, ,

Nahas Yang Menimpa Pasukan Chapecoense Bukanlah Nahas Udara Pertama Yang Melibatkan Atlet

28 November 2016 kita dikejutkan dengan nahas pesawat LaMia Airlines 2933 yang turut membawa pasukan bola sepak dari Brazil, Chapecoense. Setakat ini 19 pemain Chapecoense telah dikenal pasti dan disahkan maut. Pasukan berkenaan ke Medellin di Colombia untuk menentang kelab Atletico Nacional dalam perlawanan akhir pusingan pertama, Copa Sudamericana.

Sebenarnya apa yang berlaku terhadap pasukan Chapecoense bukanlah tragedi udara pertama yang menimpa atlet. Berikut kita sama-sama lihat tragedi-tragedi yang pernah berlaku!

15203244_10205923713972086_7999949965727815034_n

NAHAS SUPERGA (TORINO FC) – 4 Mei 1949

Pesawat Avio Linee Italiane Fiat G.212CP membawa pasukan Torino dari Lisbon selepas mereka bertemu S.L. Benfica dalam satu perlawanan persahabatan sebagai menghargai jasa ketua pasukan Portugal, Francisco Ferreira. Di dalam nahas berkenaan, keseluruhan anggota pasukan Torino yang berada di dalam pesawat berkenaan meninggal dunia.

Lebih menyedihkan majoriti daripada mereka ialah anggota skuad kebangsaan Itali.

Nahas berkenaan turut mengorbankan pegawai kelab, krew pesawat dan beberapa orang wartawan sukan yang membuat liputan perlawanan berkenaan. Tugas pengecaman mayat telah diserahkan kepada jurulatih Itali pada ketika itu, Vittorio Pozzo yang sebelum itu telah memanggil kebanyakan pemain Torino sebagai anggota skuad Azzuri.

Pada 6 Mei 1949, Torino diumumkan sebagai pemenang Serie A untuk musim 1948-1949 susulan tragedi berkenaan. Pada musim itu, Torino sedang mendahului carta liga dengan berkelebihan empat mata dan baki empat perlawanan mengatasi pesaing terdekat Internazionale.

Tragedi berkenaan jelas memberikan kesan trauma dan pasukan Itali yang bertanding di Piala Dunia FIFA 1950 di Brazil telah menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan untuk ke negara Amerika Latin itu.

15253404_10205923716012137_406456938621905079_n

NAHAS UDARA MUNICH – 6 FEBRUARI 1956

Pesawat British European Airways 609 ini mengalami kecelakaan selepas gagal dalam tiga percubaan untuk berlepas di landasan licin akibat permukaan berais di Lapangan Terbang Munich-Riem di Jerman. Berada di dalam pesawat ketika itu ialah pasukan bola sepak terkemuka dunia, Manchester United dan pasukan berkenaan digelar sebagai ‘Busby Babes’.

Selain itu, turut terdapat penyokong dan wartawan di dalam pesawat berkenaan. Tragedi ini menyebabkan 23 daripada 44 orang terbunuh. Anggota pasukan Manchester United yang terkorban seramai lapan orang dan antara yang terselamat ialah Bobby Charlton dan pengurus mereka sendiri, Matt Busby.

Pasukan Manchester United baru sahaja kembali dari Belgrade, Yugoslavia selepas menentang pasukan Red Star Belgrade dalam saingan Piala Eropah. Pesawat berkenaan berhenti di Munich untuk mengisi minyak. Pesawat itu yang gagal dalam cubaan untuk berlepas telah melantun melepasi pagar. Keadaan itu menyebabkan sayap kirinya melanggar sebuah rumah.

Manchester United pada ketika itu sedang cuba mencipta sejarah menjadi kelab ketiga memenangi Liga Inggeris dan mereka pada ketika itu ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Wolverhampton Wanderers dengan perlawanan berbaki 14 lagi. Pasukan ini juga memenangi Charity Shield dan sudah melangkah ke separuh akhir Piala Eropah. Lebih membanggakan pasukan berkenaan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah 11 kali berturut-turut.

Nahas ini bukan sahaja memusnahkan cita-cita Manchester United, malah menghancurkan satu generasi bola sepak yang dianggap sebagai paling hebat dalam sejarah bola sepak Inggeris. Busby mengambil masa 10 tahun untuk memulihkan semula pasukan ini dan mereka berjaya menjulang Piala Eropah pada tahun 1968.

15267747_10205923715972136_580456993019592061_n

NAHAS PASUKAN BOLA SEPAK OLIMPIK DENMARK – 16 JULAI 1960

Sebuah pesawat khas yang membawa pasukan pelatih bola sepak Olimpik Denmark telah terhempas kira-kira 50 meter dari pesisir pantai di Oresund selepas juruterbang gagal mengawal pesawat berkenaan akibat cuaca buruk. Semua lapan penumpang yang juga anggota pasukan berkenaan meninggal dunia, manakala juruterbang berkenaan terselamat namun kakinya terpaksa dipotong.

Pesawat yang membawa lapan pemain berkenaan sedang dalam perjalanan ke bandar Herning untuk mengadakan perlawanan pemilihan terakhir bagi melengkapkan senarai skuad Denmark yang akan bertanding ke Sukan Olimpik 1960 di Rom, Itali. Tiga daripada lapan yang terkorban sudah terpilih untuk mewakili Denmark, manakala baki pemain ialah anggota Skuad B dan remaja yang diberikan peluang terakhir untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Susulan nahas berkenaan, Persatuan Bola Sepak Denmark mempertimbangkan untuk menarik diri daripada bertanding di Olimpik, namun cadangan berkenaan dibatalkan dan Denmark meneruskan perjuangan. Akhirnya mereka membuktikan pengorbanan yang dilakukan adalah amat bermakna. Mereka muncul pemenang pingat perak selepas tewas kepada Yugoslavia dalam perlawanan akhir.

15253452_10205923716252143_8758507792086902851_n

NAHAS DOMINICANA 603 – 15 FEBRUARI 1970

Nahas melibatkan pesawat Dominicana 603 dari Republik Dominica ke Puerto Rico ini berlaku pada 15 Februari 1970.Nahas ini mengorbankan 102 penumpang termasuk 12 anggota pasukan bola tampar wanita Puerto Rico.

Pasukan berkenaan baru sahaja bertemu pasukan bola tampar Republik Dominica dan dalam perjalanan pulang ke negara sendiri.

pg-66-zambia-1-getty

NAHAS UDARA ZAMBIA – 27 APRIL 1993

Pesawat milik Tentera Udara Zambia jenis DHC-5D Buffalo telah terhempas di Lautan Atlantik kira-kira 500 meter dari pesisir pantai bandar Libreville di Gabon. Tragedi berkenaan menyebabkan semua yang 25 penumpang termasuk 18 pemain skuad bola sepak Zambia dan lima krew terkorban. Menurut siasatan yang dijalankan, juruterbang pesawat ini telah tersalah mematikan enjin ketika berlaku kebakaran pada pesawat berkenaan.

Skuad bola sepak Zambia yang diberi jolokan Chipolopolo dianggap sebagai pasukan yang mampu memberikan saingan hebat dan dalam Sukan Olimpik di Seoul pada 1988 mereka berjaya mengalahkan Itali 4-0. Skuad ini juga diramalkan mampu layak ke Piala Dunia buat kali pertama di samping dilihat berkeupayaan untuk memenangani Kejohanan Piala Afrika 1994. Berbekalkan semangat membara, Zambia berjaya layak ke final Kejohanan Afrika berkenaan sebelum tewas kepada Nigeria 1-2.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Beza Hyundai Dengan Proton Buat Kerja

Tips Mencapai Azam Untuk Kau Yang Jenis Hangat-Hangat Tahi Ayam