in ,

Minyak Naik Buat Saya Naik Minyak

Semalam saya menjangkakan harga RON95 akan naik 10 – 15 sen, tetapi ianya dinaikkan sebanyak 20 sen. Mengikut perkiraan purata harga RON95 bagi bulan Januari 2017 adalah RM2.27/liter bermakna secara tepat RON95 sepatutnya naik 17 sen daripada harga RM2.10/liter bulan lepas. Jadi walaupun jangkaan saya tersasar, kenaikan 20 sen adalah konsisten dengan pengiraan harga minyak di bawah Automatic Pricing Mechanism.

Bulan lepas sepatutnya harga RON95 dinaikkan 30 sen, tetapi kerajaan tetapkan kenaikan harga sebanyak 20 sen: https://m.facebook.com/story.php…

Banyak yang mendedakkan saya, kata saya menjilat kerajaan dan sebagainya di dalam post saya semalam: https://m.facebook.com/story.php…

Setiap bulan sejak Oktober saya kemaskini pengiraan dan anggaran harga minyak sebelum ianya disemak untuk bulan yang baru. Saya tidak menyokong kenaikan harga minyak, saya cuma menyokong penghapusan subsidi pukal yang bersifat regresif dan menguntungkan golongan berpendapatan tinggi yang digantikan dengan subsidi bersasar berbentuk tunai seperti BR1M terus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Bohonglah kalau kata saya tak terkesan dengan kenaikan harga minyak malam semalam, saya pun sempat isi penuh minyak semalam untuk jimatkan beberapa Ringgit. Tetapi ini adalah lumrah setiap bulan, apabila harga minyak dunia naik, harga petrol runcit juga akan naik, begitu juga sebaliknya apabila harga minyak dunia turun, harga petrol runcit akan turun. Tahun lepas Mac 2016, harga minyak dunia jatuh sehingga bawah paras US$30/tong dan harga RON95 disemak dan diturunkan kepada RM1.60/liter saya ingat lagi banyak yang bermegah mengisi RON97 yang juga turut jatuh harga.

Tidak ada bunyi memuji atau memberi penghargaan kepada kerajaan apabila harga RON95 diturunkan 4 bulan berturut-turut daripada November 2014 sehingga Februari 2015, tidak ada bunyi orang ramai apabila harga RON95 diturunkan daripada RM2.15/liter sehingga RM1.60/liter dari Julai 2015 sehingga Mac 2016.

Sekiranya kerajaan tidak menghapuskan subsidi petrol dan diesel dan gantikannya dengan sistem apungan terkawal, kita tidak akan menikmati penurunan harga RON95 sehingga serendah RM1.60/liter.

Begitulah kitaran harga komoditi seperti minyak mentah yang didagangkan di pasaran antarabangsa, naik turun mengikut permintaan dan penawaran (demand and supply).

Ada yang kata dulu kerajaan mampu bagi subsidi sebab dulu tak ada 1MDB, sekarang kerajaan tak mampu bagi subsidi kerana nak bayar hutang 1MDB. Ini sebenarnya kenyataan bersifat cetek dan dangkal. Ada atau tidak 1MDB, subsidi bersifat regresif perlu dikurang dan dihapuskan.

Sebelum 2015, kerajaan membelanjakan lebih RM20 billion setiap tahun untuk menampung subsidi petrol dan diesel, daripada RM20 billion, 42% atau RM8.4 billion pergi kepada golongan berpendapatan tinggi yang membawa kereta mewah seperti kajian Bank Negara beberapa tahun lepas: https://m.facebook.com/story.php…

Soal harga minyak naik, harga barang naik, harga minyak turun, harga barang tak turun ada kebenarannya. Dalam teori ekonomi ianya dipanggil price stickiness atau nominal rigidity. Apabila harga sesuatu barangan itu naik, susah untuk harga barangan itu turun.

There’s only so much that government can do, macam mana kerajaan buat penguatkuasaan pun pasti ada peniaga yang naikkan harga. Lagi-lagi jika barangan itu adalah barangan penggunaan (consumption goods) yang dibeli setiap hari seperti makanan. Pengguna seperti kita juga ada kuasa, vote with your wallet, jangan beli daripada mereka yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Seterusnya pernyataan seperti “Malaysia sebagai negara pengeluar minyak, kenapa tak boleh bagi subsidi?” Ini saya sudah terangkan beberapa minggu yang lepas di sini: https://m.facebook.com/story.php…

Rakyat Malaysia ada tabiat mahu kerajaan mensubsidi segala-galanya dan mahu kerajaan mengawal harga barang. Anda semua tahu negara pengeluar minyak mana yang kerajaan nya bagi subsidi minyak pukal dan kawal semua harga barang? Saya cadangkan Google keadaan negara Venezuela, iaitu antara negara pengeluar minyak terbesar dunia.

Teruskan maki mereka yang faham kenapa harga minyak naik dan bagaimana harga minyak dikira sebagai pemakan dedak, penjilat kerajaan, macai dan sebagainya. Teruskan jadi ignorant, teruskan memaki orang lain, teruskan kutuk kerajaan jika anda rasa itu boleh memuaskan hati anda. Kita diberi akal kurniaan tuhan untuk berfikir. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing sama ada untuk menggunakan sebaiknya atau membazirkan apa yang dianugerahkan tuhan.

 

Syahir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kalau Sepinggan Nasi Pun Kau Tak Habiskan, Macam Mana Nak Dapat Segunung Emas?

Kisah Pembelotan Paling Berani Di Dunia