in ,

Metal Tak Pernah Comel, Hingga Adanya BabyMetal!

Jika kita telusuri sejarah muzik genre Metal, ianya suatu yang sangat menakjubkan; baik kepada peminatnya dan juga kepada pengkajinya. Dari zaman lewat 70-an dan awal 80-an yang menyaksikan band-band awal membawa obor-obor pendahulu Metal seperti Iron Maiden, Judas Priest, Black Sabbath, Venom, dan lain-lainnya yang telah membawa dan menjerumuskan muzik ke dalam sebuah lubang yang paling dalam, hitam dan kelam iaitu Metal.

Ada pelbagai pecahan atau mudah disebut “sub genre” Metal yang berakar-akar dari tunjang utama. Ada yang disebut Heavy Metal, Power Metal, Thrash Metal, Black Metal, Grindcore, Pronogrind, Crust Punk, DBeat, Death Metal, Melodic Death Metal, Folk Metal, dan bermacam lagi. Setiap satu, ada identitinya, ada susunan muziknya, dan paling utama, ada keistimewaannya yang tersendiri.

Secara mudah, jika kau perlu menerangkan Metal kepada makcik, atau mak kau yang ingin tahu apa maksud tulisan font akar kayu “Darkthrone” di baju hitam tag Gildan kau, kau boleh simpulkan, Metal adalah semacam muzik genre seram untuk buku. Macam novel Stephen King. Kalau yang tempatan, macam novel Tamar Jalis. Ianya seram, kelam, menakutkan, dan bertujuan membuat orang terperanjat.

Maksudnya, orang awam merasa takut, tak selesa, dan terkejut.

Ini dapat dilihat dengan jelas, daripada kata-kata Mantas, pemain bass dan penyanyi utama band terawal Black Metal berasal Birmingham, England dengan mengatakan memang menjadi tujuan utama band mereka (Venom) untuk bermain dengan cara mengejutkan orang ramai. Lagi terkejut, lebih bagus, tambah Mantas dalam seisi temu bual beliau dalam dokumentari “Metal Evolution – The Last Episode – Extreme Metal”.

Namun yang demikian, dalam meniti hari demi hari ke hadapan, fasa muzik Metal juga semakin berkembang seiringan dengan pantasnya teknologi berubah. Anak-anak muda hari ini, yang mungkin lahir dalam era 90-an dan awal 2000, telah mula mencampur aduk, membawa segala bentuk pengalaman, rasa dan duka mereka membentuk muzik Metal dalam bentuk dan acuan mereka sendiri, yang seakan semakin menjauh dari era awal 80-an Metal seperti Metallica, Anthrax, Death dan juga era 90-an seperti Pantera, At The Gates dan lainnya. Seakan sudah ada satu jurang (dibaca: gap) antara yang old timer (dipanggil kepada brader-brader atas 35 tahun) dan mereka yang masih muda (yakni bawah 35 tahun, dalam kes ini).

Jurang ini, sebenarnya ada baik dan juga ada buruknya. Daripada sisi baik, akan ada banyak interaksi dua hala antara dua generasi Metal ini, mengenai pemahaman mereka mengenai muzik Metal yang bagus dan baik. Sekaligus, ini mencambahkan lagi banyak band baru dengan idealisme baru, juga dengan hala tuju yang lebih progresif dan tersendiri.

Juga, akan ada keadaan di mana, masing-masing akan tetap dengan ego mempertahankan bahawa band Metal generasi mereka, adalah yang terbaik sepanjang zaman, dan ianya sudah menghampiri tahap ‘cult’ dan tidak boleh dipotong oleh mana-mana band baru. Keadaan ini, membuatkan masing-masing menjadi jumud, terlalu stagnant, tidak mahu mendengar pandangan orang lain, dan sebagainya. Akhirnya, bermasam muka, bergaduh di laman Facebook, kutuk mengutuk, dan lebih parah, mungkin bergaduh!

Ya. Bergaduh demi Metal!

Di antara titik-titik, dan keadaan yang menyaksikan pergaduhan para metalheads berlainan era ini, dapat disaksikan apabila ramai metalheads oldtimer, menyatakan mereka tidak suka dan beranggapan band-band Metalcore (band yang mencampurkan eleman Hardcore/Punk dengan Metal) ketika era kegemilangan Vans Warped Tour ketika akhir 90-an dan awal 2000 seperti Poison The Well, Converge, As I Lay Dying, The Darkest Hour dan ramai lagi, sebagai tidak cukup “Metal” dan tidak layak digelarkan sebagai sebuah subgenre baru. Band-band ini kerap dipanggil dengan panggilan mengejek seperti pussy (maaf jika tidak sesuai), lembik, tidak segarang, dan tidak setampil hebat seperti band Metal awalannya seperti Cannibal Corpse, Darkthrone, Burzum dan lainnya.

Hari ini, senario ini bertambah panas dan semakin menjadi perbualan para metalheads seluruh dunia mengenai sebuah band Metal unik dari Jepun yang dipanggil BabyMetal. Band ini diterajui oleh 3 orang penyanyi iaitu SU-METAL YUIMETAL dan MOAMETAL (nama-nama mereka dieja huruf besar. Bukan tertekan tau). Mereka mengejutkan dunia Metal antarabangsa dengan kemunculan live pertama mereka iaitu di Nippon Budokan yang terletak di bandar perikanan terkenal Jepun; Katsuura. Mereka mengadakan konsert di sini pada Mac 2014, dan dihadiri puluhan ribu Metalheads, anak-anak gadis, budak sekolah, malah ibu bapa bagi menyaksikan kehebatan mereka.

Mereka dengan dua buah album penuh, dan dua album live di tali pinggang mereka, telah sekali lagi membahagikan para metalheads sedunia, kepada dua kem. Satu, yang menyokong dan menghargai muzik mereka dengan alasan bahawa apa yang mereka bawa adalah satu bentuk evolusi dalam Metal dengan mencampurkan gitar pantas dan harmoni ala Dragon Force, dengan suara vokalis gadis Jepun manja ala Kawaii. Manakala yang menyampah, dan tidak boleh menerima, ialah metalheads yang beranggapan mereka sekadar trendy, poser yang dipatungkan oleh syarikat rakaman dan mereka sendiri seakan tidak pernah tahu apa itu sebenarnya Metal!

Pergaduhan dan perbincangan ini mewabak ke segenap dunia Internet, baik di Pitchfork, laman web Youtube, di forum-forum Metalheads seperti di Revolver, Metal Maniacs, dan banyak lagi. Kedua-dua belah pihak mengeluarkan hujah dan pendapat masing-masing baik bagi menyokong kewujudan BabyMetal dan juga untuk membantah kewujudan mereka.

Bagi aku secara personal, selaku seorang metalheads, selaku seorang yang menikmati muzik Metal, seorang yang menyayangi Metal, berpendapat bahawa BabyMetal ialah suatu evolusi dunia Metal, yang sebenarnya semula jadi. Ianya lebih kepada penjelmaan Metal dalam bentuknya sendiri, tanpa ada paksaan, tanpa pernah ambil peduli, dan tanpa “Dont Give a Fuck”(Maaf. Tiada intonasi Bahasa Melayu yang lebih sesuai) kepada sesiapa. BabyMetal, mengingatkan aku kepada rebellious yang ada pada Ata The Gates pada awal 90-an yang bermain Metal dengan sedikit Melodic, namun ganas yang seterusnya menerbitkan sub genre; Gothenburg Melodic Death Metal di samping In Flames, Dark Tranquallity, dan lainnya.

Akhirnya, dengarkan lagu BabyMetal dari album pertama mereka; iaitu Ijime Dame Zettai yang berkisarkan tentang semangat melawan perbuatan buli. Di Youtube, dicadangkan kalian untuk melihat video live lagu ini di Sonisphere UK; antara festival terbuka Metal terbesar di England.

BabyMetal, mungkin comel. Tapi, mereka juga layak digelar pemangkin Metal dengan irama segar!

Amirull Jaafar

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Nak Kasi Pelajar Seronok, Cikgu Kena Happeninglah!

37 Barang Wajib Ada Nak Masak Raya