in ,

Koruptor Adalah Babi Yang Berlagak Nabi

Malam tadi aku balik rumah jam 11. Punyalah kuat aku bekerja sejak kebelakangan ni. Jadual penuh sampai hujung tahun.

Tapi aku tahu, bukan aku seorang yang begini. Banyak kenalan rapat pun begitu. Ada yang buat 2-3 kerja sebab tuntutan ekonomi. Dulu masa aku kerja guru, aku tahu ada ibu bapa yang siang kerja jadi pegawai keselamatan atau di sektor pembersihan, malam jual burger sampai lewat pagi.

Tapi semalam kita dikejutkan dengan berita rampasan RM 112 juta oleh 2 orang pegawai kanan Jabatan Air Sabah. RM 52 juta wang tunai ditemui di rumah. RM 60 juta lagi dibekukan di dalam bank. 9 kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah. 127 geran tanah. Penyelewengan RM 3.3 bilion dana Persekutuan untuk rakyat Sabah.

Ini adalah bukti bahawa kita telah menjadi ‘masyarakat rasuah’. Syed Hussein Alatas dalam Bab 5 bukunya ‘Rasuah’ mengingatkan; “Sikap kecuaian dalam semua urusan pentadbiran, khususnya dalam hal yang berkaitan kesejahteraan awam, merupakan manifestasi utama dalam masyarakat yang rasuah,”

Beliau juga mengingatkan; “Sebuah kerajaan yang dilanda wabak rasuah sistemik akan mengabaikan tugas-tugasnya yang penting bagi pentadbiran yang efisien,”

Apakah kesannya menjadi ‘masyarakat rasuah’? Kesejahteraan awam diabaikan secara total. Bayangkan, sekolah-sekolah di Sabah pun kebanyakannya masih daif dan jauh berbeza dengan sekolah di Putrajaya. Makmal Sains yang dijanjikan tak pernah siap. Perpustakaan tidak diisi dengan buku baharu.

Guru dan anak murid terpaksa mengharung sungai menaiki bot dan berdepan bahaya kerana tiada jambatan disediakan. Bahkan untuk pergi Hospital saja perlu ditarik kerbau, tiada infrastruktur jalan yang lengkap ataupun ambulans.

Lebih teruk, perkhidmatan helikopter untuk membawa Doktor masuk ke kawasan pedalam bahkan dihentikan kerana kos. Doktor yang sudah tamat pelajaran perlu tunggu posting setahun dua sebelum diambil bekerja. Pelajar cemerlang tak ditawarkan bantuan biasiswa untuk lanjutkan pelajaran.
Dari manakah datangnya ‘ideologi rasuah’ dalam masyarakat ini? Syed Hussein Alatas menerangkan dalam Bab 6;

“Parti yang rasuah akan memperbesarkankegiatan rasuahnya dan membiakkan rasuah lebih lanjut, menyuburkan kegiatan yang bertentangan dengan kepentingan awam,”

Korupsi bukan lagi budaya, bahkan menjadi identiti masyarakat. Kita bukan saja tenang menerima berita ini, kita berdiam diri dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Lebih teruk, sebahagian besar dari kita buat kelakar dan rasa seronok dengar berita wujudnya manusia yang simpan juta-juta wang tunai rakyat bawah katil. Tak ada marah dalam diri kita. Tak ada rasa kecewa terhadap para koruptor ini biarpun kita bekerja keras bersengkang mata membuat pekerjaan yang jujur.

Kata Syed Hussein Alatas; “Berapa ramai pencuri yang telah dibantu oleh badan-badan korporat untuk melakukan pencurian daripada kerajaan mereka sendiri?”

Tetapi koruptor hari ini bukan saja dibantu oleh badan korporat untuk mencuri dari kerajaan sendiri – tetapi oleh kita – masyarakat rasuah yang berdiam diri – apabila menerima berita ini!

 

ZF Zamir

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Mampus Koruptor!

Buat. Jangan Tunggu Sempurna!