in ,

Mengejek Si Pembunuh Diri

Depresi, keinginan membunuh diri, ejekan dan dramatis.

Ku baca berpuluh ulasan ignoran tentang kemurungan. Tak kurang juga yang mengaitkan segalanya dengan kekurangan iman, tak percaya Tuhan dan sebagainya.

Kemurungan adalah satu proses panjang melibatkan pelbagai faktor, ia mengubah cara berfikir dan bertindak. Ada yang jatuh ke dalam lubang hitam kerana sejarah masa lalu dan jangkaan masa depan yang sukar, penderaan mental, seksual, kewangan, cinta, kerja, buli, seksualiti dan hal-hal unik yang tidak mampu diluahkan.

Tekanan dan kemurungan berbeza sama sekali. Tetapi tekanan yang berpanjangan boleh meletakkan seseorang pada fasa berbeza.

Masyarakat menuduh orang yang menamatkan nyawanya sendiri sebagai pengecut. Tetapi si penuduh tak pernah faham keberanian mereka menghabisi setiap hari yang baru. Ada yang ketawa dan mudah melabelkan orang lain dramatis hanya kerana mereka selesa di zon belum diuji.

Masyarakat yang ignoran juga marah kerana penderita mengambil jalan singkat tetapi tidak pernah turut dalam proses penyembuhan sesiapa pun, tidak pernah menjadi telinga sesiapa pun dan setia dengan kerjanya, mengkritik sehingga membunuh jiwa dan jasad.

Tak percaya Tuhan? Kenyataan ini barangkali egois dan cara melarikan diri masyarakat positif. Cara berfikir, kepercayaan dan pandangan tentang ketuhanan dan spiritual akan turut berubah.

World Health Organization melaporkan 300 juta orang serata dunia mengalami kemurungan dan hampir 800,000 mati setiap tahun kerana membunuh diri. Bunuh diri jadi penyebab kedua kematian peringkat umur 15 hingga 29 tahun. Adakah nombor ini kelihatan seperti kalimat yang lucu?

Penderita kemurungan tidak mendapatkan bantuan kerana takut dengan skeptik masyarakat yang terus melabelkan mereka gila. Takut dihakimi, takut kehilangan orang tersayang, takut dipinggirkan. Dan perjalanan yang serba merunsingkan ini menghilangkan identiti mereka, dunia berpusing 180 darjah, kesihatan, tidur, makan dan kebolehan membuat keputusan merosot. Sesetengah mereka tidak menunjukkan simptom ini secara langsung dan terus memendam rasa.

Sekiranya tiada orang yang dipercayai untuk meluahkan rasa dan memuntahkan rahsia, hubungi Befrienders di talian 03-79568144 atau 03-79568145. Befrienders KL sedia mendengar tanpa menghakimi. Kunjungi klinik kesihatan dan dapatkan bantuan psikiatris. Jauhi media sosial dan ambillah masa untuk diri sendiri.

Kembara kita masih jauh, dan sekiranya kita tidak mengambil keputusan untuk menamatkannya sendiri, mungkin juga Tuhan mahukan kita jadi penawar untuk orang lain. Kerana hanya kita yang faham perjalanan nan sunyi ini.

And I hope life is easy for you, ignorant. Laugh and live well, for the world need your positive smile and positive rant. Only you can make the world better, end the war and stop nuclear.

Alynn Sharuddin

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Oh Anok-Anok Tok Leh Meraso Mandi Lauk

Ayuh Rakyat Malaysia. Kita Undi Sampai Berjaya!