarik, perlawanan ini juga mempertemukan Dollah Salleh dan Kiatisuk Senamuang, keduanya pemain ketika 1996 dan kini bergelar jurulatih pasukan masing-masing.

Perlawanan pertama di Rajamangala berkesudahan dengan kekalahan 0-2 buat Malaysia. Tiga hari kemudian di Bukit Jalil, anak buah Dollah Salleh nampak hampir berjaya apabila mendahului 3-0 pada minit ke-58. Tetapi bola sepak adalah permainan 90 minit, dan pada minit ke-82 dan 87 Thailand bangkit meledak 2 gol untuk mengubah kedudukan agregat yang sebelum ini berpihak kepada Malaysia.

Malaysia terpaksa berpuas hati sebagai naib juara, tetapi pencapaian tersebut cukup untuk meyakinkan FAM mengekalkan Dollah Salleh sebagai jurulatih. Tetapi tahun berikut, segalanya tidak mengena buat Dollah Salleh. Malaysia dilauk Oman dan Palestin 0-6, seri pula dengan Bangladesh, Hong Kong dan Timor Leste.

Apabila tiba giliran UAE untuk membelasah pasukan negara 0-10, jodoh Dollah Salleh dan FAM pun berakhir.

Chelsea level: Roberto Di Matteo

 

Lucius Maximus

Leave a Reply