in ,

Perjuangan Hal Wanita Bukan Lantang Di Media Sosial Sahaja

Baru-baru ini bila aku hadiri pelancaran Manifesto Wanita yang digerakkan oleh beberapa NGO, aku telah disindir seseorang kerana seperti tiba-tiba sahaja berminat untuk hal-hal aktivis. Aku telah dipengaruhi, katanya. Aku ketawa sinis dalam hati memikirkan bahawa ada orang yang tidak menyedari bahawa perjuangan hal wanita ini tidak terhad kepada mereka yang lantang dan yang kuat berslogan atau popular di media sosial.

Seorang suri rumah yang tidak dapat hadir ke acara-acara feminis kerana terikat dengan tugas sebagai isteri dan ibu mungkin mempunyai semangat feminisme yang lebih kuat dari seorang bujang yang punya banyak masa ke sana dan ke mari.

Aku mengenali seorang makcik yang sudah berkeluarga membawa pulang seorang gadis mengandung tak dikenali yang ditemui dalam perlarian dan disembunyikan di rumahnya daripada teman lelaki yang memukulnya. Aku juga pernah mengenali seseorang yang menyelamatkan dua kanak-kanak lelaki berkeliaran kerana ibunya masuk penjara dan mereka tak tau nak ke mana. Wanita itu mencari sampai jumpa bekas suami dan ibu tiri budak-budak itu dan diserahkan untuk menjaga budak itu meskipun jarak budak itu ditemui dan bekas suami wanita yang dipenjara itu ialah 350 km. Kenapa dia bersusah? Sebab katanya dia tau perasaan ibu yang dipenjara itu yang mahukan yang terbaik untuk anaknya. Dua orang budak tu dah elok besar dan dah bekerja pun dan hormat kepada ibunya yang sudah lama keluar dari penjara meski tidak tinggal bersama.

Ada lagi contoh, seorang jiran wanita aku sentiasa sanggup menjagakan anak saudara dan anak kawan-kawan di hujung minggu walaupun ada anak sendiri. Dia bukan baby sitter pun. Dia wanita bekerjaya yang cuti di hujung minggu. Dia boleh sahaja kata No sebab dia nak rehat pada hujung minggu. Tapi tak, dia tetap ingin membantu. Kerana apa? Kerana dia merasakan ibu mereka (yang minta tolong tumpang anak) itu juga berhak untuk rehat dan apalah salahnya dia meringankan beban seorang wanita yang meminta tolong kepadanya apatah lagi di zaman begitu ramai wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab?

Dalam buku Chicken Soup for The Soul, aku ada membaca tentang sekumpulan 4 suri rumah yang untuk lebih dua dekad akan berkumpul secara rahsia setiap beberapa bulan dan berkongsi duit untuk belikan barang-barang makanan dan barang rumah asas lalu mereka tinggalkan di depan pintu rumah wanita/ibu/ suri rumah lain yang memerlukan/ tidak mampu.

Contoh terakhir ialah seorang makcik warga emas yang aku kenali dan duduk di sebuah rumah flat kos rendah yang rajin turun naik bangunan Baitulmal dan DBKL untuk membantu wanita-wanita/ para ibu yang hidup susah untuk mendapatkan bantuan. Walaupun usianya sudah lanjut tapi dia kenal ramai orang dan dia pandai mengisi borang – ini juga satu bentuk sokongan kepada wanita yang memerlukan kerana wanita-wanita yang dibantu biasanya tak tau nak ke mana atau tak reti cara meminta bantuan.

Kerana itu meskipun kita hormati dan menyokong kuat mereka yang berani dan konsisten di barisan depan perjuangan wanita namun janganlah kita memandang rendah dan menutup mata kepada wanita-wanita yang di baris belakang. Mereka ini tuan-tuan dan puan-puan ialah aktivis-aktivis wanita yang tidak didendang. Mereka tidak berdaftar dengan mana-mana NGO, nama mereka tidak dikenali namun mereka melakukan apa yang mereka rasa harus lakukan untuk membantu sesama wanita. Siapalah kita untuk menafikan perjuangan senyap mereka?

Feminisme ini juga tidak terhad didukung oleh wanita. Aku kira ketua lelaki aku juga ialah seorang feminis kerana beliau, seorang bapa, begitu memahami cabaran seorang wanita – dia faham ada wanita yang senggugutnya macam sakit nak beranak dan memerlukan MC setiap datang bulan, dia tak persoal. Dia juga faham para ibu kadang-kadang perlu ambil cuti. Bukan sebab mereka sakit tapi sebab anak mereka sakit dan mereka kena menjaganya di rumah. Dan dia mengizinkannya. Tanpa banyak soal. Janji tanggungjawab kerja uruskan dengan baik.

Maka sampai aku kepada sesuatu yang menyedihkan. Bila seorang wanita tidak feminis atau tidak ada empathy kepada wanita lain. Aku pernah bekerja dengan “wanita kuat” yang marah dan mempersoalkan bila staf wanita mengandung ambil banyak cuti kerana tidak larat nak kerja sebab alahan atau lemah badan atau bila seorang staf yang juga seorang ibu kerap ambil cuti atas urusan anak-anak (anaknya 5 orang) manakala ketua aku itu ada anak seorang sahaja dan sudah besar pula anaknya. Seperti sosok popular yang viral baru-baru ini dengan kenyataannya tentang dia silap kerapa terlalu tegas dengan staf dia yang mengandung/ ambil cuti sebab tak larat, bekas bos wanita aku juga itu akan membebel membandingkan orang lain dengan dirinya – kenapa I boleh komited kepada kerja masa mengandung? Boleh kuat ke pejabat tapi mereka tak boleh? It’s all in the mind, kata beliau – yang punya maid untuk uruskan segalanya bila dia pulang ke rumah tak seperti ramai ibu lain yang bersilat mengemas, memasak dan menguruskan anak-anak sebaik mencecah kaki ke rumah sebelum sempat menguruskan dirinya sendiri.

Sesetengah orang hidup mereka sangat sukar. Memang, kalau kita tak alami kita tak dapat fahami apa rasanya. Jesteru jika kita tak dapat membantu mengurangkan beban, janganlah kita menambah kedukaan.

Sue Ahmad

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Pahlawan Melayu Pun Guna Senjata Api Canggih Lawan Penjajah Lah!

Buat Duit Dengan Melancong Ke Jepun