in ,

Segeralah Jumpa Doktor Kalau Mata Anak Anda Jadi Putih

“Dah lama dah ni doktor. Memang keturunan anak saya semua mata putih macam ni. Dah biasa.”

“Encik… ni bukan soal biasa tak biasa. Ini boleh dirawat! Dan boleh jadi bahaya!”

Pesakit datang dengan anaknya berusia tiga tahun, demam-batuk-selsema, simptom tipikal. Tetapi matanya nampak luar biasa.

Jika ditenung betul-betul ke dalam anak mata, kelihatan selaput putih.

“Leukocoria- mata putih.”

Leuckocoria dalam kanak-kanak diklasifikasi kes urgent. Perlu rujukan segera! Simptom tipikal kanser retina (retinoblastoma).

“Saya tak nak lah jumpa pakar. Anak-anak saya yang lain semua doktor rujuk dah, tapi saya tak pergi pun. Ok saja.” Seorang sembilan tahun. Seorang tujuh tahun. Dan ternyata kedua-duanya ada masalah penglihatan.
PERLUMBAAN MASA

Anak mata putih dalam kanak-kanak bukanlah petanda yang baik. Paling ditakuti ialah retinoblastoma (kanser). Ia cepat merebak, banyak kes yang terpaksa mengorbankan mata (penglihatan) dan ada yang menyebabkan mortaliti (kematian).

Kerana itu ia diklasifikasi kes urgent! Perlu dirujuk segera.

Katarak atau selaput putih kanta mata juga salah satu kemungkinan. Ya, bukan orang tua saja boleh mengalami katarak. Berbanding dengan retinoblastoma, katarak tidak akan menyebabkan kematian. Tetapi ia boleh menyebabkan kebutaan kekal jika lambat dirawat.

Bahkan pengalaman memeriksa pesakit-pesakit (dewasa) yang buta sejak kecil, ramai yang saya dapati mempunyai katarak ini.

“Dari kecil lagi tak nampak.”
“Mak ayah tak pernah hantar jumpa doktor pun.”
“Tak pernah cek pun dulu.”
“Dah nasib doktor.”

Dan saya tak sampai hati untuk memberitahu mereka bahawa jika dirawat sewaktu kecil, ia boleh sembuh sepenuhnya! Dan rawatannya agak mudah. Malang, ia berkait juga dengan faktor sosial. Sukar untuk menyalahkan sesiapa pun. Ibu bapa mereka kurang pengetahuan, kurang kesedaran, dan tidak menganggapnya sesuatu yang penting ketika itu (berbanding membanting tulang mencari rezeki).

Mata kanak-kanak, bermula daripada peringkat bayi, memerlukan stimulus penglihatan berterusan untuk saraf terus berkembang. Penglihatan kanak-kanak akan terus berkembang dan berkembang. Menjadil lebih sensitif dan peka. Sebaliknya, pembentukan katarak ini menyebabkan saraf mata tidak menerima cahaya dan stimulus secukupnya untuk menjadi lebih baik.

Apabila berterusan begini, ia akan menyebabkan gangguan penglihatan kekal yang dipanggil mata malas (amblyopia). Kekal. Kekal. Kekal. Ya. KEKAL. Katarak pada orang dewasa boleh dirawat dengan mudah, pembedahan kecil untuk membuangnya dan walla… penglihatan kembali hampir seperti biasa (kerana saraf matanya sudah sedia matang).

Tetapi katarak dalam kanak-kanak adalah perlumbaan melawan masa. Semakin lewat pembuangan selaput dibuat, semakin berkurang peluang saraf mata untuk mencapai potensi 100%. Mata malas adalah masalah saraf yang tidak berkembang, dan ia kekal. Bukan semata-mata selaput.

TANGGUNGJAWAB IBU BAPA

“Anak-anak Encik yang lain ini ada selaput. Tapi yang kecil ni kita tak pasti. Dan samada selaput atau bukan, lebih awal dirawat lebih tinggi peluang dia melihat.”

Walapun anak-anaknya yang lain sudah agak lama mempunyai katarak, tetapi berbaloi untuk mencuba. Harapnya masih ada potensi saraf mata yang boleh dipulihkan.

“Sibuk lah doktor. Payah nak bawa jumpa pakar. Klinik ramai orang…”

Anak-anak tidak memahami semua ini. Tidak ada kuasa membuat pilihan. Mereka bergantung kepada rasa tanggungjawab ibu bapa. Sibuk. Lama. Ramai orang. Payah. Jauh. Semua itu bukan alasan apabila berdepan ‘risiko’ buta dan kematian.

Hidup tanpa penglihatan bukannya mudah. Apatah lagi ia boleh dirawat.

“Demi masa depan anak Encik, tolonglah. Jumpa doktor pakar ya?”

Pesakit mengangguk. Mudah-mudah mereka maksudkannya.

TIDAK ADA ALASAN

Fasiliti kemudahan semakin banyak, mudah dicapai. Media sosial. Capaian maklumat. Semua lebih mudah. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting memastikan anak-anak yang mengalami leukocoria mendapatkan pemeriksaan segera.

Kadangkala ia tidak dapat dikesan pada peringkat awal.

Tetapi sebaik sahaja terdapat tanda, segera, segera, segera dapatkan rawatan. Jangan bertangguh. Jangan bertangguh.

Alhamdulillah, ketiga-tiga anaknya menjalani pembedahan katarak. Isu kewangan diuruskan oleh Klinik Pakar dengan merujuk mendapatkan bantuan dana. Penglihatan mereka pulih mendadak, walaupun anak sulungnya masih mengalami masalah akibat amblyopia. Sekurang-kurangnya, mereka boleh hidup independen di masa depan dengan penglihatan yang lebih baik.

Ia kebutaan yang boleh dirawat dan dicegah. Terutama Katarak.

Ia perlumbaan dengan masa.

Dapatkan pemeriksaan segera.

Catatan:
Tipikal presentasi ialah apabila anak mata kelihatan putih apabila dilihat dalam foto. Tipikal anak mata yang sihat kelihatan berwarna merah (warna retina).

Fahd Razy

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Apa Beza Panadol Dan Paracetamol?

Harga Rumah Tinggi: Penyakit Atau Simptom?