, ,

Peperangan Candu Di Segitiga Emas

Hari 6: Peperangan Candu

Hari ini saja nak bersantai sikit. Malas nak pergi jauh-jauh.
Jadi aku pergi ke Golden Triangle atau dalam bahasa ibunda, Segitiga Emas.

Kenapa Segitiga Emas?
Ia dipanggil segitiga kerana kawasan ini merupakan sempadan kepada tiga buah negara iaitu Thailand di sebelah selatan, Laos di bahagian timur laut dan Myanmar di kawasan barat laut.

Emas?
Kawasan ini tak ada emas tapi terkenal dengan perdagangan candu pada suatu masa dahulu. Ada pendapat yang mengatakan candu diperkenalkan oleh orang Greek untuk tujuan makanan dan perubatan. Semasa Alexander the Great menjelajah ke timur, beliau membawa sekali candu. Ketika itulah candu mula memasuki pasaran timur.

Ada pendapat lain mengatakan candu masuk ke timur sewaktu peperangan antara China dan British. Cuba search ‘perang candu’ di internet pasti ada cerita tentang ini.

Kemudiannya puak bukit (hill tribe) dari Thailand, Myanmar dan Laos yang telah membeli candu dan tanaman popi (bukan kopi) dari China dan membawanya masuk ke kawasan Segitiga Emas tersebut.

Candu pada masa itu dikira sangat berharga dan setanding dengan nilai emas. Disebabkan itulah kawasan ini digelar ‘Segitiga Emas’.

Ada versi lain pula. Ini aku dengar dari kawan aku sendiri. Menurut dia, semuanya bermula sewaktu peperangan saudara tercetus di China (Komunis vs Kuomintang).

Pada masa itu, komunis ni satu fahaman baru yang muncul di China. Kuomintang ini pula adalah sambungan kepada ‘Parti Revolusi China’ di mana parti inilah yang telah menghapuskan era ‘raja’ atau Dinasti Qing di China.

Kalau tengok cerita Once Upon a Time in China, kau tahulah pasal parti ini. Zaman Dr Sun Yat Sen, Wong Fei Hung dan lain-lain mula terkenal. Muzium sejarah Dr Sun Yat Sen ini ada di Hong Kong.

Dua puak ini, komunis dan KMT telah berperang sesama mereka. Pada mulanya KMT cuma berkuasa di kawasan selatan China. Lama kelamaan KMT semakin terdesak dan sebahagian besar ahlinya lari ke Taiwan.

Tapi ada sebahagian kecil askar mereka yang tidak ikut lari. Mereka terus berperang. Mereka cuma berundur sedikit dan berkampung di kawasan hutan sempadan Myanmar – China.

Bila kerajaan Myanmar tahu ada askar negara luar berkampung di tanah mereka, kerajaan Myanmar mengerahkan askar mereka untuk menghalau keluar askar KMT yang berkampung di situ.

Sekarang KMT ini kena pula berperang dengan dua musuh iaitu Myanmar dan Komunis. Kebetulan masa tu China terlibat dengan ‘Korean Wars’ dan pihak Amerika (CIA) memerlukan bantuan KMT untuk mendapat info mengenai China.

CIA berjanji akan membantu KMT dengan membekalkan senjata dan segala keperluan mereka untuk merampas kembali negara China. Pada masa inilah candu dibawa masuk.

“We have to continue to fight the evil of communism, and to fight you must have an army, and an army must have guns, and to buy guns you must have money. In these mountains, the only money is opium.

— Gen Tuan Shi-wen, Weekend Telegraph (London), 10 March 1967.”

Sehinggakan komander-komander askar ini sendirilah yang menjadi ‘drug lord’ atau tokey dadah dunia pada masa tu.

Lepas ‘Korean war’ habis, Amerika tidak lagi berperang dengan China. Namun, pihak KMT masih lagi terpaksa berperang dengan Myanmar dan Komunis.

Mereka mula berundur ke utara Thailand (Mai Salong). Kerajaan Thai dapat tahu pasal mereka ini, tetapi kerajaan Thailand mengambil pendekatan berbeza daripada kerajaan Myanmar.

Kerajaan Thailand membenarkan mereka tinggal di situ dengan syarat, mereka harus membantu Thailand mengekang komunis dari masuk ke negara Thailand.

Sehingga ke hari ini mereka masih menetap di Mai Salong, cuma revolusi pertanian telah menggantikan candu dengan hasil pertanian yang lain. Disebabkan itu jugalah ramai pelancong dari Taiwan yang datang ke Mai Salong untuk melawat nenek moyang mereka.

Hal ini juga telah menjawab persoalan aku ketika pergi melawat terowong komunis di Betong (selatan Thailand) dahulu. Kenapa kerajaan Thai bagi kebenaran ahli bintang tiga yang lari dari Malaysia berkampung di negara mereka. Untuk menjaga sempadan.

Lepas Golden triangle, aku pergi melawat sempadan Myanmar – Thailand bahagian utara pula. Saja nak jalan-jalan.

Terdapat sebuah masjid yang aku singgah dalam perjalanan balik dari Segitiga Emas. Kawasan kampung tu unik kerana terletak di lereng bukit. Sangat sejuk dan nyaman. Kalau tengok peta, puak Karen yang dikenali kerana berleher panjang itu pun tak berapa jauh dari kampung ini. Jadi, aku anggap tak jauh bezalah suasana perkampungan mereka dengan kampung ini.

Untuk menuju ke masjid ini, aku perlu masuk jalan kampung yang sangat kecil dan banyak simpang. Mula-mula takut juga sebab masa aku belok masuk ke kampung ini semua orang tengok aku.

Aku jangkakan ini perkampungan islam sebab ada masjid dengan harapan adalah restoran halal di situ. Hampa. Kampung betul rupanya. Dengan rumah-rumah kayu di sebelahnya. Cuma masjid ini sahaja yang nampak moden.

Oh ya. Masjid ini juga merupakan sebuah sekolah. Di dalamnya terdapat banyak buku dan tulisan-tulisan jawi di dinding. Yang memeranjatkan aku ialah tulisan jawi itu berbahasa Melayu. Rasanya orang di sini pandai bercakap Melayulah. Cuma pakai tulisan jawi.

Sengaja aku duduk lama-lama dekat sini dengan harapan adalah orang akan ajak aku tumpang tidur di rumah mereka. Hampa sekali lagi. Perjalanan diteruskan apabila hari sudah semakin gelap.

Noor Zamri Sudin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Simptom Hard Disk Kau Mula Kong

Tentang Tanggungjawab