in ,

Sampai Bila Lee Chong Wei?

Ahad lepas Lee Chong Wei dijulang sekali lagi sebagai wira negara apabila muncul juara Kejohanan Badminton All England buat kali keempat.

Kejohanan ini memiliki prestij yang tersendiri dan menjadi kejohanan badminton antarabangsa tertua di dunia. Bercakap tentang tua, Lee Chong Wei juga sudah menginjak ke usia 35 tahun dan kebiasannya usia seperti ini merupakan usia yang menjadi titik-titik akhir seseorang atlet itu memilih jalan persaraan.

Kita harus akui dan memuji Lee Chong Wei sebagai seorang atlet yang bersemangat tinggi dan memiliki keupayaan fizikal yang menakjubkan. Lihat sahaja aksi di perlawanan akhir beliau ketika menewaskan lawan yang jauh lebih muda berusia 21 tahun dari China, Shi Yuqi.

Dalam perlawanan berkenaan, kudrat Lee Chong Wei begitu muda remaja. Ini merupakan contoh terbaik mengapa beliau merupakan antara atlet terulung yang bukan sahaja menjadi kebanggaan Malaysia, tetapi dunia.

Namun begitu persoalan terbesar yang memerlukan jawapan segera kini ialah sampai bila Lee Chong Wei? Di mana pemain pelapis yang lain? Di mana pemain muda negara? Di mana pemain berusia 21 tahun negara yang memiliki potensi, semangat juang dan kekuatan realiti permainan yang sejati? Di mana mereka menghilang?

Ranking terkini yang dikeluarkan BWF menunjukkan pemain perseorangan negara kedua dan ketiga terbaik selepas Lee Chong Wei ialah Iskandar Zulkarnain dan Zulfadli Zulkiffli yang masing-masing berkedudukan 30 dan 34 dunia.

Iskandar kini berusia 26 tahun, manakala Zulfadli 24 tahun. Untuk rekod terdapat beberapa pemain muda dari negara lain yang kini menunjukkan prestasi dan kedudukan ranking jauh lebih baik berbanding dua pemain Malaysia ini.

Viktor Axelsen dari Denmark baru berusia 23 tahun sudah memenangi gangsa di Olimpik Rio 2016 dan kini berkedudukan 4 dunia. Tian Houwei dari China berusia 25 tahun kini berkedudukan 6 dunia. Ng Ka Long Angus dari Hong Kong berusia 23 tahun berada di ranking 8 dunia. Shi Yuqi dari China yang berusia 21 tahun kini berada di tangga ke-10 dunia.

Sukan Olimpik Tokyo bakal berlangsung pada 2020, kira-kira tiga tahun lagi dan pemain-pemain muda yang disebut ini sudah tentu berada dalam ruang kerjaya lebih selesa ketika itu.

Tekanan juga dapat diseimbangkan oleh negara-negara seperti China dan Denmark memandangkan mereka memiliki pemain yang memiliki keupayaan untuk memberikan cabaran. China misalnya sudah mempunyai alternatif selain Lin Dan dan Chen Long. Manakala Denmark juga memiliki keupayaan sejajar di antara Jan O Jorgensen (ranking kedua dunia, usia 30 tahun) dan Hans-Kristian Solberg Vittinghus (ranking 13 dunia, usia 29 tahun).

Setakat ini rekod telah membuktikan bahawa untuk kategori perseorangan lelaki Lee Chong Wei seolah-olah berjuang seorang diri kerana dua lagi pemain negara sering terkandas di peringkat awal.

Penyelesaian mendapatkan bakat muda bukan usaha semalaman tetapi usaha berterusan. Kualiti pemain sedia ada juga memerlukan peningkatan drastik untuk membolehkan sindrom sampai bila Lee Chong Wei dapat diselesaikan.

Kita sama-sama mahu melihat sekurang-kurangnya dua pemain perseorangan lelaki Malaysia mampu berada di kelompok 10 terbaik dunia sebelum tahun 2020!

 

Daniyal Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Sejarah Ringkas Onani

Ijazah Lanjutan Dan PhD Roket