in ,

“Orang Yang Berduit Macam Saya Tak Perlukan Pertolongan Orang Lain”

Gambar : FB Fadhli Sahar

Hari ini saya berpeluang membawa ayah saya berurut tradisional di Kampung Simpang Durian, Negeri Sembilan. Dengarnya urutan sendi di sini sangat bagus. Semasa kami sampai ada 2 orang pesakit di sana. Kami tulis nama ayah pada buku log sebagai ‘nombor giliran’. Kami dapat nombor 3. Selepas menurunkan ayah dari kereta, kami ada berbual dengan beberapa pesakit di sana.

Salah seorang pesakit yang menunggu datang dari Johor Bahru. Datang ke sini semata-mata ingin berurut juga. Katanya, dia juga menghidap penyakit strok. Ini kali ke-3 dia datang berurut di sini. Dia menghidap strok pada tahun lepas dan baru berumur 36 tahun. Sekarang dia tidak boleh bergerak, lumpuh sebelah kiri. Ke sana ke mari menggunakan kerusi roda. Dia kata dia diserang strok disebabkan oleh kencing manis. Kami pun berbual tentang kesihatan, perubatan dan fisio. Ya lah, kami semua mengalami pengalaman yang sama. Apa yang saya tertarik dengannya ialah dia mengingatkan kami tentang sikap.

“Kesihatan ini adalah nikmat. Tuhan bagi kita sekali sahaja. Tuhan nak suruh kita beringat. Kadang kala kita bongkak dengan keadaan diri kita”.

Saya mengangguk bersetuju dengannya.

“Saya dulu aktif bersukan, masuk olahraga menang, wakil sekolah menang, wakil negeri pun menang. Disebabkan itu, saya sering memandang mereka yang lemah ini dengan sebelah mata. Saya fikir kenapalah mereka ni tak jadi macam saya,” tambahnya lagi.

“Pemikiran itu terbawa-bawa sampai saya besar. Saya belajar juga pandai, dapat masuk universiti terbaik di Malaysia. Dapat kerja di syarikat besar. Orang yang tidak senasib dengan saya, saya pandang rendah pada mereka. Saya fikir mereka ini bodoh.”

Perbualan kami terganggu sebentar kerana ada pesakit lain datang memberi salam kepada kami semua. Kami semua membalas salamnya.

“Dulu semasa ramai orang minta derma di Facebook saya kata kenapalah kamu tak jaga kesihatan, kenapalah tak beli insurans, tak malu ke minta derma,” sambungnya kesedihan.

“Apabila saya kena strok, semuanya mengajar saya. Saya ingat orang yang aktif macam saya takkan diserang strok, saya fikir orang terpelajar macam saya tahu kesemuanya, orang berduit macam saya tidak perlukan pertolongan orang lain. Saya silap!” katanya sambil mengusap mukanya.

“Masa saya diserang strok, mereka yang lemah inilah yang bantu saya. Mereka bantu saya masuk ke dalam kereta, mereka yang angkat saya kalau saya nak ke tandas, mereka tolakkan kerusi roda saya. Semasa isteri saya buntu untuk memohon pertolongan, mereka yang saya kata bodoh inilah yang datang memberikan maklumat-maklumat berguna. Masa duit saya habis untuk perubatan, mereka yang tak berduit ini yang membantu saya. Mereka beri saya bantuan. Mereka derma beberapa yang mereka ada pada saya,” sambungnya lagi.

Saya dengar dengan rasa bersalah pun ada kerana saya mendalami perasaannya. Kami semua terdiam mendengar ceritanya. Yang baru datang tadi pun dengar sama. Sedang semua tidak tahu untuk bercakap apa, pesakit pertama keluar dari bilik urut. Kini tibalah giliran dia. Kami dan isterinya membantu dia ke bilik urut. Sugul sahaja mukanya.

Semasa menunggu giliran ayah saya, saya terfikir betul juga apa yang dikatakan olehnya. Ceritanya membuatkan saya insaf seketika.

Bagi saya pengalamannya bukanlah untuk pengajaran dia seorang sahaja. Ini pengajaran untuk kita semua. Cuma nasibnya tidak berapa baik diuji awal sebelum kita. Mungkin pertemuan kita dengan orang yang diuji merupakan peringatan yang diturunkan kepada kita olehNya.

Maka ambillah iktibar daripada cerita-cerita mereka.

Anak kepada pesakit strok
Fadhli Sahar

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Asal Usul Poster “KEEP CALM”

Menyanggah Perokok Sialan