, ,

Peniaga Malaysia: Terlajak Ramai?

Saya agak terkesan dengan kata-kata ini,

“Malah sekarang ini ramai pekerja yang terpaksa berniaga part time dan wujudnya lebih ramai peniaga kecil-kecilan dari pembeli, kalau lebih ramai peniaga dari pembeli, macam mana nak berniaga, siapa yang akan membeli?” – Dato’ Aliff Syukri (5.14 petang, 9hb September 2016)

Asasnya ialah Dato Aliff tidak memberi data yang betul. Malah, ia bersifat pendapat peribadi yang bagi saya sekadar merungut dan meluahkan perasaan sahaja.

1. Populasi penduduk Malaysia sekarang ialah 31.2 juta orang. Dan dianggarkan akan berjumlah 31.6 juta orang pada berakhir tahun ini.

2. Peniaga online yang sudah mendaftar perniagaan dengan SSM ialah seramai 31,000 usahawan pada Mac 2016 lalu (Utusan Malaysia 28/3/2016).

3. Statistik dari SSM memaklumkan yang sebanyak 6,285,895 syarikat telah didaftarkan sehingga disember 2015. Manakala sepanjang tahun ini (sehingga September 2016) sebanyak 257,454 syarikat telah didaftarkan. Link: https://www.ssm.com.my/…/statistik-jumlah-perniagaan-syarik…

4. Mengikut nisbah, 6,543,349: 31,200,000 = 1 perniagaan : 5 orang. Jumlah peniaga masih tidak melebihi jumlah orang. Malah, ia masih dalam nisbah yang baik.

Berikut merupakan data yang boleh kita dapati di laman web sahaja. Google, dan buatlah pencarian dengan sebaiknya.

Menariknya apa yang dikatakan oleh Dato’ Aliff, tetap boleh diambil sebagai perkara yang besar untuk difikirkan oleh para peniaga. Asasnya ialah kita perlu memikirkan produk yang sepatutnya membantu manusia menjalankan kehidupan seharian.

Jika satu masa lalu, kita sukar untuk membeli kenderaan kerana mahal. Maka kerajaan menyediakan pengangkutan awam yang perlu dibayar. Ia satu contoh perniagaan yang membantu manusia.

Sama juga dengan membuka kedai bakeri untuk membantu masyarakat dibandar mencari kek-kek dan kuih muih untuk dihidang kepada para tetamu. Restoran untuk mereka yang sibuk tidak sempat memasak dirumah, ubat dan makanan tambahan untuk mereka yang sering sakit serta memerlukan vitamin bagi memenuhi kehendak dan keperluan kehidupan sekarang.

Bina produk untuk memudahkan orang. Buat produk untuk ‘masuk’ dalam rutin manusia. Bagaimana satu masa lalu Ovaltine yang didirikan pada tahun 1904 memenuhi setiap isi rumah untuk membantu para ibu menyediakan minuman buat anak-anak yang akan ke sekolah.

Menggunakan tiga elemen penting, malt, susu dan telur sebagai bahan asas di dalam minuman tersebut menyebabkan ia memberi keyakinan buat para suri rumah untuk memberikan minuman tersebut kepada seluruh ahli keluarga pada setiap pagi. Malah, sesiapa yang masih ingat, rasa Ovaltine sangat sedap dan manis.

Pada tahun 1934, Nestle mengeluarkan minuman yang menghampiri Ovaltine, Milo. Kemudian, berlakulah lambakan persaingan antara dua gergasi ini. Milo memenanginya dengan mudah walaupun Ovaltine masih lagi dijual di pasaraya urban dalam negara hingga ke hari ini.

Boleh dikatakan Milo terdapat di semua pasaraya besar, semua pasar, semua kedai runcit dan semua channel kedai 24 jam. Hari ini, serbuk minuman ini ada di hampir semua rumah yang ada di dunia.

Kedai tetap banyak menjualnya. Manusia tetap ramai memilikinya.

Sebagai taikun, saya fikir Dato’ Aliff risau tentang ekonomi negara. Bukan kepada peniaga. Bagi saya, saya suka ada ramai peniaga yang saling membantu keperluan antara satu sama lain.

Kedai A jual susu. Kedai B jual madu. Jika mahu membeli susu, pemilik kedai B juga akan ke kedai A untuk membeli susu. Pekedai juga manusia yang akan membeli antara satu sama lain. Jadi, urusan jual beli masih berlaku walau semua umat manusia berniaga antara satu sama lain.

Saya masih ingat video tentang Muhammad Al-Fateh. Di dalam video ini, diceritakan bagaimana hebatnya tentera Muhammad Al-Fateh dalam menjaga kejujuran dan ‘brotherhood’.

Apabila Al-Fateh dan tenteranya memenangi beberapa peperangan hingga berjaya menakluki Constatinople, maka Al-Fateh berlakon menjadi orang biasa. Berpakaian biasa dan pergi ke tapak orang berjual beli.

Lalu Al-Fateh bertanya,

“Aku mahu membeli keju, susu dan madu, bolehkah kau menjualnya?”

Lalu tuan kedai itu menjawab, “Ya, aku ada keju, susu dan madu, Cuma aku akan menjual keju kepada kau, untuk susu dan madu, kau beli dengan kedai kawan aku di sebelah sana,”

Lalu Al-Fateh membeli keju dari kedai tersebut. Dan melangkah keluar menuju ke kedai yang diberitahu sebelum ini lalu bertanya,

“wahai tuan kedai, aku mahu membeli susu dan madu, bolehkah kau menjualnya?”

Tuan kedai itu menjawab, “ya aku menjual susu dan madu, Cuma aku akan menjual susu sahaja kepada kau, untuk madu, kau beli dengan kedai kawan aku di sana,”

Begitulah seterusnya. Dan disebabkan ‘brotherhood’ inilah tentera Muhammad Al-Fateh menjadi antara tentera terkuat pernah ada di dalam sejarah tamadun manusia.

Hari ini, kita mungkin sukar atau tidak boleh jadi seperti itu. Namun kawan, kita boleh meuar-uarkan bisnes kawan, bantu membeli, bantu juga menjual.

Ada banyak perniagaan yang dilakukan tanpa pemasaran yang betul. Channel yang silap. Malah ada produk yang sudah dipasaran tidak dipasarkan dengan baik. Maka kerugian berganda bagi pengusaha.

Masyarakat mahu produk yang berkualiti dan membantu meringankan beban seharian bekerja. Jadi, berniagalah dengan produk dan perkhidmatan yang betul. Semoga ia beri manfaat kepada semua.

Buat Dato’ Aliff yang baik, sudah sampai masa elak-elakkan diri dari memberi penajaan dalam bentuk hiburan yang melalaikan. Sudah sampai masa kita berganding bahu memanusiakan manusia dengan beri semangat dalam bentuk usaha niaga, kongsi ilmu dengan serius, menulis buku dan menggunakan hiburan itu sebagai medan untuk menyebarkan kebaikan seluas-luasnya.

Sama-sama kita bina empayar. Sama-sama kita bantu rakan-rakan kita. Biar ramai berniaga, biar semua berniaga kalau boleh. Yang penting ekonomi kita akan masyhur dan negara kita punya asset, pemimpin dan masyarakat pula punya adab dan akhlak yang baik-baik.

Berniaga adalah keperluan. Membeli pula adalah kehendak. Maka, dua-dua ini akan saling bersatu walau yang membeli itu juga adalah peniaga.

 

Khairul Hakimin Muhammad

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *