in ,

Model Penanaman Kolektif Terbaik Dunia

Pada tahun 1928, Kesatuan Soviet telah memperkenalkan konsep penanaman kolektif (collective farming) dengan matlamat mengubah industri pertanian negara komunis. Tanah-tanah pertanian milik persendirian dijadikan milik negara dengan matlamat meningkatkan produktiviti, bekalan makanan, jumlah eksport selain dari membasmi kemiskinan yang ketara di kalangan penduduk luar bandar khususnya golongan petani. Penanaman kolektif merupakan sebahagian dari rancangan lima tahun ekonomi Kesatuan Soviet dan diharap dapat memacu negara tersebut ke arah era industrialisasi.

Namun, usaha memperkenalkan penanaman kolektif berdepan dengan pelbagai cabaran. Di Kesatuan Soviet, dianggarkan antara enam hingga 13 juta nyawa menjadi korban kegagalan pemerintah dalam merancang dan melaksanakan penanaman kolektif. Masalah yang sama turut berlaku di negara lain seperti China, Korea Utara, Romania dan negara blok komunis lain. Sebahagian besarnya berpunca dari pemaksaan keras oleh pihak pemerintah.

Pun begitu, konsep penanaman kolektif tidak terhad hanya di negara komunis atau sosialis. Ia turut diamalkan di negara lain seperti India, di Mexico melalui sistem ejido yang memberikan peluang kepada petani miskin mengusahakan tanah pertanian atau juga di Israel melalui budaya kibbutz yang menghimpunkan satu komuniti untuk bekerja demi matlamat yang sama. Di negara tersebut tadi, penanaman kolektif adalah jauh lebih berjaya berbanding yang dilaksanakan di negara komunis.

Mungkin ramai yang tidak tahu tapi sebenarnya penanaman kolektif turut diamalkan di Malaysia melalui acuan kita sendiri. Semuanya bermula pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan. Sebuah agensi kerajaan bernama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Federal Land Development Authority (FELDA) telah ditubuhkan untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan matlamat membasmi kemiskinan penduduk luar bandar melalui aktiviti penanaman tanaman kontan seperti getah dan kelapa sawit.

Ringkasnya, apa yang dilakukan oleh FELDA adalah membuka penempatan baru di kawasan terbiar atau hutan, memindahkan keluarga miskin ke penempatan baru ini sebagai peneroka dan seterusnya melatih para peneroka ini menjadi peladang yang produktif dalam mengusahakan tanaman kontan yang membawa pulangan kewangan.

Dan rancangan FELDA ini bukanlah kecil anak, tapi satu program serampang pelbagai mata kerana selain memajukan tanah terbiar dan membasmi kemiskinan, ia juga meningkatkan taraf ekonomi rakyat serta membantu meningkatkan kadar eksport negara. Pendek cerita, peranan FELDA dalam pembinaan negara sejak merdeka sebenarnya adalah jauh lebih besar.

Kita yang tidak terlibat secara langsung dalam FELDA seperti aku sendiri mungkin terlepas pandang peranan besar FELDA ini. Ramai yang berfikir bahawa yang mendapat faedah dari rancangan FELDA adalah kalangan peneroka khususnya golongan Bumiputera. Tapi kalau kita cuba selami, kita akan fahami bahawa proses pembukaan penempatan baru seperti pembinaan rumah, sekolah, jalan raya atau kelengkapan infra yang lain melibatkan semua pihak. Kewujudan komuniti baru ini pula mewujudkan aktiviti ekonomi atau peluang pekerjaan sampingan yang lain.

Dan lebih utama, pengeluaran hasil FELDA yang bermula dengan getah dan kemudiannya kelapa sawit meningkatkan nilai eksport serta aliran wang masuk negara, malahan membantu menjadikan Malaysia antara pengeluar utama produk getah dan minyak sawit di dunia.

Selepas lebih 60 tahun penubuhan FELDA, boleh dikatakan rancangan penanaman kolektif negara kita ini merupakan antara model penanaman kolektif terbaik dunia. Semua penempatan baru yang dibuka kekal menjadi tanah rancangan FELDA yang produktif dan mampu menampung komuniti yang wujud di dalamnya. Kita tidak berdepan dengan masalah penempatan yang ditinggalkan, kawasan perladangan yang tidak memberikan sebarang hasil atau lebih teruk berdepan malapetaka kemanusiaan seperti yang berlaku di negara komunis. Sebaliknya, rancangan FELDA ini sendiri menjadi salah satu kaedah buat pihak kerajaan melawan ancaman komunis yang pernah wujud satu masa dahulu.

Formula FELDA ini adalah satu formula yang terbukti keberkesanannya hingga ia turut menjadi ikutan negara lain dalam program penanaman kolektif, penempatan semula atau pembasmian kemiskinan mereka. Dan langkah pengerusi FELDA sekarang iaitu Tan Sri Shahrir Samad dalam mengembalikan FELDA kembali kepada asalnya (tapi pastinya dengan beberapa ubahsuai untuk menangani cabaran masa kini) adalah satu langkah yang terpuji dalam memastikan matlamat FELDA adalah betul dan masa depan para peneroka serta waris mereka kekal terpelihara.

Kalau tidak kerana FELDA, kita mungkin masih lagi negara agrarian tradisional dan hidup sebagai petani atau peladang itu masih lagi kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat apa.

Muhammad Najib

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Mengembalikan FELDA Yang Dulu

Macam Tak Percaya Tengok Rupa D’Mart Sekarang