in ,

Masih Relevenkah Peribahasa Jangan Jaga Tepi Kain Orang?

Rata-rata di antara kita pernah berada dalam situasi di mana kita berasa serba salah untuk membantu orang lain dalam keadaan ramai orang di sekeliling kita. Contohnya, bayangkan kita berada di perhentian bas yang dipenuhi orang ramai. Tiba-tiba ada seorang buta ingin melintas jalan. Dalam situasi itu, hati nurani kita mungkin mahu menolong orang buta tersebut namun dalam masa yang sama, kita rasakan mungkin akan nada orang lain yang akan menolong orang buta berkenaan. Nah, inilah sebahagian daripada Bystander Effect atau Kesan Pemerhati.

Pada bulan Mac tahun 1964, terdapat satu insiden menyayat hati telah menimpa Kitty Genovese di New York. Genovese telah dibunuh di kawasan parkir rumahnya dengan disaksikan lebih 30 orang jirannya. Genovese yang ditikam oleh seorang lelaki telah bertindak menjerit dan meminta tolong daripada orang ramai. Panik dengan situasi itu, lelaki itu melarikan diri. Namun, dalam masa kurang 15 minit, lelaki berkenaan kembali dan sekali lagi melakukan keganasan terhadap Genovese termasuk keganasan seksual sebelum sekali lagi melarikan diri. Dalam situasi itu, hanya seorang daripada jiran-jiran Genovese yang mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi ambulans, namun Genovese gagal diselamatkan.

Insiden ini telah menarik perhatian ramai dan antaranya ialah ahli Psikologi, John Darley dan Bibb Latane. Darley dan Latane dalam menghuraikan situasi yang berlaku terhadap Genovese telah menjalankan eksperimen tentang ‘Ketidakpedulian Pemerhati’ atau ‘Bystander Apathy Experiment’.
Dalam eksperimen ini, Darley dan Latane telah mengumpulkan sukarelawan yang terdiri daripada penuntut universiti dengan memberitahu bahawa sukarelawan ini akan terlibat dalam perbincangan tentang masalah peribadi mereka. Setiap sukarelawan ini ditempatkan secara berasingan di dalam bilik yang berbeza dan mereka hanya akan berkomunikasi antara satu sama lain melalui mikrofon yang disediakan. Topik yang diberi kepada mereka seputar kisah hidup di kolej.

Setiap sukarelawan akan diberi masa selama 2 minit untuk bercakap sebelum mereka mendengar ulasan daripada yang lain. Menariknya, ulasan yang mereka dengar sebenarnya adalah rakaman suara yang telah dirakam awal bagi tujuan eksperimen ini dan hal ini tidak diketahui oleh para sukarelawan. Setiap mereka menjangkakan ulasan yang didengar adalah daripada sukarelawan-sukarelawan yang lain.

Eksperimen ini dibuat secara solo, satu dengan satu (seorang sukarelawan dan satu rakaman suara) dan juga secara ‘berkumpulan’ (seorang sukarelawan beserta beberapa rakaman suara berlainan). Di dalam eksperimen itu, pada ketika sesi perbincangan diadakan, sukarelawan ini akan mendengar suara rakaman ini meminta pertolongan (suara rakaman dirakam seoalah-olah diserang sawan). Sukarelawan ini hanya mampu mendengar dan tidak dapat melihat apa yang berlaku. Disinilah kajian ini diukur dengan mengambil masa berapa pantas setiap sukarelawan yang terlibat untuk bangun dan meminta bantuan.

Hasilnya? Lebih ramai sukarelawan yang bertindak proaktif dengan mencari bantuan segera semasa sesi satu dengan satu berbanding semasa sesi berkumpulan. Bagi menerangkan situasi ini, ada dua punca yang diberikan berdasarkan eksperimen yang dibuat.

Kesan penyebaran tanggungjawab (Diffusion of responsibilities)

Dalam situasi dimana kita dikelilingi oleh orang ramai, rasa kebertanggungjawaban itu akan berkurangan. Masing-masing akan mengharapkan orang lain yang akan lakukan, maka tidak perlu lagi untuk kita lakukan. Nampak? Inilah yang terjadi dalam kes Genovese tadi.

‘Pluralistic Ignorance’ (Kejahilan majmuk – google translate)

Pluralistic Ignorance ini adalah situasi di mana bila kita melihat tiada yang membantu, maka kita menganggap tiada keperluan untuk kita juga membantu. Berbeza apabila bersendirian, persepsi terhadap sesuatu ‘kecemasan’ yang berlaku tidak dipengaruhi oleh ‘bystander’ atau pemerhati lain menyebabkan kita boleh bertindak dengan lebih efektif.

Bystander effect ini bukanlah satu perkara kecil. Dalam beberapa kes yang dicatatkan, ianya melibatkan soal nyawa (termasuklah kes Genovese ini).

Antara kes lain yang menarik perhatian dunia ialah kes Wang Yue, kanak-kanak berusia 2 tahun yang digilis van dan hanya diperhatikan oleh orang ramai tanpa memberikan sebarang bantuan. Insiden ini berlaku sekitar tahun 2011 di China dan videonya telah tular di laman-laman sosial. Tentu saja ramai diantara kita yang telah turut menonton video berkenaan dan merasa simpati pada si kecil yang terseksa tanpa diberi bantuan sewajarnya.

Akhirnya, peribahasa melayu ‘jangan jaga tepi kain orang’ seharusnya tidak terpakai dalam situasi yang memerlukan kita untuk bertindak proaktif. Sekiranya berlaku kecemasan dalam lautan orang ramai, maka kita sendirilah yang perlu membantu tanpa mengharapkan orang lain. Rasa kebertanggungjawapan itu perlu dipikul di atas pundak sendiri tanpa perlu dibahagi bahagikan supaya kes-kes seperti Genovese dan Wang Yue tidak berulang lagi.

Faris Shazwan

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Ahli Akademik Ternama Dan Politik Malaysia

Inilah Bon Kelakuan Baik Yang Kau Perlu Tahu