in ,

PRU#14 vs 21 Hari Tragedi di Felda Tenang

Kira kira 56 tahun yang lalu, pemimpin agung Indonesia, Soekarno pernah berisytihar dalam pidato beliau yang amat bersejarah:


Kalau kita lapar itu biasa,
Kalau kita malu itu juga biasa.
Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia,

kurang ajar!

Kerahkan pasukan ke Kalimantan hajar cecunguk Malayan itu!

Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysia keparat itu!

Doakan aku,
aku kan berangkat ke medan juang sebagai patriot bangsa, sebagai martir bangsa dan sebagai peluru bangsa yang tak mau diinjak-injak harga dirinya.

Serukan-serukan ke seluruh pelosok negeri bahwa kita akan bersatu untuk melawan kehinaan ini!
kita akan membalas perlakuan ini dan kita tunjukkan bahwa kita masih memiliki gigi yang kuat dan kita juga masih memiliki martabat!

Yoo ayoo kita ganyang!
Ganyang Malaysia!
Ganyang Malaysia!

Bulatkan tekad
Semangat kita badja
Peluru kita banjak
Njawa kita banjak
Bila perlu satoe-satoe!

Konfrontasi Indonesia-Malaysia dengan tema Ganyang Malaysia pantas merebak sejurus penubuhan negara Malaysia dengan penyatuan Sabah dan Sarawak.
Kalimantan dan beberapa kawasan di Sarawak telah bermandi darah akibat beberapa siri pencerobohan tentera Indonesia sepanjang period konfrantasi.

Kemuncak dari perseteruan itu, di suatu malam nun jauh di selatan semenanjung tanah Melayu, 2 buah pesawat Hercules C130 milik tentera elit Indonesia bersiap sedia memuntahkan seramai 96 anggota payung terjun gerila dari batalion para dan Kor KKO (sebutan: ka-ka-o) di kawasan yang telah mereka tetapkan.

Malam yang sunyi 2 September 1964. Hujan di langit Felda Tenang yang masih berkejaran melata santak ke pekan Labis tidak putus putus turun meRahmati para penduduk yang sedang tidur dan beristirehat.

Dalam hujan yang berkabus, 96 tentera elit Indonesia berjaya menyusup masuk ke tanah Johor melalui kawasan Felda Tenang, Labis. Bersama mereka senjata, peluru dan bekalan makanan.

Mereka datang hanya dengan satu tujuan;

Memulakan serangan gerila di tanah semenanjung Malaysia!

“Namun kalau kita lapar dan malu itu kerana Malaysia, kurang ajar!”

Cebisan pidato Soekarno masih segar membakar jiwa raga tentera elit berkenaan yang dikepalai Leftenan Muda Sutikno.

Perasaan marah, geram dan benci begitu membuak sehingga mereka hilang kewarasan menyerbu, menyerang tanpa mengetahui sebab punca.

“Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysia keparat itu!”

Bait pidato Soekarno ibarat darah yang mengalir ke saraf otak, berdenyut menyuruh mereka berbuat gila tanpa ada fikir dan rasa.

***

Berita gerila payung terjun Indonesia telah mendarat di Felda Tenang cepat tersebar. Polis dan PPH (Pasukan Polis Hutan) segera bertindak membentuk gerakan keselamatan segera.

Penduduk Felda Tenang, yang rata ratanya cuma bertani turut membantu anggota keselamatan mencari dan mengintip jika terdapat sosok mencurigakan di setiap inci tanah Felda Tenang hingga ke sekitar pekan Labis.

Terjadi kejadian tembak menembak yang mengorbankan beberapa orang tentera Indonesia selama beberapa hari di kawasan Felda Tenang yang ketika itu cuma diliputi kebun getah dan hutan belukar.

Strategi militan Indonesia pada masa tu, melalui risikan dan intipan beberapa orang talibarut, mereka memikirkan penduduk di Felda Tenang yang kebanyakannya berasal usul dari tanah jawa akan bekerjasama dan bersepakat membantu urusan pencabulan negara Indonesia ke atas negara berdaulat Malaysia.

Sayang seribu kali sayang,
Ketaatan penduduk di Felda Tenang tidak berbelah bagi untuk negara Malaysia. Ini terbukti dengan bantuan penduduk yang tidak putus memberi setiap perincian maklumat kepada pihak polis dan menjadikan Pejabat Felda sebagai pusat gerakan demi membanteras serangan hendap yang boleh saja berlaku pada bila bila masa.

Sehingga dikhabarkan, seorang penduduk Felda Tenang yang terlibat menangkap seorang tentera gerila itu mendapati tentera yang ditangkap itu adalah saudaranya sendiri dari perkampungan asal mereka di Indonesia!

Bukan itu sahaja, sepanjang konfrantasi anak anak kecil turut diajar dengan ritma lagu;

“Soekarno makan ubi, lauknya tikus basi”

Ini sebagai membalas kata kata cerca hina yang Soekarno hamburkan dalam ucapan ucapan, dan bait bait pidatonya macam yang aku tulis di awal perenggan.

Perang saraf kata kata ini turut dilawan sinis oleh pemimpin Malaysia ketika tu, Tunku Abdul Rahman dalam temubual bersama Reader Digest;

“Soekarno mengatakan rakyat saya sedang sengsara makan jagung, tikus dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka sedang menari, minum-minum dan berpoya-poya.”

***

3 minggu berlalu, beberapa kematian di pihak anasir gerila. Leftenan Sukitno kian hilang motivasi atas beberapa sebab;

1. Kehabisan bekalan makanan

2. Tidak mendapat kerjasama penduduk walaupun sebangsa serumpun

3. Berasa tertipu dengan pemerintah Indonesia yang memusuhi Malaysia hanya sebab kepentingan politik, yakni cita cita peribadi Soekarno untuk Melayu Raya kerana dia ingin melihat tertegaknya Pancasila di bumi Malaysia.

Keletihan, lapar keterlaluan, hilang punca.
Menyedari penipuan oleh pemerintahnya, pada malam Jumaat semasa penduduk Felda Tenang mengadakan majlis bacaan Yassin di rumah penduduk, Mohd Akip bin Abd. Hamid, Leftenan Muda Sutikno bersama pengikutnya datang membuat pengakuan untuk menyerah diri kepada kerajaan Malaysia.

21 hari di Felda Tenang yang sangat panjang, sangat berbahaya dan sangat mendebarkan itu akhirnya bertemu nokhtah kemenangan.

****

Beberapa penduduk Felda Tenang yang nama mereka sempat dicatat sejarah sebagai instrumental dalam menangani pencerobohan tentera gerila Indonesia, antaranya;

Hj.Sajidan bin Kadiman(Naib Pengerusi JKKR, merancang dan bekerjasama dengan pasukan keselamatan)

Mohd.Akib bin Abd Hamid (rumah tempat Lt.Sutikno menyerah diri)

Isa Asing (orang pertama yang menyuluh lampu ke arah C-130 pada malam itu dan melaporkan kepada pihak berkuasa)

Begitulah sikap, semangat nasionalisma, patriotisma dan solidariti yang di pamerkan oleh penduduk Felda Tenang dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Suatu pelajaran sejarah yang wajar kita jadikan ikutan dan iktibar.

Apa yang telah berlaku sepanjang konfrantasi, terutamanya di Felda Tenang 54 dahulu, tidak mustahil berulang lagi dalam skala dan perspektif berbeza pada hari ini.

Maka aku ingin mengambil kesempatan atas pelajaran sejarah konfrantasi tersebut yang sekarang ini kita lalui dalam menempuh PRU#14.

Hari ini,
Mungkin kita tidak berkonfrantasi dengan negara asing, tetapi kita berkonfrontasi dengan masyarakat yang hidup bersama dalam negara kita sendiri.

Hari ini,
Mungkin kita tidak lagi mendengar kata kata cerca hina pemimpin negara asing, tetapi hari ni kita mendengar kata kata cerca hina antara pemimpin yang semua mereka ini lahir dan hidup membesar di negara kita.

Hari ni,
Mungkin kita tidak lagi saling membalas ejekan rakyat negara asing, tetapi kita saling membalas ejekan sesama sendiri melalui poster troll, video dan ucapan ucapan yang dimanipulasi demi kebencian.

Hari ni,
Mungkin kita tidak lagi melihat rakyat negara asing taksub dengan kata kata dan ideologi pemimpin sehingga terpedaya menggadai nyawa, tetapi kita melihat diri kita sendiri menjadi taksub dengan kata kata dan ideologi pemimpin sehingga kita bertelagah sesama anak bangsa.

Hari ni,
Mungkin kita tidak lagi melihat pergaduhan antara dua negara walaupun mereka sama serumpun, tetapi kita melihat pergaduhan manusia bersaudara dan seagama.

Hari ini,
Mungkin kita tidak lagi menerima serangan gerila penerjun elit entah dari mana yang mahu membikin onar, tetapi hari ini kita menerima serangan sesama pemimpin dalam negara berupa tuduh menuduh, tipu menipu dan janji janji palsu yang akhirnya meremuk redamkan keharmonian hidup bermasyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Oleh yang demikian,

Atas apa pun keputusan yang bakal kita perolehi esok, maka berlapang dada, kembalilah menjadi seorang rakyat dan penganut agama yang lebih baik sebagaimana lesson learn yang kita pelajari melalui sejarah konfrantasi dan 21 Hari Tragedi di Felda Tenang.

Selamat Mengundi!

#PRU14
#FeldaTenang1964

Fdaus Ahmad

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kisah Bapa CGI Dunia

FELDA Tidak Pernah Gagal