in ,

Magis Tapai Malam Raya Di Iraq

Tanpa menyentuh tentang sudut spiritual, Hari Raya ini sebenarnya tentang makanan. Kau boleh masukkan pelbagai benda lain seperti ziarah sanak saudara, main mercun sampai putus jari, berkenalan dengan mak bapak makwe atau apa sahaja yang lain, tapi kita tidak boleh menafikan signifikan kewujudan makanan istimewa sempena sambutan Aidilfitri.

Kau sambutlah Hari Raya di pelusuk mana pun dunia ini, asal sahaja kau punyai makanan yang bertemakan Hari Raya maka aku boleh jamin Hari Raya kau untuk tahun itu sudah hampir lengkap. Selebihnya bolehlah kau tambah dengan benda-benda lain yang aku sebutkan tadi seperti mengumpat bersama sepupu-sepapat, banding-bandingkan baju anak kau yang beli semasa jualan murah itu, sembang dengan adik beradik kau pasal sport rim kau yang baru atau pun mengajak kawan pergi temankan kau beraya di rumah makwe. Tapi percayalah semua perkara tambahan ini tetap perlukan makanan istimewa Hari Raya sebagai satu pelengkap. Takkan kau nak pergi berjalan rumah makwe kau, sambil dia hidang makan biskut Oreo kan?

Rumah aku di Jelebu sentiasa menjadi tumpuan sanak saudara setiap kali Hari Raya. Mak aku sebagai orang tua dan sebagai kakak yang sulung sudah pasti menjadi tumpuan untuk berziarah. Oleh sebab mak aku tinggal dengan aku dan pulang ke kampung sebulan sekali, maka Hari Raya juga adalah peluang mudah untuk orang ramai bertemu dan bertanya khabar. Selain daripada itu, sanak saudara yang datang tanpa segan dan silu akan bertanya tentang tapai.

Ini kerana Mak aku memang membuat tapai setiap kali Hari Raya, sejak aku pandai menyambut Hari Raya sehinggalah ke hari ini. Dan tapai mak aku memang sedap, kerana beberapa kali juga aku cuba makan tapai pulut yang orang lain buat, aku masih belum dapat “feel” yang serupa ketika menjamah tapai mak aku.

Itulah Hari Raya yang sebenar bagi aku. Mungkin kau dan tempat lahir kau ada pelbagai makanan istimewa yang lain, tapi aku dilahirkan dan dibesarkan dengan tapai pada Hari Raya. Malam sebelum Hari Raya ketika orang datang bertakbir di rumah, kalau nasib baik tapai sudah masak maka rezeki mereka dapat menjamu selera dengan tapai. Sewaktu naik di tangga depan lagi sudah ada yang bertanya tentang tapai.

Pagi Hari Raya sebelum ke masjid, sekurangnya dapat makan dua suap tapai pun sudah memadai. Mak aku pula akan masukkan ke dalam mangkuk tingkat atau pun bekas untuk hidangan di masjid sesudah solat. Kalau dua bekas besar yang pergi memang dua bekas besar yang kosong jugalah balik. Kalau pergi hantar semua, maka meloponglah aku nak makan tapai lagi.

Sebenarnya mak aku, diriwayatkan dahulu belajar membuat tapai dengan arwah Wan Simbab. Kau jangan tanya aku kenapa nama dia macam tu atau pun itu nama sebenar ke atau pun nama Facebook, sebab aku pun tak tahu. Sejak aku kecil, memang aku kenal dia dengan nama itu dan dia sudah terlalu lama meninggal dunia.

Tapai ini sebenarnya adalah kerja orang perempuan. Ayat yang biasa aku dengar apabila orang kampung aku berbual pasal tapai. Betul memang aku belum berjumpa dengan orang lelaki yang mahir membuat tapai. Mungkin ada.

Di peringkat awal menuntut ilmu membuat tapai ini, pelbagai pantang larang yang mak aku terpaksa dengar daripada Wan Simbab. Sebab itu apabila aku ceritakan perihal tapai ini dengan kalangan kawan-kawan yang mencari rezeki sebagai pendakwah bebas, mereka kata itu khurafat. Pantang larang itu wujud mungkin secara kebetulan, dan Wan Simbab bukan suruh kau beriman pun dengan pantang larang tersebut.

Tapai ini sifatnya sangat sensitif dan aku pun masih gagal untuk mencari kaitannya yang munasabah. Untuk membuat tapai seseorang itu perlulah suci. Aku diberitahu, perempuan yang sedang dalam haid memang tidak boleh membuat tapai. Diriwayatkan jika tapai itu dibuat dan disimpan, maka sesudah masak nanti ia akan bercampur warna merah seperti darah. Mistik? Khurafat? Kau cubalah sendiri dan cari hubungkaitnya dan kemudian cerita semula dengan aku.

Tempat untuk membuat tapai juga haruslah bersih, perkakas yang kau guna untuk membuat tapai juga mestilah bersih. Jika kau buat tapai berhampiran dengan tong sampah di dapur rumah kau, maka hasilnya nanti tapai kau akan berbau busuk. Mistik? Khurafat? Kau cubalah sendiri dan cari hubungkaitnya dan kemudian cerita semula dengan aku.

Jika kau membuat tapai, kau juga tidak perlu mencanang cerita heboh satu kampung. Nanti kalau tapai kau tak menjadi, malu pula orang datang nak makan tak ada rezeki. Tujuan lain adalah supaya tidak diganggu, takut nanti ada yang datang bertanya sebelum tapai kau masak, atau pun mahu melihat kau membuat tapai sambil layan berborak. Oleh sebab itu, ada sesetengah penuntut ilmu menapai ini yang akan mengunci pintu dan tingkap dapur mereka, membersihkan segala perkakas dan melarang anak-anak daripada mengganggu mereka di dapur.

Beras pulut akan dibasuh sehingga bersih, kemudian dikukus sehingga masak. Selepas masak ini, kalau kau ada lebihan sambal tumis hidangan nasi lemak waktu berbuka puasa tadi tu, kau boleh saja jodohkan dengan sedikit pulut panas. Benda ini tidak termasuk lagi dalam pantang larang daripada Wan Simbab kepada mak aku.

Selepas itu kau biarkan pulut kau sejuk. Kau pindahkan ke dalam loyang besar dan kau curah sedikit demi sedikit air suam untuk meleraikan beras pulut kau yang sudah melekat-lekat itu. Untuk lebih mudah kau pakai sarung tangan dan kau leraikan semua sekali beras pulut itu. Air yang kau gunakan mestilah air yang sudah dimasak, dan bukan pula air lebih kau bagi kucing minum.

Sesudah selesai barulah kau taburkan ragi (dry yeast) dan kau gaulkan sehingga rata. Ragi ini pun tengok nasib juga, kadang-kadang kau dapat ragi yang tak berapa nak elok, maka hasilnya tapai kau tak berapa nak cantik. Kau boleh tambah gula sedikit untuk menjadikan tapai kau manis. Tapi kalau tanpa gula pun tapai kau akan menjadi manis tapi tidak lah semanis tapai yang kau gaul dengan tiga empat sudu besar gula bagi satu kilogram beras pulut.

Biasanya orang simpan tapai di dalam periuk. Kemudian periuk itu akan dibungkus dengan kain. Semasa aku kecil dahulu, sebelum dibungkus, mak aku akan mengambil abu dan seulas lada merah, dibungkus dalam surat khabar dan diletakkan di atas periuk yang kemudiannya dibungkus dengan kain. Itu memang petua daripada Wan Simbab, abu untuk menjadikan tapai kau gebu manakala lada merah pula untuk mendatangkan rasa sedikit panas pada tapai.

Proses penapaian ini juga ada banyak pantang larang. Sama ada mahu percaya atau tidak, kebanyakannya memang pernah berlaku dan aku sendiri tidak faham apa kaitan semua ini dengan hasil tapai yang kau buat.

Bungkusan tapai tadi perlu diletakkan di tempat yang tersembunyi. Kebiasaanya di dalam almari di tingkat atas sekali. Atau lebih mudah lagi letakkan sahaja di atas almari, supaya senang tiada yang gatal tangan mencapai atau mengalih sebelum ia masak. Kain yang kau gunakan untuk membungkus tadi juga perlulah kain yang bersih dan sebaiknya kain yang tidak berwarna. Kain batik sepanjang pemerhatian aku adalah antara yang terbaik.

Beberapa tahun yang lepas, tapai mak aku menjadi kemerah-merahan, kerana dibungkus berhampiran dengan langsir raya yang berwarna merah menyala. Hampa betul tahun itu tak merasa nak makan tapai raya. Isteri aku yang kali pertama melihat tapai yang tidak menjadi kerana faktor luaran kemudiannya percaya dengan kewujudan pantang larang membuat tapai, walaupun kami masih lagi gagal untuk menghubungkaitkan semua faktor tersebut.

Sewaktu diperam, tapai tidak boleh diganggu. Jangan dibuka dan diusik atau cuba untuk menghidu bau sama ada masak atau pun tidak. Satu ketika dulu, anak buah aku pernah membuka satu periuk tapai yang mak aku buat kerana pelik melihat periuk yang berbungkus di atas almari. Habis satu periuk tak menjadi. Mujur buat dua periuk, dapatlah juga merasa.

Sepanjang tapai kau diperam, janganlah pula kau bercerita ke sana dan ke sini, memberitahu yang kau ada membuat tapai dan segalanya. Nanti buatnya tidak menjadi, kesian orang yang datang nak merasa. Cumanya pantang tidak boleh bercerita dengan orang ni, Wan Simbab bagitahu mak aku nanti tapai akan merajuk, sebab dia nak keluar pada hari yang sepatutnya tapi cerita dah heboh terlebih dahulu. Memang pernah berlaku dan aku pun tidak tahu kebetulan atau pun memang betul tapai tu merajuk.

Kau kena pastikan tapai kau disimpan selama dua malam untuk ia masak dengan cantik. Sebab itu kau kena jadualkan hari kau membuat tapai itu supaya ia masak ketika malam raya, atau pun pada pagi raya. Selain tapai itu yang kau boleh makan, air tapai juga kau boleh simpan untuk diminum. Itu aku tak mahu cerita, kau pergilah tanya dengan orang lain.

Aku sudah belajar berhari raya sendirian tanpa keluarga sejak berusia 17 tahun. Konon mahu tunjuk “rebel” aku tidak pulang ke rumah berhari raya dan bekerja menggantikan kawan yang pulang ke Kelantan. Sungai Wang Plaza pada Hari Raya tahun 1995, hanya orang yang kecewa dalam hidup sahaja sanggup berkampung di situ. Mengalir laju juga air mata aku pagi tu tiba-tiba teringat dengan mak dan abah aku di Jelebu. Bukan jauh sangat pun KL dan Jelebu, naik bas cuma 2 jam lebih.

Habis waktu kerja hari tu aku terus ambil bas SKS ke Seremban dan dapat naik bas paling akhir ke Jelebu. Malamnya aku sudah berasa lega mengadap hidangan raya yang mak aku masak. Klimaksnya adalah aku dapat makan tapai. Puas hati aku.

Sekarang ini, setiap kali berhari raya sendirian tanpa keluarga, aku akan pastikan aku punyai hidangan Hari Raya untuk menjadi pelengkap. Malam raya aku akan dipenuhi dengan aktiviti memasak rendang, merebus nasi impit, membuat sambal kacang dan menyiapkan bahan untuk memasak lodeh. Dengan semua juadah ini, Hari Raya aku tidaklah kosong. Air mata aku tidak lagi mengalir kesedihan kerana berjauhan dengan keluarga.

Cuma tahun ini, pada usia 40 tahun dan untuk entah kali keberapa berhari raya di perantauan, air mata aku mengalir pada pagi raya. Hati aku sebak tatkala aku membuka bungkusan yang aku simpan selama dua malam dalam almari baju aku. Bungkusan yang aku buat dengan penuh berhati-hati mengikut petua mak aku yang diwarisi daripada Wan Simbab. Benda yang aku sediakan tanpa aku ceritakan kepada sesiapa. Aku bungkus dengan kain tuala putih. Aku simpan di dalam almari dan aku kunci tanpa aku buka selama dua malam.

Pagi Hari Raya tahun ini di Iraq, untuk pertama kalinya aku membuat tapai dan tapai aku menjadi. Sebiji sama rasanya seperti yang mak aku buat selama ini. Mengalir juga air mata aku sewaktu memberitahu mak aku di telefon. Puas hati aku.

Zulhazry Mohd Yusoff

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Raya Bukan Hari Nak Impress Orang!

Selamat Hari Raya, Rockers Sekalian!