in ,

Profesion Keguruan Pantang Ditegur?

Apa yang Mutalib Uthman tulis di wall Facebook dia tu memang kami bincang di dalam kereta semalam. Aku nak mengaku yang aku mulakan isu tu. Mengharapkan hujah balas daripada Zamir, namun hampa. Dia rilek menyandar kat belakang.

Bila pagi ni Mutalib naikkan isu cikgu-cikgu, aku dah mula risau sebab aku dah pesan kat dia, benda susah ni. Aku dulu pun kena serang sampai tak terlayan. Tengok-tengok dia naikkan juga. Siap tag aku lagi.

Bersepah-sepahlah notification naik kat Facebook aku. Mula-mula aku rasa nak masuk sekali balas komen-komen. Lama-lama bila keadaan dah meliar dan tak terkawal, aku undur diri. Namun aku baca satu persatu sampai ke malam.

Sebagai bekas guru, isu ni memang dekat sungguh dengan aku. Point yang aku baca, aku dapat bayangkan dan faham. Ada point yang aku akui, dan ada yang aku tak berapa setuju.

Namun aku hampa sangat dengan 80% daripada hujah balas daripada cikgu-cikgu. Aku kecewa sedikit. Aku harapkan hujah yang jitu, ilmiah dan tegas. Ini nampak kebanyakannya lari daripada hujah asal sampai bercakap bukan-bukan. Aku kumpulkan tiga jawapan balas cikgu-cikgu. Ini yang paling banyak aku baca.

Pertama, jangan persoal kerja cikgu sebab kerja cikgu paling mulia. Ini kerap aku cakap kat kawan-kawan. Memang kerja kita sebagai cikgu ni mulia. Betul. Mengajar anak orang sampai pandai kot. Takkan tak mulia lagi?

Namun, kita paling muliakah sampai tak boleh orang persoal? Adakah kerja di bidang lain tak mulia?

Seorang tukang kutip sampah Majlis Bandaraya Kajang, hari kedua raya sudah turun bekerja kutip sampah-sarap yang kita buang masa raya pertama. Tak mulia kerja dia? Doktor, misi yang sambut anak kita tu tak muliakah cikgu? Anggap kerja kita mulia boleh, tapi paling mulia daripada kerja orang lain tu ada tak kena.

Kedua, hujah balas cikgu-cikgu, kalau pandai sangat, jadilah cikgu tengok. Cuba mengajar sehari, boleh ke tak?

Aduhai cikgu. Kalau orang mengkritik seorang pemain bola yang main lemah longlai di atas padang, adakah orang tu kena turun dari kerusi stadium untuk ganti jadi penyerang?

Untuk kita kritik Menteri Pendidikan atas dasar-dasar baru kita tak suka, tak kena sana-sini, adakah kita kena bertanding kerusi parlimen, jadi Ahli Parlimen dahulu, baru boleh nak kritik? Pastilah jawapannya tak.

Ketiga adalah bila dipersoal, cikgu-cikgu akan mula ugut si penyoal jangan hantar anak hang ke sekolah. Pergilah hantar sekolah swasta, tak pun homeschool ja lah. Macamlah sekolah itu hak siapa-siapa untuk diarah-arah.

Itulah tiga hujah dangkal paling banyak aku baca di bahagian komen. Kebanyakannya daripada cikgu-cikgu.

Satu hal lagi adalah point cikgu-cikgu mengeja macam orang tak pernah belajar.

Mengeja dengan betul dan penuh adalah satu kemestian untuk naikkan kredibiliti siapa-siapa pun. Mana ada manusia nak respek kita kalau mengeja tak betul.

Bukanlah perlu tatabahasa yang tepat, ‘di’ dekat, ‘di’ jauh, selepas ialah kena frasa nama pun. Cuma ejaan penuh. Benda ni asas. Orang sekeliling akan pandang rendah bila baca kita menulis macam tak pernah sekolah.

Kita ajar anak murid, m.a.l.a.m itu bunyinya malam. Kita pula tulis mlm di Facebook.

Ini bukan soal skema tak skema. Ini soal kredibiliti.

Aku tahu artikel ni pun akan menerima nasib seperti mana-mana artikel yang berhujah tentang cikgu. Akan diserang dengan komen yang sampaikan kita sendiri tak reti nak balas apa, akan dicopy dan dikongsi di group-group Facebook cikgu-cikgu, group-group Whatsapp. Dihentam depan belakang.

Niat aku cuma untuk ingatkan semua orang, yang guru adalah profesion yang ada kelasnya. Dalam masyarakat, guru dipandang tinggi. Maaf, sangat tinggi. Dulunya diangkat hingga jadi menteri.

Sekarang bila dah ramai orang persoal, nampaknya kelas tu dah makin dipandang enteng. Cikgu-cikgulah kena angkat semula, tinggikan kembali kelas kerjaya kita.

Zulhilmi Daud

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Rosaknya Sistem Pendidikan Kerana 4 Perkara

Jangan Bagi Anak Anda iPad!