in ,

Mampus Koruptor!

Kes rasuah melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah merupakan tragedi yang tidak boleh dimaafkan dan ini ialah kecelakaan yang menimpa kita!

Menurut kenyataan media rasmi yang dikeluarkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini merupakan kes rampasan wang tunai terbesar melibatkan pesalah dalam kalangan penjawat awam yang pernah dibuat SPRM sejak agensi ini ditubuhkan 49 tahun lalu.

Kedua-dua perasuah ini hanya bergred 54 dan 52, mereka telah diberi amanah untuk mengendalikan projek-projek pembangunan infrastruktur khasnya bekalan air bersih di Sabah, namun mereka curang!

Sejak 2010 RM3.3 bilion telah disalurkan untuk Jabatan berkenaan mengendalikan projek-projek pembangunan, tetapi apa yang terjadi mereka berdua menggunakan kuasa yang ada dengan memonopoli semua projek berkenaan dan menyerahkan kepada adik-beradik sendiri.

Hasil siasatan, SPRM telah merampas wang tunai lebih kurang RM53 juta daripada kedua-dua mereka. Semua wang tunai berkenaan disembunyikan di rumah dan pejabat mereka!

Selain wang tunai itu, SPRM juga telah menyita beberapa akaun milik mereka yang dianggarkan lebih kurang RM62 juta. Mereka juga memiliki wang di beberapa buah bank di luar negara.

Selain itu, SPRM turut membuka satu daripada enam peti simpanan milik mereka di beberapa bank yang mengandungi wang tunai RM2.5 juta. Selebihnya akan dibuka dengan bantuan bank dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, SPRM turut merampas 127 geran tanah, sembilan buah kenderaan mewah iaitu Range Rover, Audi, BMW, Ford Ranger, Mercedes Benz, Mazda, BMW, Lexus, Volvo, jam tangan berjenama, barang-barang kemas serta 94 beg tangan berjenama mewah milik isteri-isteri mereka.

Kau tahu kan jumlah ratusan juta ini untuk apa?

Kau tahu bukan? Bagaimana keadaan infrastruktur di Sabah khasnya.

Kau tahu bukan? Bagaimana peratusan liputan air dan pembekalan air bersih di Sabah.

Kau tahu bukan? Ada guru-guru yang bertarung maut setiap hari melintasi sungai dan laut demi mengajar anak-anak bangsa malah ada yang menjadi korban tragedi lemas.

Kau tahu bukan? Ada doktor yang mengharung kesukaran demi tugas di pedalaman dan wang ratusan juta ini boleh digunakan untuk perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Kau tahu bukan? Dengan nilai ratusan juta ini lebih 10 sekolah boleh dibina di seluruh Sabah setiap tahun.

Kau tahu bukan? Dengan nilai ratusan juta ini beratus makmal sains sekolah boleh dinaik taraf untuk anak-anak kita.

Kau tahu bukan? Berpuluh-puluh sekolah daif boleh dibaik pulih dengan wang ratusan juta ini!

Kau! Kau koruptor! Perasuah! Kau ialah makhluk tanpa gelar, malah untuk menggelarkan kau sebagai binatang juga aku tidak sanggup untuk menghinakan binatang!

Kau merampas kepercayaan dan harapan orang-orang yang jujur dengan kehidupannya!

 

Daniyal Kadir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Matilah iPhone 7 Dibunuh Pixel

Koruptor Adalah Babi Yang Berlagak Nabi