in ,

Mari Dengar Cerita Tok Adi Mengenai Lurah Bilut

Waktu kami singgah Felda Lurah Bilut minggu lalu, sedang sedap-sedap dibawa oleh kawan-kawan melawat ladang sawit, elok salah seorangnya cakap yang atuk beliau merupakan antara peneroka paling awal yang membuka Felda tersebut masih ada.

Terus terpacul di mulut aku, “nak jumpa!”

Apa lagi, esoknya dalam jam 9.00 pagi, kami dah terpacul depan rumah beliau.

Tok Adi menyambut kami, dan layan kami macam cucu-cucu beliau. Beliau sudah tahu kami datang kerana nak dengar dari mulut beliau sendiri tentang bagaimana Felda Pertama yang dibuka di tanah Malaysia ini diusahakan.

Sejarah Asal Berhijrah Ke Felda Bilut

Tok Adi bermula dengan kisah bagaimana beliau ditawarkan pada tahun 1959. Beliau ini berasal dari Kampung Sega, Raub. Seramai 65 orang dari kampung tersebut yang menerima tawaran untuk menjadi peneroka pertama waktu itu. Sekarang yang masih hidup hanya 4 orang.

Beliau sudah berumur 90 tahun. Waktu mula datang ke Felda Lurah Bilut, beliau sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Kau kena tahu seperkara, yang mana pada waktu itu sesiapa yang nak datang menjadi peneroka, syarat utamanya ialah sudah berkahwin. Jika bujang, memang kena cepat-cepat mencari jodoh.

Macam Mana Pembahagian Tanah Felda Dulu-Dulu?

Kesemua tanah yang mereka dapat, diberi undi untuk mendapatkan kawasan rumah. Pada waktu itu, memang hutan. Nak tebang pokok-pokok yang lebih besar dari sepemeluk, satu kerja. Jadi apa yang mereka buat ialah bina pondok tanpa dinding sahaja.

Kau bayang pondok tunggu durian. Hehe. Macam itulah. Atap ada, dinding kosong.

Awalnya dulu, disebabkan belum ada benih getak atau kelapa sawit, mereka hanya menanam padi huma. Atau lebih dikenali dengan padi bukit. Tanaman itu memang sekadar untuk berkongsi rezeki mengisi perut masing-masing sahaja.

Yang dibelakang itu cucunya.

Ia berlarutan beberapa tahun. Dan ada antaranya yang tak tahan dan mahu pulang ke kampung masing-masing. Lebih-lebih lagi, harimau banyak berkeliaran pada waktu malam menyebabkan mereka sering ketakutan.

Namun sepanjang membuka tanah, tiada sejarah yang peneroka dikejar atau dibaham haiwan tersebut.

Di Mana Dapat Anak Benih Getah?

Pada suatu hari, Tok Adi dan kawan-kawannya memburu pelanduk, dan di sebatang sungai, beliau kemudiannya berjumpa dengan benih-benih getah yang elok tumbuh di tebing. Kata Tok Adi kemungkinan dibuang sesiapa atau memang tumbuh sendiri di situ.

Maka sebelum benih-benih itu dibeli, beliau dan rakan-rakannya sudah mula menanam getah di tanah mereka.

Sampailah ada bantuan, maka masing-masing mendapat sekitar 1,400 pokok untuk diusahakan sendiri. Kau bayanglah, kena kerjakan tanah, kena tanam, kena siram dan belai pokok tersebut selama 7 tahun sebelum ia memberi hasil yang pertama.

Berapa Hasil Dapat Masa Itu?

Waktu ini Tok Adi kata, menjaga pokok lagi teruk dari jaga anak dara. Kerana itu adalah hasil mereka, titik peluh mereka. Jadi memang ditatang bagai minyak yang penuh.

Dan sampailah ke waktu sudah boleh ditoreh, akhirnya dipungut dan dijual, dapatlah sekitar RM200 waktu itu. Tok Adi menyerahkan RM100 kepada isterinya dan baki RM100 dibawa ke Kampung Sega untuk dibuat kenduri.

Yang klasiknya, kepulangan Tok Adi ke kampung waktu itu merupakan sebuah kejutan ya amat sangat. Ramai yang berfikir yang beliau sudah terkorban atau ada apa yang terjadi. Kerana terlalu lama tidak pulang. Namun, beliau kembali dengan hasil dan memberi pandangan berbeza kepada orang kampung lain yang menentang pemergiannya sebelum itu.

Tok Adi mengesat matanya berkali-kali. Kami diam sahaja mendengar ceritanya.

Waktu ini beliau dah menangis.

Hari ini, Tok Adi bangga menjadi peneroka. Bangga melihat tanah Felda dibangunkan oleh orang-orang terpilih. Beliau kata, “dulu susah sangat-sangat nak dapat tanah dan rumah. Dengan membuka Felda Lurah Bilut, beliau dapat 10.5 ekar tanah untuk diusahakan dan memberi pulangan kepada anak-cucu. Syukur sangat.”

Anak beliau, ada yang menjadi peneroka di Felda Jengka dan Felda Mempaga. Malah, ada yang menetap bersamanya di Felda Lurah Bilut.

Gambar sekeluarga. Anaknya 8 sebenarnya. Namun ini waktu beliau punya anak 3.

Aku dengan Cikgu Zul sepakat tentang seperkara selepas mendengar kisah Tok Adi. Orang dulu, mengusahakan sesuatu hanya bergantung kepada Tuhan semata-mata. Ditinggal dalam hutan sekian lama. Boleh nampak harimau dalam 3-4 depa sahaja lalu depan mata, dengan gangguan lain yang macam-macam, namun masih hidup hari ini meninggalkan hasil-hasil untuk kita rasa.

Kami bergambar di hadapan rumah Tok Adi.

Dan kita semua yang tak merasa pengalaman tersebut, tak tahu dan tidak punya peluang yang sama. Yang kita boleh buat ialah bersyukurnya mereka ada dan belajar meneruskan tradisi serta menyambung usaha untuk terus berbakti kepada tanah.

Buat semua pembuka tanah dan menjadi peneroka pertama di mana-mana pun tanah rancangan, tabik dari kami!

Khairul Hakimin Muhammad,
Anak Cikgu, Sekolah di Felda.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Eleh, Asyik Staf Gomen Je Dapat Bonus!

Sebagai Balasan, Akan Ku Jaga Dia Seumur Hidupku