Rang Undang-Undang Babi!

Aku sampai Pulau Pinang masa umur 13 tahun, masuk MRSM Transkrian sebagai antara batch pioneer. Masa tu semua bangunan masih bau cat dan simen baru, tanah masih banyak warna merah, padang pun belum boleh dipanggil padang. Masa nak masuk ke pintu maktab pada hari pendaftaran, aku terfikir jugak berapa lama aku boleh tahan duduk sini, sebab jalannya masih bertanah merah dan sempit. Sepanjang jalan ada tali air yang penuh dengan semak samun.

Dipendekkan cerita, 200 meter dari maktab aku ni ada sebuah ladang babi yang aku kira dah lama dibina di celah-celah ladang kelapa sawit. Kalau tengok dari luar nampak macam besar jugak la.

Setiap hari, setiap kali waktu Subuh dan petang, kami terpaksa hidu bau babi yang sangat menyeksakan hidung dan meloyakan. Sekali angin bertiup dan bawak sekali bau babi, rasa macam nak balik kampung terus. Bertahun-tahun juga terpaksa tahan bau yang boleh membingungkan kepala otak ni. Kalau tak silap aku, pelbagai pihak termasuk maktab aku dan USM engineering campus di sebelahnya terlibat dalam usaha nak desak supaya ladang babi ni dipindahkan.

Akhirnya, selepas beberapa tahun, ladang babi ni berjaya ditutup dan aku tak tahulah depa pi pindah ke mana. Alhamdulillah, dari jalan bertanah merah, jalan 4 lorong mula dibina dan tali air semua dah dikambus. Sekarang dah cantik semua, dan bau babi pun dah tak ada.

Jadi, yang bentang usul RUU Penternakan Babi ni dah tak ada kerja lain ke?

Di Malaysia ni, industri penternakan babi bukan kecil-kecil. Setiap tahun lebih kurang 250,000 tan metrik daging babi dihasilkan untuk penuhi pemintaan dalam negara. Diulangi, permintaan dalam negara.

Permintaan ni mestilah dari orang yang makan babi (bukan orang Islam), sebagaimana permintaan orang Melayu-Islam untuk makan lembu dan kambing. Cuma penternakan lembu & kambing ni tak mampu nak tampung permintaan dalam negara sehingga terpaksa diimport dari luar. Kalau tengok unjuran kerajaan sampai tahun 2020 pun, tetap hasil penternakan domestik untuk babi berkali-kali ganda lebih tinggi berbanding lembu dan kambing.

Industri ni dah pergi terlalu jauh dan besar, termasuk la perbekalan untuk pasaran Singapura. Dalam keadaan macam ni, boleh ke hari ini kau perintah negara, tiba-tiba esok buat dasar haramkan penternakan babi? Tak semudah sembang kedai kopi lah sebab ia melibatkan kepentingan lebih dari satu pihak.

Sebagai pemimpin dan kerajaan yang cerdik, kenalah urus keperluan pelbagai kaum ni dengan cara yang betul dan adil. Dengan perkenalkan peraturan dan galakan penggunaan teknologi dalam penternakan, kerajaan negeri boleh sekat beberapa aktiviti yang tidak betul, dan mengurus beberapa aktiviti dengan cara yang betul.

Sebagai saksi hidup di kawasan Transkrian, isu utama bela babi ni semestinyalah isu kawalan pencemaran alam sekitar; air dan udara. Bau tu memang tak boleh nak disekat. Tapi air kumbahan babi ni bagi penternak haram atau yang jenis selekeh, dia alirkan je ke longkang awam, atau anak sungai dan akhirnya sungai jadi busuk, kotor dengan najis mughallazah. Begitu juga dengan isu penyebaran wabak penyakit dan virus yang berpunca/disebarkan oleh babi.

Aktiviti tak terkawal ni, memerlukan RUU Penternakan Babi yang lebih komprehensif melibatkan isu perlesenan (pemantauan), penguatkuasaan (kepentingan awam) dan aplikasi Modern Pig Farming (MPF) iaitu:

– Sistem kandang tertutup
– Pengurusan sisa kumbahan ladang zero discharge (kena ada water treatment system la kot)
– zon penampan 200 meter dari bangunan/fasiliti awam e.g. klinik, rumah ibadat, sekolah, taman rekreasi, pasar, medan selera, dll.
– Amalan Penternakan Haiwan Baik (GAHP)

Mungkin ramai la yang akan bantah sebab orang berniaga ni dia nak pastikan kos diturunkan serendah mungkin. Ni nak kena guna macam-macam sistem dan teknologi, pastilah kos penternakan bertambah, dan harga babi pun naik. Apapun, itu bukan masalah aku lah sebab aku tak makan babi.

Jadi aku pun pelik sikit la, ada orang marah bila PKR & DAP sokong RUU Babi tapi tak sokong Pindaan RUU 355. Dua benda ni tak ada kaitan langsung. Apatah lagi, RUU babi tu dah bentang dalam dewan, dah bahas dan dah sampai masa nak undi. RUU 355 ni pulak dah berapa kali driver dia konar baring.

Sebagai salah seorang penghidu bau babi bertahun-tahun lamanya, sudah tentulah RUU Penternakan Babi ini bagi aku adalah rahmat untuk semua – manusia dan juga alam.

 

Mohd Hafizul Hilmi

Leave a Reply