in ,

Sakit Kaki Di Mekah? Gunalah Motor Ini!

Ketika melakukan ibadat umrah tempoh hari, aku tersilap masuk pintu menuju ke ruangan tawaf di tingkat paling atas, iaitu di bahagian bumbung Masjidilharam.

Sepatutnya kena masuk ikut pintu lain jika nak ke ruangan tawaf tingkat bawah. Ia lagi dekat dengan Kaabah dan ‘feel’ itu sangat lain saat memandang ke arahnya. Ketika itu, pelupuk mata kau sudah tak mampu nak menahan jatuhnya titisan air mata ke pipi. Percayalah!

Disebabkan malas nak patah balik, aku teruskan saja. Tiba di tingkat atas sana, kelihatan jemaah yang sedang tawaf tak ramai sangat. Terus terdetik dalam hati ini untuk melakukan aktiviti tawaf mengikut sunnah Nabi SAW iaitu berlari anak pada tiga pusingan pertama. Bolehlah buat dengan tenang tanpa perlu bersesak-sesak dengan orang ramai.

Sebaik melintas kawasan lampu hijau (tanda hajarul aswad bagi memulakan tawaf) aku dengan penuh bersemangat memulakan langkah larian anak. Lari punya lari, tak cukup-cukup satu pusingan. Aku dah mula rasa penat. Lengkap pusingan pertama, aku sambung ke pusingan kedua namun dengan momentum yang sedikit lemah. Akhirnya aku tumpas pada pusingan kedua. Nafas terasa mengah.

“Luas juga rupanya kawasan tawaf tingkat atas ini ya,” gumam aku sendirian sebaik saja tahu yang jarak satu pusingan di atas sini hampir 900 meter panjangnya. Fuh, itu baru satu, nak selesaikan tujuh semuanya. Sungguh menguji kekuatan fizikal.

Syukurlah aku dapat habiskan tujuh pusingan tawaf dengan sempurna. Cumanya kaki dan paha sudah mula rasa sakit untuk teruskan dengan sai. Dan mujurlah pihak Masjidilharam ada sediakan satu kemudahan yang sangat mesra pengguna bagi mereka yang penat atau tak larat untuk menggunakan kudrat kaki ini.

Kalian boleh teka apa?

Ia adalah motor elektrik. Motor ini direka khas untuk memudahkan para jemaah yang uzur dan tak larat untuk melakukan aktiviti tawaf dan sai dengan berjalan kaki.

Tawaf pun ada sekali? Ya memang ada. Siap ada litar khas lagi. Jadi mereka yang berkenderaan ini boleh memandu dengan tenang sambil zikir dan berdoa pada Tuhan seperi biasa tanpa perlu risau akan terlanggar jemaah yang berjalan kaki.

Motor beroda empat ini ada dua jenis. Satu untuk sesiapa yang nak memandu seorang diri. Dan lagi satu bagi mereka yang nak naik berdua. Oh ya, sebelum terlupa motor ini berbayar ya. Hehe.

Begini bayarannya:

1. Jika pilih motor untuk naik seorang diri. Hanya bayar 50 riyal untuk tawaf. Dan kalau nak teruskan dengan sai, tambah lagi 50 riyal. Boleh pilih sama ada nak tawaf dan sai, atau salah satu darinya.

2. Kalau nak naik berdua pula. Contoh si anak nak bawa ibunya. Atau suami dan isterinya. Harganya adalah 100 riyal untuk tawaf, manakala tambah lagi 100 riyal untuk sai. Pun sama boleh pilih nak keduanya atau salah satu. Terpulanglah.

Kalian sampai saja di stesennya, terus ke kaunter untuk membuat bayaran. Beritahu nak pilih pakej yang bagaimana. Siap bayar, penjaga kaunter akan berikan resit untuk kau serahkan pada pak Arab yang bertugas di depan sana. Nanti dia akan hidupkan motor tersebut untuk kau.

Dari segi pemanduan adalah sama seperti motor kita di Malaysia, menggunakan hendal untuk mengawalnya. Boleh dikawal oleh semua lapisan masyarakat sama ada lelaki mahupun perempuan, dewasa mahupun kanak-kanak asalkan menjaga keselamatan dan tidak mengganggu jemaah yang lain. Lagipun kelajuan maksimumnya tak adalah laju sangat, sekadar 11 kilometer sejam.

Jika kau berminat nak menggunakannya, boleh terus ke litar tersebut di tingkat 2 setengah Masjidilharam. Kenapa begitu? Sebabnya litar ini berada di antara tingkat 2 dan 3 masjid. Ia sedikit tersorok dari pandangan orang ramai.

Jadi cara yang paling mudah adalah kau perlu masuk melalui laluan nak ke tingkat dua masjid yang bertentangan dengan tandas bernombor 3. Berhadapan dengan Safwah Tower. Jalan terus kemudian akan nampak papan tanda di sebelah kanan kita. Ikut saja arah panah berkenaan. Nanti kau akan nampak litarnya dan banyak motor-motor elektrik diparkir rapi.

Itu ha laluan untuk ke tingkat dua. Ia seperti jambatan. Jika kau datang dari Jalan Ajyad, kau akan nampak terus.
Bertentang dengannya adalah tandas lelaki bernombor 3 dan bangunan Safwah Tower. Safwah Tower ini jemaah Malaysia dah kenal sangat, sebab dalam sana ada sebuah Restoran D’Saji yang menghidangkan masakan Malaysia.
Melalui laluan tadi, kau jalan terus ke depan. Kemudian kau akan nampak papan tanda begini di sebelah kanan. Kau ikut sajalah arah panah berkenaan sampai hujung jalan. Okey?
Motor-motor elektrik disusun rapi. Banyak woi.
Di sebelah kiri itu adalah motor untuk seorang naik. Yang kanan pula adalah motor untuk naik berdua. Kau pilihlah nak naik yang mana. Asalkan tak merempit sudah. Kahkah.
Ini ada sedikit peraturan yang perlu kita ikut. Dah guna barang orang, jadi kenalah akur dengan apa yang disuruh.
Ini senarai harga motor yang aku ceritakan tadi. Tengok gambar begini lagi mudah faham rasanya.
Kebetulan itu hari aku naik motor berdua. Jadi dialah yang kena jadi supir aku. Seronok woih naik motor bajet bos begini. Siap ada pemandu. Kahkah.
Ini litar atau laluan khas untuk sai menggunakan motor.

Semoga berjaya dan selamat menunaikan ibadat umrah.

Itulah.

Najmi Farisham,
Wartawan Kegemaran Kalian.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Sebelum Pendidikan Seks, Ajari Ini Dulu Kepada Anak Anda!

Ini Kisah Black Panther Party Yang Kau Perlu Tahu