,

Rupanya Berbeza Felda Dan FGV

 

Apabila kita bercakap mengenai Felda, kita perlu jelas bahawa Felda dan FGV (Felda Global Venture) adalah dua entiti yang berbeza.

Perbezaan ini perlu diketahui kerana bukan sahaja orang kebanyakan, bahkan kapten korporat juga ada yang terkeliru di antara kedua-dua entiti ini.

Kemungkinan terdapat juga segelintir ahli politik mahupun wartawan yang sengaja mengelirukan orang ramai dengan mencampur-adukkan Felda dan FGV. (Walaupun mereka sebenarnya faham perbezaan dua entiti ini)

Seorang ahli politik yang ditugaskan partinya untuk menjadi ketua ‘task force’ Felda menyalahkan FGV walaupun isu salah laku yang ditimbulkan adalah kerja Felda.

Kegagalan memahani perkara ini dan kekeliruan yang ditimbulkan bukan sahaja memperlihatkan kecetekan pemahaman kita, tetapi lebih buruk, ia mengakibatkan keyakinan orang ramai kepada legasi Tun Razak ini lebih terhakis.

Jadi apakah perbezaannya?

Sedikit latar belakang;

Felda ataupun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan merupakan sebuah badan kerajaan yang ditubuhkan di bawah Land Development Ordinance 1956.

FGV pula merupakan sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Felda merupakan pemegang saham terbesar FGV dengan pegangan (direct dan indirect) sebanyak 39.5%.

Disebabkan FGV merupakan syarikat korporat, maka tidak hairanlah Pengerusi FGV dibayar lebih RM1.8 juta setahun.

Pengerusi FELDA? Hanya sekitar 5% setahun dari jumlah tersebut.

Dari skala pembayaran ini sahaja dapat dirumuskan betapa berbezanya FGV dan FELDA.

Baiklah, jadi apa isunya FELDA dan FGV ini?

Felda di era sebelum penyenaraian FGV pada 2012 adalah badan kerajaan yang ‘self-sustainable’ di mana mereka mempunya ‘cash-cow’ yang dipanggil Felda Global Venture Holding (FGVH).

Bahagian perladangan ini menyumbang lebih kurang RM1.1 billion keuntungan setahun kepada Felda.

Dari keuntungan inilah Felda mampu menjalankan kerja-kerja sosio-ekonomi dan kebajikan kepada lebih 100,000 peneroka. Bina rumah, bina jalan, beri biasiswa, beri pinjaman, beri bantuan, bayar bonus, dan sebagainya tanpa memerlukan dana kerajaan.

Power.

Oleh itu, apabila ‘cash-cow’ ini disenaraikan di Bursa Malaysia, ia bermaksud Felda telah ‘kehilangan’ keuntungan RM1.1 billion setahun. Banyak bukan?

Untuk mengurangkan impak kehilangan pendapatan, Felda menandatangani Land-lease Agreement (LLA) dengan FGV di mana ladang-ladang kelapa sawit seluas 270,000 hektar milik Felda ‘dipajakkan’ kepada FGV.

Melalui LLA, FGV akan membayar ‘fixed’ RM 250 juta setahun + 15% keuntungan perladangan kepada Felda.

Pada masa yang sama, FGV juga telah memberikan ‘dividen khas’ sebanyak RM 9 billion kepada Felda ekoran kejayaan IPO mereka. Maklumlah, nilai pasaran FGV ketika itu (2012) adalah sekitar RM19-20 billion.

Wang RM9 billion tersebut, selain untuk kegunaan operasi, diharapkan dapat digunakan Felda bagi menjana pendapatan lain supaya menampung kehilangan ‘cash-cow’ tadi.

Ini kerana, aktiviti-aktiviti berkaitan peneroka masih kekal di bawah tanggungjawab Felda.

Pendek kata, FGV melakukan kerja bisnes, Felda pula menjalankan kerja amal.

FGV menjalankan bisnes perladangan menggunakan tanah Felda manakala Felda menguruskan kerja-kerja berkaitan peneroka dan perniagaan ‘non-plantation’.

Kiranya, RM9 billion yang diberi FGV tersebut bolehlah dianggap sebagai ‘seed capital’ + ‘ganti rugi’.

Ganti rugi kerana Felda melepaskan aset berharga.

Seed capital pula kerana akan digunakan untuk mencari aset berharga baru.

Daripada RM9 billion itu, RM1.8 billion merupakan durian runtuh peneroka.

RM2 billion pula diperuntukkan kepada Felda Investmenr Corporation (FIC) yang ditubuhkan untuk menjadi agensi pelaburan Felda.

Selebihnya digunakan untuk tujuan operasi dan pengurusan.

Menguruskan hal-hal berkaitan peneroka dan perniagaan non-palm oil yang lain adalah amat mahal.

Sejak 2011 sehingga 2015, perbelanjaan yang diperlukan Felda adalah sekitar RM2.2 billion setahun.

Pendapatan Felda pula adalah sekitar RM900 juta ke RM1 billion setahun. Ini adalah pendapatan selepas ‘kehilangan’ RM1.1 billion ke FGV tadi seperti yang diterangkan tadi.

Oleh itu selepas ditambah tolak, Felda mengalami defisit lebih kurang RM1.2 billion setahun. (Rujuk [a])

Malangnya, FGV pula tidak dapat menampung sepenuhnya kekurangan defisit tersebut.

Purata pembayaran FGV kepada Felda sejak 2012 adalah sekitar RM 300 juta setahun sahaja.

Ini bermaksud, Felda kekurangan hampir RM 900 juta setahun. (Rujuk [b])

[a] RM2.2 billion (perbelanjaan) – RM1 billion (pendapatan)
= – RM1.2 billion (defisit)

[b] RM 1.2 billion (defisit) – RM 300 juta (FGV bayar ke Felda) = – RM900 juta (Kekurangan)

Jika FGV ingin membayar RM1.2 billion setahun kepada Felda, mereka perlu membuat untung sebanyak RM6.3 billion setahun. (Rujuk [c])

[c] LLA= RM250 juta (fixed) + RM950 juta (15% X RM6.3 billion).

Malangnya, perkara tersebut adalah mustahil. Ia memerlukan hasil sebanyak 90 tan setiap hektar. Walhal, hasil semasa adalah sekitar 20-25 tan setiap hektar.

Jadi, ada logik untuk FGV atau Felda menambahkan ‘bank tanah’ mereka dengan pembelian 37% ekuiti PT Eagle High. Tapi soal itu kita bincang di hari lain.

Hari ini kita kupas permasalahan dan model bisnes Felda.

Sekarang kita sudah jelas mengenai perbezaan Felda dan FGV serta model bisnes Felda.

Sebarang kritikan atau cadangan perlulah dilakukan mengikut pemahaman ini.

Bahkan, dengan cara ini kita boleh menilai apa sahaja hentaman kepada Felda. Adakah ia Felda? Atau FGV?

*
Pasti ada yang tertanya-tanya, bagaimana pula dengan RM2 billion yang diberikan kepada FIC untuk mencari ‘cash-cow’ baru?

Kes salah guna kuasa pegawai atasan Felda dalam projek-projek pelaburan bagaimana?

Itu kita akan kupas di tulisan seterusnya.

 

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Selamat Tinggal Bapa Pac-Man

#MuslimBan Dalam Bentuk Ilustrasi Ini Wajib Kau Tahu