, ,

Selepas 16 Tahun Disekat, Megadeth Merajai Stadium Negara

Tarikh 4 Mei 2017 telah menjadi tarikh keramat buat seluruh Metalhead di Malaysia apabila buat pertama kalinya, pioneer irama Thrash Metal dunia, Megadeth beraksi di pentas Stadium Negara, Kuala Lumpur. Megadeth, merupakan sebuah band Thrash Metal dari California, Amerika Syarikat yang ditubuhkan oleh Dave Mustaine (vokal, gitaris) sejurus beliau ditendang keluar dari sebuah lagi band Heavy Metal terkemuka, Metallica pada tahun 1983.

Riff gitar yang kompleks, high-speed tempo dan komposisi lagu yang berat merupakan identiti atau signature Megadeth dan mereka dikenali sebagai pengasas irama speed/thrash/heavy.  Kunjungan pertama Megadeth ke Malaysia pada 2001 tidak kesampaian apabila Kerajaan masuk campur. Namun, penantian selama 16 tahun menemui penghujungnya apabila Konsert Megadeth Live In Malaysia anjuran IME MALAYSIA diadakan. Konsert kali ini lebih memberi fokus kepada usaha promosi album terbaru mereka, Dystopia dan melengkapkan sebahagian dari World Tour Megadeth.

Tiba di Stadium Negara sekitar jam 8.30 malam dan ketika itu band tempatan, Massacre Conspiracy sedang membuat persembahan sebagai opening act. Mereka membawakan empat buah lagu. Massacre Conspiracy terkenal dengan rentak Metalcore dan mereka juga pernah beraksi di beberapa persembahan penting antarabangsa termasuk di Kanada dan Hammersonic Jakarta. Persembahan yang bertenaga dari Massacre Conspiracy pada malam itu melalui seleksi lagu Parasite, Risen From the Grave, Nothing Can Stop Us dan Kingslayer.

Selesai persembahan pembukaan, krew teknikal mengambil tempat untuk menyiapkan persembahan Megadeth. Walaupun mengambil masa kira-kira 40 minit namun peminat band berkenaan memahami keperluan menunggu untuk tempoh itu memandangkan Megadeth merupakan sebuah band besar dan sudah tentu mementingkan kualiti persembahan dan aspek teknikal yang perlu diberi perhatian serius bagi memastikan mereka dapat memberikan persembahan terbaik. Sementara menunggu, ruang stadium digemakan dengan lagu-lagu Heavy Metal yang popular sekitar tahun 1980an ke 1990an.

Tepat jam 9.15 malam lampu pentas ditutup dan sorakan peminat Megadeth semakin bertenaga kerana Megadeth bakal mengukir sejarah tersendiri di Malaysia. Megadeth memulakan persembahan dengan lagu Hangar 18 yang dipetik dari album Rust In Peace (1991) sebelum meneruskan dengan lagu Wake Up Dead, IMDH dan Threat Is Real (Dystopia:2014). Semua lagu ini dipersembahkan oleh Megadeth  tanpa henti dan ini merupakan salah satu bukti mereka layak digelarkan Raja Thrash Metal!

Selepas lagu kelima, Conquer or Die, Dave Mustaine tampil ke hadapan sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir pada malam itu.  Beliau jelas teruja dan Megadeth meneruskan persembahan dengan lagu Lying In State, Sweating Bullets dan Trust. Roh Thrash Metal makin merasuk dan ini disaksikan dengan hayunan kepala penonton khasnya di Deth Pitt Zone.

Riff gitar pembukaan untuk lagu kesembilan, She Wolf membuatkan penonton menjerit seperti hysteria kerana lagu ini merupakan salah sebuah lagu hebat dari Megadeth. Kehangatan diteruskan dengan lagu Poisonous Shadow, Fatal Illusion dan A Tout Le Monde.

Tata hias latar belakang pentas menampilkan imej-imej grafik yang menakjubkan dan penggunaan tema visual juga bersesuaian dengan setiap lagu yang dimainkan dan tanpa disedari mampu membawa pendengar dan penonton ke mengembara ke setiap lagu-lagu yang dimainkan.

Lagu ke-13, Tornado Of Souls membuatkan kita berkhayal dan  killer guitar solo oleh Kiko Loureiro begitu mengujakan. Petikan solo oleh lagu ini pada asalnya dicipta oleh bekas anggota Megadeth, Marty Friedman. Sorakkan semakin menggila apabila Dave memainkan riff pembukaan untuk lagu Post American World. Dentuman dram menambahkan kehangatan di samping kesepaduan bunyi gitar dan bass amat menaikkan semangat.

Kehadiran 3,500 penonton ternyata memberikan kehebatan dan pengalaman luar biasa melihat Megadeth di depan mata. Rasa ini juga dicampur dengan keterujaan menanti sekian lama melihat Megadeth datang ke negara tercinta ini. Hayunan kepala terus bergerak apabila muncul lagu Dystopia dan Symphony Of Destruction mengundang penonton untuk turut menyanyi bersama-sama.

Seluruh Stadium bingit dengan alunan simfoni berat untuk lagu ke-17, Peace Sells…But Who’s Buying?. Selesai lagu berkenaan semua anggota Megadeth bergerak ke belakang pentas dan seperti aksi tipikal di kebanyakan konsert, penonton menjerit “we want more”! Berulang-ulang kali sehingga Dave, Ellefson, Kiko dan Dirk tampil semula, memenuhi tuntutan peminat dengan encore lagu Holy Wars.

Pujian harus diberikan kepada sistem audio dan cahaya yang menambah keseronokan menonton aksi Thrash Metal Megadeth. Tahniah untuk pihak IME Malaysia kerana menganjurkan konsert penuh makna dan sejarah ini. Selepas encore Holy Wars, Dave berjanji akan kembali lagi ke Malaysia dan persembahan malam itu pastinya akan menjadi memori paling indah buat peminat yang hadir.

Faktor usia tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk menampilkan persembahan bertenaga dengan penguasaan pentas secara total dan Megadeth layak dinobatkan sebagai Raja Thrash Metal!

Adam Mukhriz

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kejamnya Apabila Membuat Pulau Buatan Manusia

Terima Kasih Jagakan Siti Untuk Kami, Kak Rozi!