in ,

Menangis Kerana Babi

Gambar : https://www.jiopic.com

Hanya kerana cerita babi (superpig).

“Eh, kenapa yang beria-ia sangat menangis ni?” Abah menegur.

Dia melangkah longlai masuk ke dalam bilik. Dihempas badan yang ringan itu ke atas katil. Diambil bantal dan ditutup muka.

Dari badan yang masih terjulur, jelas naik turun dada seperti mengempang ombak emosi yang tidak tertahan.

“Zahraa, abah cakap dengan Zahraa ni. What happen?” Seperti bercakap dengan bantal.

Bantal diselak sedikit, “Kenapa orang tu nak kena bunuh mak dan ayah dia. Kesian anak dia.”
Kali ini, renggutan bersambung lebih kuat.

Memang jarang untuk melihat dia menangis begitu sekali. Jika menonton penamat cerita-cerita Melayu yang sedih pun, biasanya sekejap je dah elok saja atau lagi ‘best’, dia pula yang kutuk mama dan abah yang menangis.

Dia terkesan dengan satu babak dalam filem OKJA.

OKJA menceritakan tentang haiwan ‘superpig’ yang terhasil daripada kemajuan teknologi genetik. Muka binatang ini kelihatan seperti badak air, tetapi berbadan montel seperti babi. Tujuan penternakan binatang kacukan ini supaya dapat diproses menjadi produk makanan untuk manusia.

Pada peringkat awal filem ini, Okja ditunjukkan sebagai haiwan jinak yang mempunyai pertalian istimewa dengan seorang budak bernama Mija (budak Korea).

Okja mempunyai sifat manja seperti kucing dan melindungi seperti anjing. Dengan fizikal ‘montel’ itu, Okja boleh dikatakan comel.

Apa yang menyebabkan Zahraa menangis?

Di akhir cerita, selepas Mija berhempas pulas mahu menyelamatkan Okja daripada menjadi binatang yang dikorbankan di rumah sembelihan. Mija dibenarkan untuk memelihara Okja dan dibawa pulang ke habitat asalnya.

Semasa berjalan keluar dari kawasan sembelihan, terdapat ribuan lagi ‘superpig’ seperti Okja yang sedang menunggu giliran untuk disembelih.

‘Superpig’ ini terkumpul di kiri dan kanan laluan keluar mereka, cuma dihalang oleh jalur-jalur pagar elektrik.

Tidak semena-mena, seekor ‘superpig’ jantan mengangkat jalur pagar elektrik paling bawah.

Sementara dia menahan kejutan elektrik yang sangat kuat, pasangan betinanya menolak anak mereka muat-muat meluncur melalui bawah kabel yang diangkat.

Pasangan ‘superpig’ itu meraung seolah-olah mengisyaratkan Okja untuk menyelamatkan dan membawa bersama anak mereka hidup di hutan.

Disebabkan raungan itu, seluruh kawanan ‘superpig’ berteriak seolah-olah menangisi dan mengetahui nasib mereka yang akan berakhir menjadi makanan manusia.

Saya tidak menyangka babak itu akan meninggalkan kesan mendalam. Tetapi selepas Zahraa menangis begitu teruk, saya ulang main semula dan baru dapat merasai emosi sebenar babak itu.

Ya, ini cerita babi (walaupun wajah Okja tidak terlihat seperti babi). Mungkin jijik bagi segelintir orang untuk menontonnya. Tetapi inti sebenar cerita ini adalah sesuatu yang ‘universal’, kasih sayang manusia dan haiwan.

Zahraa menangis kerana mesej yang dia dapat adalah tingginya kasih sayang pasangan ‘superpig’ yang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan seekor anak.

Mereka sanggup berpisah dengan anak, asalkan anaknya selamat tidak menjadi korban manusia. Tidak langsung mementingkan diri sendiri.

Sungguh, saya pelik dan terpinga-pinga. Mengapa mudah Zahraa menangis apabila melihat pengorbanan ibu dan bapa spesis ‘superpig’ ini.

Baru saya sedar, itulah manusia.
Fitrah manusia sangat kuat rasa kasih dan sayang.

Lagipun roh yang menghidupkan manusia itu dipinjamkan Tuhan kepada manusia. Tuhan Maha Pengasih Maha Penyayang, lalu tidak hairan roh manusia juga ada sifat kasih dan sayang. Ia automatik.

Otak tidak berhenti berfikir, bagaimana pengorbanan spesis ‘superpig’ dalam filem yang hanya dipamerkan tidak sampai beberapa saat boleh mendatangkan kesedihan yang berlipat ganda, sedangkan susah betul mereka mahu ‘beremosi’ dengan pengorbanan yang telah ibu bapa lakukan.

Lama termenung, akhirnya saya rasa telah menemui salah satu puncanya.

Dalam filem OKJA, pasangan ‘superpig’ yang berkorban itu tidak mengeluarkan sebarang perkataan pun yang boleh difahami. Hanya ada dengusan dan raungan.

Apa yang menyentuh hati Zahraa adalah perbuatan.
Perbuatan mereka ketika itu dengan mudah ditafsirkan sebagai kasih sayang tertinggi yang mampu diberikan oleh pasangan ibu bapa iaitu kehidupan.

Baru saya tersedar di mana silapnya. Dalam banyak perkara, kita banyak melakukan pengorbanan, tetapi selepas setiap perbuatan akan disusuli dengan ungkitan demi ungkitan.

“Abah, Zahraa dapat No.1 dalam kelas.”

“Alhamdulillah. Ha, itu pun jenuh abah suruh belajar. Kalau tak, tengok YouTube je kerja.” (ungkit)

“Abah, Cikgu Zulfa pilih masuk kumpulan qasidah sekolah. Hari ni ada latihan.”

“Haa, kan elok masuk aktiviti macamtu. Daripada menyanyi lagu artis entah apa-apa yang tak berfaedah.” (ungkit)

“Abah, Sir cakap, Iman kena masuk ‘competition’ Taekwondo. Sir dah pilih.”

“Haa, kan bagus macamtu. Eloklah daripada asyik nak pukul Kak Zulfa dan Zahraa kat rumah.” (ungkit)

Rasa teruk apabila diingat semula.

Anak sudah berusaha melakukan yang terbaik. Mereka berkongsi kegembiraan untuk mendapatkan perhatian.

Tetapi sikap mengungkit itu menyekat limpahan kasih sayang. Seolah-olah, kesilapan mereka akan kekal dalam memori tanpa terpadam.

Mungkin itu sebabnya, tidak banyak pengorbanan kita yang benar-benar berakar di hati mereka. Bagi mereka, segala-galanya telah kita letakkan harga yang satu hari nanti perlu dibayar.

Ungkitan, mencalar balarkan hati mereka.
Lalu, kepedihan itu menembusi pertahanan emosi dalam hati. Sakitnya terus menjalar ke saraf mata hingga mereka ‘buta’ dan tidak dapat melihat apa yang kita lakukan selama ini adalah bukti kasih sayang.

Tiada manusia yang suka kesilapan dan kesalahannya diungkit-ungkit. Begitu juga anak kita.

Kebaikan kita, menyuburkan kasih sayang dalam diri mereka. Namun, malangnya mati disiram racun ungkitan. Sia-sia.

Ammar Kamilin

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Dua Kali Tiga Betul, Tiga Kali Dua Salah?

Rahsia Jual 3 Buah Kereta Sehari Dalam Masa 15 Tahun Gaya Joe Girard