, ,

Rentak Rap Bola Sepak Malaysia

(Mungkin Ada Yang Tiada Kaitan)

Muzik merupakan sesuatu yang sering dikaitkan dengan pasukan bola sepak di seluruh dunia dan apa yang menarik rentak rap juga menjadi di antara pilihan peminat untuk memberikan penghormatan kepada pasukan kegemaran mereka.

Bola sepak Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menampilkan lagu-lagu berentak rap untuk pasukan masing-masing, walaupun sebenarnya ada di antara lagu-lagu ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan sukan bola sepak (dibikin bukan untuk tujuan sukan).

Lagu Anfield Rap (Red Maching in Full Effect) misalnya merupakan di antara lagu terawal bola sepak berentak rap. Lagu ini dihasilkan sebelum perlawanan akhir Piala FA 1988 yang menemukan Liverpool dengan Wimbledon FC. Lagu ini telah dihasilkan oleh pemain tengah Liverpool sendiri pada ketika itu, Craig Johnston bersama-sama penyanyi rap terkenal Derek B dan Mary Byker. Apa yang menarik, lagu ini mendapat sambutan hangat dan berjaya menduduki tempat ketiga carta hit lagu di United Kingdom pada ketika itu.

Di dalam muzik Rap, seperti kita sedia maklum, akan terdapat unsur mengejek, menyindir dan sinikal dan tidak ketinggalan juga untuk lagu ini. Anfield Rap telah dinyanyikan oleh pemain Liverpool sendiri John Aldridge dan Steve McMahon di mana mereka telah mengejek dan menyindir pemain-pemain Liverpool yang lain seperti John Barnes, Bruce Grobbelaar, Craig Johnston, Kevin MacDonald, Gary Gillespie, Steve Nicol, Ronnie Whelan, Alan Hansen, Ray Houghton, logo pasukan, Nigel Spackman dan Jan Molby. Pengurus pada ketika itu, Kenny Dalglish juga tidak ketinggalan menjadi bahan sindiran.

Sebenarnya lagu ini adalah parodi daripada beberapa lagu hip hop terkenal pada ketika itu dan mereka telah mencantumkannya menjadi sebuah lagu. Di antara lagu yang diambil ialah LL Cool J “Rock the Bells” dan Eric B. & Rakim “I Know You Got Soul”. Selain itu, unsur muzik dari The Beatles di dalam lagu “Twist and Shout” turut dapat dikesan. Untuk itu, adalah tidak mustahil kita melihat Liverpool sebagai pasukan yang agak kelakar hingga ke hari ini.

Sekarang kita lihat pula lagu-lagu rap pasukan bola sepak di Malaysia

 

1. Negeri Sembilan – Rembau Most Wanted (Waghih)

“Kito monang kito monang yo
Duo satu kocik bonar
Ompek satu sonyum lebar “

Siapa yang tidak dapat melupakan bait-bait lirik lagu ini di mana sampai ke hari ni penyokong Nogori senyum lebar. Dengan lirik yang agak padu, Rapping dari Waghih ini dapat dinyatakan sebagai satu sumpahan kepada pasukan Negeri Sembilan. Memulakan kempen 2012 di Liga Super, Piala Sumbangsih dan mara ke suku akhir Piala Malaysia 2012 tetapi selepas lagu ini menjadi terkenal pada 2013, Prestasi Negeri Sembilan menjadi tidak konsisten sehingga menyebabkan merekatersingkir ke Liga Perdana 2014 sehingga ke hari ini. Namun begitu, apa yang membanggakan ialah kerjaya Waghih terus maju dan berjaya sampai sekarang. Tahniah Jang.

 

2. Pulau Pinang – Haria Penang Haria (Nawi feat. Al-Z (NtahSape2Ntah) dan Muariffah)

Lagu yang agak menarik dan padu. Kedengaran bunyi trompet dan lirik-lirik yang menggambarkan pasukan Pulau Pinang. Klip video lagu ini juga memaparkan Stadium Bandaraya, bandar Georgetown dan Stadium Batu Kawan. Lagu ini dikeluarkan pada tahun 2014 sebagai satu amaran kepada kebangkitan Pulau Pinang. Wow! bunyi macam hebat, tapi sebenarnya sumpahan baru bermula.

” Saya bukan cerita lebat ni betui saya habaq
nanti sampai satu masa hangpa semua pakat ketaq
mai la apa pun semua benda kami langgaq                                                                               amaran dah diberi, jangan kata cheq tak habaq”

Tahun 2014 ketika lagu ini dikeluarkan memang kita akui pasukan Pulau Pinang memang agak kuat di Liga Perdana dan mereka berjaya naik ke Liga Super 2016. Namun begitu pada tahun 2016, prestasi mereka umpama yo-yo dan nyaris tersingkir ke Liga Perdana semula. Pulau Pinang di tahun lalu wajar berbangga dengan Anugerah Puskas yang diterima oleh Faiz Subri dan dalam masa sama untuk tahun ini mereka perlu menghayati lirik lagu ini sebaik-baiknya bagi mengelakkan tersingkir kembali ke Liga Perdana.

 

3. Selangor – Viva Selangor (KRU feat. Pemain Selangor 1997)

Saya kurang pasti sama ada generasi baru penyokong bola sepak Selangor hari ini kenal atau pernah dengar lagu ini. Maklumlah pintu Stadium Shah Alam pun boleh ada penyokong generasi baru ini tak jumpa. Berbalik kepada lagu Viva Selangor yang dicipta oleh KRU dan menampilkan mereka bersama-sama pemain-pemain Selangor tahun 1997. Ini biasa, apabila pasukan tengah hebat, akan datang ramai artis-artis mencelah untuk populariti dan dalam masa sama meraikan keunggulan pasukan. Lagu ini seperti disebutkan tadi lahir pada tahun 1997 dan cara rap di dalam lagu ini juga adalah cara rap KRU, klasik dan mengembalikan ingatan kepada album Oh La La. Di antara pemain Selangor yang terlibat di dalam lagu ini ialah Zainal Abidin Hassan, Shahril Arsat, K. Sanbagamaran, Tony Cottee dan bintang utama, Azman Adnan. Setiap pemain ini menyanyikan satu rangkap lagu dan secara jujurnya lagu ini seperti lagu rap dalam drama popular Aziz M.Osman ketika itu, Cili Padi (Jaafar Onn pun ada rap dalam lagu drama ini).

 

4. Pahang – Poh Paleh Weh (Qalypso)

Lagu ini menarik menggunakan loghat Pahang tetapi unsur-unsur bola Sepak dia hanya kedengaran bunyi ‘Sepak’ dan yang lain hanya menceritakan kisah cinta. Lagu pada tahun 2014 ini sepatutnya lmenceritakan mengenai bola sepak dengan unsur-unsur bunyi samba. Ah! Kalau senang kau dengarlah sendiri!

 

5. Kelantan – Oghe Kito (Iwere feat. Dikir Warriors)

Iwere memang hebat! Dia boleh rap dua, tiga perkataan sesaat. Tak ramai orang boleh buat, namun begitu lirik lagu ini lebih menceritakan tentang masyarakat Kelantan dan tidak ada kedengaran tentang bola sepak negeri Anuar Musa.

 

6. Sabah dan Sarawak – Seloka Rapper Kenyalang (10 Emcees)

Lagu ini memang menarik, tapi sayang tiadak kaitan dengan bola sepak. Masih menarik untuk menghiburkan telinga anda.

 

7. Kedah – #KEDAHANDOPE + ALTER EGO (SAN)


Lagu ini memiliki unsur Tupac Shakur dan Eminem. Sepatutnya pasukan bola sepak Kedah ambil SAN ni buat lagu rap untuk pasukan. Setuju tak?

 

8. Perak – Ipoh Mali ( Point Blanc)

Lagu sedap tapi langsung tiada kaitan dengan bola sepak sebaliknya menceritakan tentang kehidupan di Ipoh. Sedangkan lagu Ipoh Mali itu berasal dari Stadium Perak.

 

9. Terengganu – Beghak Nanang (Pak Din Veteran)

Sebuah lagi lagu sedap yang tiada kaitan dengan bola sepak!

 

Ammar Hayy (Perakmania)

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Berhijrahlah Ke Kek Belang Kampung

Terima Kasih – Ungkapan Yang Semakin Mahal Harganya Di Zaman Ini