, ,

Kisah Steve Callahan Melihat Syurga Dari Tempat Duduk Di Neraka

Anda kenal Steve Callahan? Aku baru kenal dia tadi dekat Outdoor Channel. Steve Callahan adalah mangsa survival 76 hari tersadai di laut atas rakit penyelamat.

1982, di Canary Island dalam perjalanan menuju Antigua. Kapal layar jenis sloop bernama ‘Napoleon Solo’ terlanggar sesuatu menyebabkan kebocoran serius. Mencurah air masuk. Seolah disembur dengan 50 pili bomba. Tak berlengah dia mencapai bekalan makanan, kit survival, spear gun, carta navigasi dan sebuah buku bertajuk ‘Sea Survival’. Sama ada terlanggar paus atau jerung besar dia tak berapa pasti.

Yang ada ditangannya sekarang sekotak telur, 280 gram kacang tanah, kobis, 280 gram kacang panggang, dan corned beef. Untuk berapa lama tahan dia tak tahu.

Depan matanya dia melihat kapalnya tenggelam, perkahwinannya gagal, perniagaannya buntu, dan kini dalam bidang pelayaran yang dia minati pun seolah menemui garis penamat. Steve termenung jauh memikirkan takdir.

Tiada alatan navigasi, tanpa alatan komunikasi yang berfungsi. Rakit penyelamat getah berwarna merah bertutup macam igloo eskimo berlayar terus mengikut arus. Tak sampai beberapa hari bekalan makanannya habis.

Hari ke-10. Dia mula memburu. Dengan spear gun dia menembak ikan mahi-mahi sebagai bekalan makanan. Sejenis ikan yang jendul dahinya dan hijau kulitnya.Suatu keanehan bila dia dapat tangkap seekor. Ikan-ikan yang lain akan bertubi tubi melanggar dasar rakitnya seolah olah solidariti bagi rakannya yang tewas di tangan Steve. Ikan itu difilletnya kecil-kecil dengan swiss knife, dan di gantung di suatu sudut. Untuk minum dia mengunakan kit solar sail. Guna konsep penyejatan air lautan.

Bila malam, dia tidak boleh tidur dengan lena. dasar rakitnya di langgar berkali-kali. Ikan mahi nampaknya masih tak berpuas hati.

Hari ke-14. Ada kelibat kapal, dia pun melancarkan flare. Tapi sayang kewujudannya tak diendahkan.

Kulitnya kering dehidrasi, sunburn dan dan mengelupas teruk. Bayangkan kesakitannya bila terkena air masin. Berat badannya hilang 1/3 daripada berat asal. Sepanjang masa dia dalam kesakitan. Ketika ini segala kemewahannya tak berguna lagi. Dia adalah editor di majalah Sail, pakar merekabentuk kapal. Kapalnya yang tenggelam itu juga rekaannya sendiri. Bila tidur acap kali dia bermimpi makan dan minum air yang sedap.

Namun ada juga pengalaman yang indah bila cuaca baik waktu dinihari, laut yang sekali sekala tenang dan bintang terang berkelipan di horizon langit. Cantik. Dia mengambarkan seperti dapat ‘melihat syurga dari tempat duduk di neraka.’

Kemuncaknya pada hari ke 43. Ketika sedang bergelut menaikkan ikan, rakitnya bocor terkena tombak. 4 inci koyakannya. Botnya kian mengecut. Dia tak boleh menangkap ikan dan menyejat air dengan sempurna. Sumber makanannya makin terhad. Setiap kali dia tampal dan pump udara koyakan itu pasti terbuka semula.

Hari ke-50, dia dah hampir putus asa. Dia tantrum, menangis seperti budak kecil 5 tahun, putus harapan, tiada siapa tempat mengadu sambil dikelilingi jerung yang berenang di sisi. Dia tiba-tiba dapat idea untuk membaiki rakitnya. Dari garfu kit yang ada dia kurangkan udara rakit. Kemudian koyakan itu digumpalkan dan ditahan menggunakan garpu tadi. Dari situ dia bangkit semula.

Hinggalah hari ke-76 dia dah rasa hayatnya dah tak lama. Sumber airnya cuma tinggal 3 tin. Entah macam mana ada nelayan tempatan menghampiri rakitnya. Buat kali pertama dalam 76 hari, Steve berkomunikasi. Tapi sayang sepatah haram dia tak faham.

Bagaimana nelayan boleh menjumpainya? Isi ikan yang dia tak boleh makan yang dicampakkan ke laut menarik minat ikan-ikan ke rakitnya, rakitnya yang lama terapung menumbuhkan rumpai di sekelilingnya menarik pemangsa burung camar berlegar. Dan seterusnya menarik perhatian nelayan. Pada hemat nelayan, ada burung camar bererti ada lah ikan.

Sebelum membawanya ke darat. 2 jam nelayan menangkap ikan dahulu di sekitar rakit. Sepanjang perjalanan pulang ke pulau Marie Galante, perasaan Steve bercampur baur. Dia mengenal hampir kesemua ikan di sekelilingnya. Sepanjang 1800 batu tersadai tanpa hala tuju, ikan-ikan inilah yang telah menemaninya. Tapi kini pula mereka ditangkap dan dijual pula di pasar. Inilah lautan.

6 minggu kemudian barulah Steve mampu berjalan seperti biasa.

Pengarah tersohor Ang Lee mengabadikan kisah survivalnya dalam babak terdampar di lautan dalam filem ‘Life of Pi’. Steve Callahan dijemput menjadi penasihat untuk adegan tersebut bagi menjadikan babak seperti nyata.

Sehingga kini apabila beliau ke mana-mana beliau sering membawa peanut butter dan air bersama. Sebagai langkah berjaga-jaga takut juga peristiwa lama jadi semula.

Kalau Steve Callahan boleh bertahan tanpa cukup bahan. Kita pun boleh mengharungi hidup sementelah menunggu hari gaji. Ayuh bertahan!

Muhamad Khair

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 80.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 20.000000%

Leave a Reply

Pengaruh ‘The Big 4 Of Thrash Metal’ Terhadap Spektrum Seni Budaya

Tuhan Hantarkan Dia Untuk Aku