in ,

Patung Emas Rebutan Orang Filem

Bermula dari 5 hingga 13 Januari 2017, proses pengundian pencalonan Anugerah Akademi atau dikenali sebagai Oskar akan diadakan. Seperti yang kita sedia maklum, Oskar ialah acara yang dianjurkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) untuk mengiktiraf kejayaan pencapaian terbaik dalam industri filem di Amerika Syarikat. Kaedah pemilihan pemenang dilakukan menerusi undian ahli AMPAS dan pemenang akan dikurniakan trofi yang dikenali sebagai Academy Award of Merit atau Oscar.

Majlis Anugerah ini kali pertama diadakan pada 1929 di Hollywood Roosevelt Hotel pada tahun 1929. Anugerah ini kali pertama disiarkan secara langsung menerusi radio pada tahun 1930 dan kemudian pada 1953, majlis gilang-gemilang Oskar kali pertama disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

Anugerah Akademi ke-89 dijangka akan diadakan pada 26 Februari 2017 dan bakal dihoskan oleh Jimmy Kimmel.

Artikel kita pada hari ini akan menelusuri sejarah trofi Oskar!

Kebiasaannya pemenang Oskar akan dianugerahkan trofi unik yang menjadi lambing kemegahan industri perfileman Amerika Syarikat. Trofi ini dikenali sebagai Oscar Statuette dan dihasilkan daripada logam britannium yang disaluti emas 24 karat. Tapaknya pula diperbuat daripada logam hitam. Trofi ini memiliki ketinggian 34.3 sentimeter dengan berat 3.856 kilogram.

Trofi ini memperlihatkan seorang lelaki segak dengan gaya memegang pedang dan berdiri di atas gulungan filem yang memiliki lima lubang dan lubang itu mewakili Pelakon, Penulis, Pengarah, Penerbit dan Kru Teknikal.

Lelaki berkenaan dikatakan diinspirasikan daripada seorang pelakon lelaki Mexico, Emilio ‘El Indio’ Fernandez. Namun begitu tidak terdapat bukti kukuh untuk mengesahkan dakwaan ini. Trofi ini diukir oleh pengukir terkenal George Stanley berasaskan kepada rekaan Cedric Gibbons. Menurut Gibbons, apabila diminta untuk membuat reka bentuk trofi berkenaan, beliau telah diperkenalkan kepada Fernandez oleh bakal isterinya pada ketika itu, Dolores Del Rio. Pada mulanya, Fernandez dikatakan enggan menjadi model untuk rekaan berkenaan namun akhirnya beliau bersetuju. Ada yang menyatakan Fernandez beraksi bogel ketika Gibbons membuat lakarannya.

Pada asalnya trofi berkenaan diperbuat daripada gangsa yang disaluti emas, namun ditukar ke logam jenis Britannia. Namun begitu, ketika Perang Dunia Kedua dan logam yang bersesuaian sukar diperoleh, selama tiga tahun berturut-turut pemenang Oskar diberikan trofi yang diperbuat daripada plaster yang dicat. Namun selepas perang berakhir, pemenang boleh menukar semula trofi yang dimenangi mereka dengan trofi yang bersalut emas.

Nama Oskar itu sendiri turut menjadi pertikaian. Dalam biografi bekas Presiden AMPAS, Bette Davis, beliau menyatakan nama Oscar itu diperoleh daripada bekas suaminya, Harmon Oscar Nelson. Satu lagi dakwaan menyatakan Setiausaha Eksekutif AMPAS, Margaret Herrick yang kali pertama melihat anugerah itu pada tahun 1931 membuatkannya teringat kepada sepupunya sendiri, Oscar Pierce.

Sehingga 2010, pemenang perlu memulangkan semula trofi yang dimenangi untuk dicetak nama mereka. Trofi yang siap dicetak akan dipulangkan selang beberapa minggu selepas Anugerah berlangsung. Namun begitu, selepas tahun 2010, pemenang diberikan pilihan untuk mencetak nama mereka pada trofi yang dimenangi di satu stesen khas yang ditempatkan di Governor Ball, tempat parti pasca-Oskar diadakan.

Sejak 1950, pemenang trofi tidak dibenarkan untuk menjual semula trofi yang dimenangi mereka tanpa menawarkan kepada pihak AMPAS terlebih dahulu dengan nilai belian semula USD1. Jika pemenang trofi enggan, pihak AMPAS mempunyai hak ke atas trofi berkenaan. Namun begitu, terdapat banyak kes yang melihatkan pemenang trofi berjaya melelong trofi berkenaan tanpa dikenakan apa-apa tindakan. Ini termasuk waris Orson Welles yang melelong trofi dimenangi beliau menerusi kategori Lakon Layar Terbaik untuk filem Citizen Kane pada 1941. Lelongan berkenaan berhasil mengumpul wang berjumlah USD861,542 pada 2011. Walaupun pihak AMPAS cuba mencabar lelongan berkenaan, namun tiada sebarang bukti menunjukkan Welles menandantangani apa-apa perjanjian dengan AMPAS berkaitan hak penyimpanan trofi.

 

Daniyal Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Lasagna Makanan Kesukaan Nabi?

Azam Baru Milah