in ,

Move On Lah Proton

Sepanjang tahun 2016, sejumlah 580,124 buah kenderaan telah terjual di Malaysia. Dari jumlah ini, 207,110 buah (35.7%) adalah kenderaan Perodua, jenama paling laris di Malaysia. Di tempat kedua pula adalah Honda dengan 91,830 buah (15.8%) berjaya dijual. Proton pula jatuh ke tempat ketiga dengan hanya 72,290 buah kenderaan terjual atau 12.5% dari keseluruhan pasaran. Ini sebenarnya kali pertama sejak berpuluh tahun lamanya kedudukan nombor 1 dan 2 tidak dipegang oleh jenama kenderaan nasional.

Kalau Proton hanya dapat jual 72,290 buah kenderaan di dalam Malaysia, berapa banyak pula mereka dapat jual di pasaran negara lain? Entahlah, tapi kalau ikut sumber yang ada untuk tahun 2016 sebanyak 133 buah kenderaan Proton berjaya dijual di Thailand. Itu jumlah sepanjang tahun. Khabarnya Proton juga ada eksport ke Indonesia, tetapi aku syak jumlah yang berjaya dijual tak jauh beza dengan Thailand. Proton juga ada mengeksport ke Singapura dan Brunei, tapi kerana saiz pasaran yang kecil di dua negara eloklah kita abaikan sahaja. Selain dari itu, Proton juga ada mengeksport kenderaan ke Chile. But seriously, Chile?!

Jumlah 72,290 ini jauh bezanya jika kita nak bandingkan dengan keupayaan pengeluaran maksimum yang ada di kilang Proton di Tanjung Malim, tak silap aku khabarnya pada masa ini mampu menghasilkan sejumlah 150,000 unit setahun dan boleh dinaik taraf sehingga mencecah 1 juta unit. Dan ini belum campur lagi dengan keupayaan pengeluaran di Shah Alam. Dikatakan ‘combined capacity’ di Tanjung Malim dan Shah Alam mampu menghasilkan 350,000 unit setahun. Tetapi apalah guna ada keupayaan sebegini kalau nak jual 100,000 buah kenderaan setahun pun payah sangat?

Maka atas sebab inilah pada keputusan siapa yang menjadi rakan kongsi strategik Proton perlu dimuktamadkan. Ada dua calon utama, satu Groupe PSA dari Perancis dan satu lagi ialah Geely dari China. Antara isi perjanjian yang akan dimeterai adalah pemilikan sebanyak 51% ke atas kilang Proton di Tanjung Malim (atau kalau ikut cakap kerajaan, mereka juga tidak ada halangan jika rakan kongsi strategik ini memiliki 51% saham Proton).

Groupe PSA adalah syarikat automobil Perancis yang menghasilkan kenderaan Peugeot, Citroen dan DS. Pada asalnya Peugeot dan Citroen adalah dua syarikat berbeza, tetapi pada tahun 1976 Peugeot menguasai Citroen sepenuhnya. Hari ini Groupe PSA dipegang oleh ahli keluarga Peugeot, Dongfeng Motor (Hong Kong) dan juga kerajaan Perancis.

Geely pula bermula pada tahun 1986 bukan sebagai syarikat automobil, tetapi sebagai pembuat peti sejuk. Hanya pada tahun 2002 barulah mereka mengeluarkan kereta pertama, 17 tahun selepas Proton mengeluarkan kereta pertamanya bernama Saga. Hari ini, Geely bukan sahaja antara pengeluar kenderaan utama di China, tetapi juga turut menguasai Volvo (jenama kenderaan Sweden) dan memiliki London Black Cabs (yang mengeluarkan teksi hitam London yang cukup ikonik itu).

Kesimpulannya kalau kita lihat pada Groupe PSA dan Geely, kedua-dua syarikat dimiliki atau memiliki entiti asing. Ini norma dunia automotif hari ini. Hampir setiap syarikat automotif ada pegangan dalam syarikat yang lain, atau jika tidak mereka akan mempunyai pakatan strategik seperti Renault-Nissan Alliance buat. Toyota Motor Corporation ada pegangan ke atas Daihatsu dan Hino, Volkswagen AG pula ke atas Bentley, Bugatti, Lamborghini, Skoda, Scania dan beberapa lagi syarikat lain. Malah Tata Motors dari India pun memiliki Jaguar Land Rover Automotive PLC. Dan jangan kita lupa Proton sendiri pun menguasai Lotus.

Kita kena akui Proton ini sudah seperti keranda sebenarnya. Jual kereta dalam negara sendiri pun dapat nombor tiga. Robot kat kilang boleh lepak goyang kaki (walaupun tak ada kaki) sebab tak ada kerja. Usia 32 tahun yang ada disia-siakan dengan bersenang-lenang jual kereta dalam Malaysia sahaja, tak perlu ‘update’ model dan tak perlu keluarkan enjin baharu. Walhal yang sebenarnya Proton kena belajar dari pengeluar kereta Korea seperti Hyundai dan Kia, yang asalnya buat kereta bangang juga tapi kemudian segara berubah untuk beradaptasi dengan keadaan semasa. Hari ini Hyundai dan Kia ini lebih banyak menjual kereta di luar negara berbanding di dalam Korea, dan kereta mereka tidaklah bangang lagi.

Pakatan strategik, rakan kongsi atau hak milik asing dalam dunia automotif adalah perkara biasa. Benda ini menjadi amalan kebanyakan syarikat dan sebenarnya tidak sedikit pun menjejaskan identiti atau nasionalisme jenama kenderaan tersebut. Proton sendiri pun dah lama beli Lotus, tapi masih Lotus ini dianggap jenama kereta sport Britain dan masih juga rakyat Malaysia tak mampu pakai Lotus (kecuali kereta yang ada cop ‘Engineered by Lotus’ di bontotnya).

Zaman projek kereta nasional yang diperkenalkan oleh Mahathir dah lama berlalu. Sekarang zaman kereta global. Proton, mahu tak mahu kena cari rakan kongsi strategik dari luar untuk ‘self sustain’ dan menjadi pemain global.

Tak perlulah kita semua nak bernostalgia tentang Proton kena jual.

 

Muhammad Najib

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Dari Babi Kepada Kita

Filem-Filem Buruk 2016