in ,

Menyanggah Perokok Sialan

Petang tu saya teringin nak makan soto. Jarang saya jumpa soto yang sedap, tapi di Kota Damansara ada satu kedai soto yang betul-betul menepati piawaian tekak saya. Jadi kami sampai ke kedai dan terus order soto. Ketika saya memilih tempat duduk mengadap jalan raya, ada satu pasangan yang baru tiba duduk berdepan dengan meja kami. Pasangan muda yang mempunyai seorang anak kecil. Comel sungguh. Mata bulat, pipi gebu, rambut hitam, badan semangat. Mungkin umurnya sekitar setahun lebih. Waiter berikan baby chair untuk anak itu.

Saya ni memang jenis tak boleh tengok budak. Sambil makan soto, sambil saya curi pandang. Kelihatan ibunya sedang sibuk dengan telefon bimbit. Di tangannya ada sebatang rokok. Sambil mengulit telefon, sambil menghisap rokok. Bapanya lebih banyak melayan kerenah anak. Saya tak pernah prejudis terhadap perokok. Bagi saya merokok itu pilihan, bukan kejahatan. Tak kisah sama ada lelaki atau perempuan.

Anaknya sedikit merengek. Bapanya angkat dan bawa bersiar sebentar di sekeliling kedai. Ibu itu masih tetap ralit memandang skrin telefon dan mencucuh rokok kedua. Waiter sampai ke arahnya untuk menghantar pesanan fish and chips. Dia bangun mencari kelibat suaminya dan menjerit; “B, you order fish and chips kan?” Suaminya mengangguk dan mereka bertiga kembali duduk bersama. Anaknya sedikit tenang.

Ketika suami sedang makan, dengan telefon di tangan kiri dan rokok di tangan kanan, dia cuba bermain dengan anaknya. Rokok di tangan diletakkan betul-betul dekat dengan baby chair. Bayangkan kedudukan budak dalam baby chair yang rendah, asap rokok boleh masuk terus ke dalam hidung dan membawa ke otak. Saya gelisah. Tak tenteram dibuatnya. Soto yang saya makan saya kongsi dengan Amar. Selalunya saya boleh habiskan seorang. Jiwa saya tak keruan.

“Kau belum ada anak, kau tak tahu. Kau jangan cakap apa-apa.”

Ayat tu bertubi-tubi masuk dalam kepala saya. Sama laju dengan gejolak dalam dada saya. Apakah kita perlu menjadi seorang ibu untuk mengetahui tentang makna keibuan? Berjuta perempuan dalam dunia ini mahukan anak, 1001 cara dan usaha untuk mendapatkannya dan entah berapa gelen doa yang dipinta setiap hari, namun rezeki belum berpihak kepada mereka dan saya sendiri. Saya jadi sangat sedih.

Saya tak pasti apa yang ada dalam fikiran ibu muda itu? Tidakkah dia mendengar atau membaca tentang bahaya rokok kepada orang yang berada di sekelilingnya? Kenapa anak harus menanggung sikap ‘selfish’ ibunya? Tidakkah dia tahu, 90% kanak-kanak yang menghidap penyakit paru-paru adalah berpunca daripada keluarga yang ahlinya seorang perokok.

Saya tahu yang ibu muda itu perasan akan saya sedang memerhatikannya. Dia buat dek saja. Seolah-olah tak ada apa yang berlaku. Concern orang lain tak beri makna apa-apa padanya. Wajahnya selamba dan tenang. Jika ini berlaku di ruang awam, bagaimana pula apabila mereka di rumah? Saya tak dapat bayangkan.

Suaminya selesai makan. Giliran dia pula merokok. Dua kotak rokok di hadapan anak kecil itu. Mereka kini sama-sama bersaing merokok. Asap berkepul. Saya gesa Amar untuk pulang. Soto petang tu dah tak sedap seperti selalu. Wajah anak kecil dengan mulut mungil itu bermain di fikiran saya selalu. Selalu.

Fazleena Hishamuddin 

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

“Orang Yang Berduit Macam Saya Tak Perlukan Pertolongan Orang Lain”

Polo: #TeamKJ vs #TeamTMJ