in ,

Lepas 3 Hari, Orang Pedulitaik Insiden Go Kart Bunuh Penonton

 

Ketika laluan MRT sedang rancak dibina, beberapa kemalangan berlaku yang mengakibatkan pekerja binaan mati. CEO MRT letak jawatan. Business as usual.

25 Ogos lepas di Jalan Raja Chulan, seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya berhampiran kawasan pembinaan dihempap kren pembinaan. Kontraktor, Beijing Urban Construction Group (BUCG) membayar pampasan dan isu senyap. Business as usual.

Dua hari lepas, tiga beranak mati terbunuh dilanggar kereta Go-Kart apabila menonton perlumbaan tersebut di Jalan Sukpa. Penganjur EIMARace dilaporkan tidak mendapat kelulusan daripada Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Adakah kejadian ini juga akan dianggap sebagai ‘business as usual?’

Kemungkinan besar dan yang sedihnya. jawapannya adalah ‘YA’.

Dalam ketiga-tiga kejadian ini (dan banyak lagi), kesemuanya berkaitan soal keselamatan dan garis panduan yang tidak dipatuhi.

Siapa boleh terfikir sebuah kren boleh jatuh di tengah-tengah bandar di jalan utama tanpa angin kencang dan ribut?

Kita juga tak boleh sangka penghadang bagi perlumbaan yang berkelajuan 100km per jam hanya dipisahkan dengan penghadang plastik?

You must be kidding!

Selepas ini kita boleh jangkakan isu tersebut akan hangat 2-3 hari.

Media akan lebih suka melaporkan kisah-kisah ‘ajaib’ dari mangsa yang terselamat seperti ‘suami berkelakuan baik sebelum kejadian’ atau ‘ada suara menyelamatkan saya dari kemalangan’.

Penganjur akan mengatakan ini ketentuan ilahi dan mengatakan semua dilakukan mengikut undang-undang.

Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan yang hasilnya kemungkinan besar tidak dilaporkan oleh media.

Orang ramai pula akan melupakan perkara tersebut sehinggalah kejadian yang sama berlaku.

Inilah yang dinamakan ‘Kecuaian di Malaysia #101’.

Sepatutnya kemalangan-kemalangan tersebut boleh dielakkan sekiranya pihak bertanggungjawab (penganjur, syarikat pembinaan dan kontraktor) mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Tidak ada jalan pintas dan tidak ada kos terlalu mahal dalam memastikan keselamatan pekerja dan orang ramai. Perkara ‘cut corner’ ini perlu dibendung supaya ia tidak menjadi ‘a new normal’.

Apabila pemain industri, pihak berkuasa, media dan masyarakat sendiri sudah merasakan kemalangan-kemalangan seperti ini sebagai ‘perkara biasa’, ia menandakan negara kita sudah semakin jauh menjadi negara maju.

Apabila undang-undang dan garis panduan tidak dipatuhi dan sewenang-wenangnya boleh dilanggar dan ‘kawtim’, ketika itulah masyarakat kita semakin mundur.

Mana ada masyarakat maju di dunia ini boleh ‘cut corner’ bab keselamatan. Tak percaya?

Baik, ini faktanya pula.

Di United Kingdom, kadar kemalangan serius hanyalah 3% daripada 100,000 pekerja pada tahun 2015. (Health and Safety Executive, 2015).

Kadar kematian pula adalah 0.46 orang. Ini bermaksud dari 100,000 pekerja, hanya 0.46 orang yang mati. Kalau sejuta pekerja, 4.6 yang mati sebabkan kemalangan di tempat pembinaan.

Malaysia bagaimana? Kadar kemalangan serius adalah 10.94% pada 2015 dengan kematian sebanyak 140 orang daripada 100,000 pekerja. (CIDB, DOSH, 2015)

Gila. Kalau ada 10 ribu pekerja di kawasan pembinaan, yang konfem mati adalah 14 orang. Ini statistik tau.

Tapi nak hairan apanya, jumlah orang yang mati di jalan raya pun berpuluh kali ganda lebih banyak.

Jadi apa yang kita nak buat dengan perkara ini? Atau apakah yang kita buat dengan kapasiti yang kita ada?

Pertama- kita sendiri kena tanamkan budaya kejujuran dan jangan sesekali ambil jalan pintas ke dalam diri kita dan juga anak-anak.

Kalau kita berada di kedudukan untuk kuatkuasakan peraturan tersebut, lakukan dengan jujur.

Kalau kita pula yang terpaksa ikut peraturan itu pula, jangan anggap leceh dan ambil mudah.

Mentaliti ‘ambil mudah’ ini kena diubah.

Kedua- kita kena ambil serius hal-hal berkaitan keselamatan ini macam mana kita begitu obses dengan hal politik. Kalau boleh, follow-up isu-isu ini supaya pihak bersalah tak mudah nak ‘kawtim’.

Sebabkan kita cepat hilang minat, itu pasal mereka boleh buat ‘deal’ untuk terlepas dari hukuman.

Kalau hal hudud dan banglo kita boleh pandang serius, takkan hal keselamatan diri dan keluarga, kita bermusim?

Di akhirnya kita tak mahu isu keselamatan terutama di kawasan pembinaan dan kawasan berisiko tinggi ini dianggap sebagai ‘benda biasa’.

Jika tidak, perkara ini akan jadi seperti kes-kes kemalangan maut jalan raya di negara kita yang mana kita anggap ‘ala biasalah tu mati di jalan raya kena langgar.’

Bila ini berlaku dan orang ramai sudah muak dan merasakan pihak berkuasa gagal menjalankan tanggungjawabnya, tidak mustahil satu hari nanti masyarakat akan mengangkat seorang hero brutal seperti Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bagi menjalankan tugas ‘ikut suka hati dia’.

Untuk pengetahuan, Duterte telah membunuh (secara sah dan tak sah) lebih 2,000 pengedar dadah dalam masa beberapa bulan demi menjayakan kempen perangi dadah beliau.

Orang ramai pula diberi pampasan lebih RM400 ribu sekiranya berjaya membunuh sendiri Raja Dadah.

Mengapa ini berlaku? Sebabnya masyarakat sudah menyampah dengan sistem yang tidak berfungsi. Demokrasi boleh tolak tepi kalau tidak membawa manfaat.

Yang penting masalah dapat diselesaikan biarpun dengan cara kejam.

Mahukan Malaysia sebegini?

Kalau tidak mahu, ikutlah peraturan dan patuh pada garis panduan (SOP) sedia ada yang mampu menyelamatkan nyawa anda dan orang sekeliling.

Radzi Tajuddin
Takut pandu kereta di kawasan pembinaan

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Kau Tak Akan Berjaya Hanya Dengan Akademik Cemerlang Sahaja, Dik!

Kita Pelumba Go Kart Guna Penghadang Plastik, Mat Saleh Nak Angkat Wayar Pun Kena Certified Technician, Tahu?