, ,

Ramadhan Bukan Hanya Milik Orang Kaya Dan Berkelapangan Sahaja

Aku fikir sudah berlalu zaman apabila penceramah Ramadhani mengambil sikap memperleceh kualiti ibadah para jemaah walau secara umum sekalipun. Sindiran seperti “minggu pertama penuhlah, lepas-lepas tu tinggal satu saf”, “yang muda-muda ni larat 8 rakaat je, yang tua-tua ni 23 rakaat steady lagi”, “10 malam terakhir sibuk bakar kuih raya & jahit baju raya”, “lailatulqadar jadi lailatulkamdar” – sindiran sebegini sungguhpun kedengaran logik pada satu lapisan tetapi boleh jadi ulasan mentah bertaraf hiburan sahaja.

Dulu-dulu masa aku belajar di bangku sekolah, hatta di universiti pun memanglah aku tak ada masalah nak bertarawih dan mungkin kritikan penceramah Ramadhani tu ada benarnya. Namun setelah aku bekerja baru aku faham penatnya bekerja dan kita secara umumnya kalau boleh nak buat 8 rakaat saja. Manakan adil nak disamakan dengan kudrat orang pencen yang tak buat apa-apa di rumah. Bahkan silap-silap penceramah itu pun mungkin tiada aktiviti lain selain pegang copong berceramah. Maka tiada segan silu bagi tazkirah tarawih pun sampai lupa diri lajak sampai sejam. Mentang-mentanglah dia tak ada ofis nak masuk pagi esok.

Atau mungkin menjual di bazar Ramadhan, membuat tempahan kuih raya atau menjahit baju raya sehingga mengatasi kualiti ibadah kononnya. Bagi aku kalau seseorang itu memang struggle untuk mencari sesuap nasi demi menyediakan apa yang sekadarnya termampu untuk Aidilfitri bersama keluarga – kalau para pengkritik tidak tahu apa-apa lebih baik diam sahaja. Kalau minta duit zakat kau katakan dia pemalas.

Bagaimana tidak saf semakin surut di penghujung Ramadhan, bukankah semakin ramai orang pulang ke kampung masing-masing? Semudah itu sajakah jumlah jemaah yang berkurangan berpunca daripada sikap malas jemaah semata-mata?

Dalam beberapa siri pengalaman aku terlibat dalam aktiviti membantu fakir miskin di bulan Ramadhan, sebenarnya erti Ramadhan yang sebenar masih terlalu jauh buat sesetengah mereka. Kalau majlis itu dibuat di masjid, ya mereka akan berbuka puasa bersama dalam 3, 4 ratus orang tetapi bila waktu solat Maghrib berjemaah, yang ada hanya 1 saf sahaja. Ke manakah yang lain? Balik rumah. Solat? Entahlah, mudah-mudahan. Puasa tak? Entahlah, kalau dah kerja berat sebagai nelayan, petani dan buruh kasar. Kita yang duduk di kerusi empuk di pejabat, berteduh siap dipayung penyaman udara, adakah kita lebih mulia daripada mereka kerana kita puasa dan mereka tak puasa, kita tarawih 23, mereka solat pun tidak?

‌Sesungguhnya kelapangan kita untuk beribadat dalam bulan Ramadhan hanyalah semata-mata disebabkan keizinan Allah. Allah lorongkan kesenangan beribadah antara lain sebab kita diberikan kesenangan hidup, maka janganlah diperlekeh mereka yang kualiti ibadahnya konon-konon tidak sehebat kita.

Jarang sekali aku dengar tazkirah yang praktikal untuk umat Islam yang kesibukan. Ya, tuan-tuan puan-puan memang sibuk, apatah lagi ibu dan isteri. Baik, untuk golongan sebegini apa yang mereka secara minimum, seboleh-bolehnya, jangan tinggal. Mungkin doa Allahumma innaka ‘afuwwun karim, jangan lupa baca setiap kali lepas solat fardu, atau bacalah al-Quran ketika dalam LRT/komuter. Kalau dah pergi kerja setengah jam, balik kerja setengah jam, takkan dalam sejam tak boleh baca satu muka al-Quran. Kalau memandu kereta takkan tak boleh zikir Lailahaillallah 100 kali? 3 minit je pun. Tips-tips sebegini lebih bermanfaat berbanding terpekik terlolong dan disudahi dengan tadahan jabir.

Maka jangan sempitkan makna Ramadhan dengan hanya tarawih, tadarus semata-mata. Sedangkan bekerja mencari rezeki juga ibadah, memasak dan membuat kerja rumah adalah ibadah, menjaga anak-anak juga adalah ibadah.

Ramadhan bukan hanya milik orang kaya dan berkelapangan sahaja.

Mohamed Hadi AH

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Selamat Jalan Atuk Weigang

Tak Usah Bagi Makanan Pada Gelandangan, Percayalah!